Ka Siong: Saya bukan suruhan Khairy
Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mungkin tidak akan mendapat kenyataan lengkap teks gesaan perwakilan Pemuda MCA agar beliau ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.
Ketua Pemuda MCA yang baru Datuk Wee Ka Siong dilaporkan enggan memberikan kerjasama kepada ahli parlimen Rembau, yang meminta beliau berbuat demikian, dengan alasan "saya bukan orang suruhan" Khairy.
Wee diminta mengulas permintaan Khairy untuk mendapatkan terjemahan kenyataan lengkap perwakilan Perak yang membuat desakan itu ketika sesi perbahasan di persidangan tahunan pergerakan itu, Jumaat lepas.
Dengan tajuk berita 'Wee: Saya bukan penterjemah', China Press melaporkan beliau sebagai berkata "jika Khairy ingin mendapatkan maklumat tentang perbahasan itu, seharusnya lebih bersopan" dan "ketua Pemuda MCA bukan orang suruhan Khairy."
Sabtu lepas, Khairy meminta transkrip penuh ucapan perwakilan itu daripada Wee sebelum memberikan sebarang ulasan berhubung desakan itu.
Bercakap di Port Dickson semalam, Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam dipetik berkata kenyataan Ting Tai Fong itu haknya sebagai seorang perwakilan Pemuda MCA dan wajar dihormati.
Ting menggesa Khairy ditahan ISA sebagai merujuk kenyataan ahli parlimen itu berhubung isu pengagihan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjadi isu, Jun lepas.
Wee, yang juga timbalan menteri pelajaran, turut dilaporkan mencadangkan kepada menantu perdana menteri itu agar bertanyakan kepada wartawan televisyen untuk mendapatkan terjemahan kenyataan Ting.
"Jika beliau ingin mendapatkan (terjemahan) keterangan (Ting), beliau seharusnya lebih bersopan, harus menggunakan saluran yang betul, tetapi bukan meminta ketua Pemuda MCA menterjemahkannya," laporan itu dipetik.
Melaporkan kenyataan yang sama,
Nanyang Siang Pau
menggunakan tajuk berita seperti
China Press
, manakala
Sin Chew Daily
memaparkan 'Khairy tidak berhak arah saya'.
Menulis di blognya kelmarin , Khairy berkata beliau terpaksa merujuk laporan media untuk mengulas kenyataan perwakilan Perak itu setelah gagal mendapatkan terjemahan itu seperti dimintanya.
Melalui Rembau.net , Khairy menyifatkan gesaan itu sebagai lambang betapa "besarnya cabaran yang perlu dihadapi oleh BN".
Walaupun berucap di perhimpunan penting, katanya, sewaktu MCA sedang berada di persimpangan selepas ketewasan teruk dalam pilihanraya umum lepas, masih ada perwakilan menggunakan taktik lama dengan menyerangnya.
Khairy menambah, tidak wajar seorang perwakilan di mesyuarat agung Pemuda MCA membuat gesaan itu semata-mata kerana kenyataannya berhubung kuota Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Dewan Rakyat.
Katanya, beliau kecewa apabila perbahasan yang dibawa oleh seseorang individu dikenali ramai tidak mendapat sokongan, sebaliknya diperlekehkan oleh pihak lain, selalunya demi kepentingan sendiri.
"Jika kita tidak boleh membincangkan sesuatu isu sepenting biasiswa kerajaan dengan cara yang wajar dan sedar - seperti yang saya lakukan - tanpa dicop sebagai rasis, jadi impian untuk membentuk sebuah BN yang terbuka dan merangkumi semua hanya tinggal impian," katanya lagi.

