Malaysiakini BERITA

19 NGO hantar surat bantahan pada Utusan

Muda Mohd Noor  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sembilan belas badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar surat bantahan kepada bahagian pengarang akhbar Utusan Malaysia sebagai membantah tindakan akhbar itu menyiarkan sebuah cerpen yang didakwa menggalak keganasan.

Memorandum tersebut diserahkan oleh pengurus program kanan Sister in Islam , Maria Chin Abdullah.

joint action group utusan malaysia memo politik baru ybJ 241008 08 Menurut Maria, ia diterima oleh seorang pengarang Utusan Malaysia kira-kira jam 11.20 pagi di ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin di ibu negara.

Bagaimanapun, kata Maria, pengarang tersebut enggan memperkenalkan dirinya, sebaliknya berkata, surat tersebut akan dibincangkan dalam bahagian pengarang Utusan Malaysia.

Kira-kira 20 anggota polis termasuk unit simpanan persekutuan (FRU) berada di situ untuk mengawal keadaan.

Bercakap kepada wartawan selepas menyerahkan surat tersebut, Maria menyifatkan kewartawanan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan mendakwa ia berunsur menghasut dengan membangkitkan emosi politik semasa.

"Cerita berniat jahat menggalakkan keganasan yang tidak masuk akal mesti dikutuk oleh semua orang.

"Kami terkejut apabila Utusan Malaysia mengizinkan menerbitkan cerita sedemikian dan lebih terkejut apabila pengarangnya ialah CEO Institut Akhbar Malaysia," katanya.

Baru-baru ini Datuk Chamil Wariya menulis sebuah cerpen - Politik Baru YB J - dan disiarkan di dalam Mingguan Malaysia pada 12 Oktober.

Tindakan susulan

Dalam surat tersebut, kesemua NGO terbabit meminta Utusan Malaysia dan pengarangnya meminta maaf kepada orang awam berhubung penyiaran artikel tersebut.

Maria berkata, Utusan Malaysia harus lebih bertanggungiawab dan profesional dan penulis cerpen itu boleh berkhidmat di pusat perkhidmatan wakil rakyat untuk memulihkan hubungan yang telah tercemar itu.

joint action group utusan malaysia memo politik baru ybJ 241008 07 Maria juga berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi menentukan tindakan susulan jika akhbar tersebut tidak memohon maaf.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi tempoh sehingga bila akhbar tersebut perlu berbuat demikian.

Isnin lalu, Chamil memberitahu Malaysiakini bahawa cerpen 'Politik Baru YB J', yang mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita, tidak kena-mengena dengan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti dakwaan DAP.

Beliau dilaporkan berkata, cerpen tersebut hanya rekaan semata-mata dan watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati.

Sebaliknya, kata Chamil, ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu.

Chamil juga menolak dakwaan bahawa cerpen awalnya itu "menganjurkan kekerasan dan bermain dengan api" kerana memuatkan babak pembunuhan ahli politik.