Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib sokong tamat layanan istimewa orang Melayu secara beransur
Diterbitkan:  Oct 24, 2008 7:55 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bersedia menamatkan layanan istimewa terhadap kaum majoriti orang Melayu - ikrar yang digunakan oleh pihak pembangkang, yang mengakibatkan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Bagaimanapun, program itu yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang diperkenalkan pada 1971, mesti ditamatkan 'secara beransur-ansur', kata Najib dalam wawancara dengan Televisyen Bloomberg yang disiarkan hari ini.

"Jika kita tidak berubah, rakyat akan mengubah kita," kata Najib, 55, di pejabatnya di Putrajaya.

"Dalam tempoh masa tidak lama lagi, kita akan menyaksikan semua elemen Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan diganti," kata Najib tetapi beliau tidak menyatakan bila ianya akan dilakukan.

DEB digubal oleh bapa Najib, yang juga perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein - melalui peruntukan pekerjaan, rumah murah serta faedah yang lain. Kira-kira 65 peratus daripada 27 juta rakyat Malaysia adalah orang Melayu.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN kembali berkuasa tetapi gagal mempertahankan penguasaan dua pertiga di Parlimen. BN juga tewas di empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor - dan PAS berjaya mengekal Kelantan dengan tambahan kerusi.

Menurut Bloomberg, dengan menawar untuk memansuhkan DEB, dalam tempoh masa yang tidak ditetapkan, dan menggantikannya dengan sistem berasaskan keperluan, Najib dilihat mengambil pendekatan hampir sama dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga menyokong satu sistem yang berasaskan keperluan.

Anwar sedang berusaha untuk mengambil alih kuasa tetapi Rabu lalu, penasihat PKR itu berkata kini sukar untuk beliau menarik sokongan daripada ahli Parlimen BN untuk menyertai Pakatan.

Calon tunggal

Najib merupakan calon tunggal setakat ini yang dicalonkan untuk jawatan presiden Umno oleh bahagian Umno yang sedang bermesyuarat sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatannya kepada timbalannya, Najib Mac depan. Sebelum ini, Abdullah merancang menyerahkan kuasa pada 2010 tetapi telah dipercepatkan kepada awal tahun depan.

Beberapa penganalisa tidak begitu yakin yang Umno - selaku parti pendukung BN - bersedia untuk memansuhkan rancangan tersebut yang membantu ahli-ahlinya.

Penganalisa politik, Karim Raslan yang berpejabat di Kuala Lumpur dan Jakarta berkata, Umno belum dapat menerima sepenuhnya setakat ini bahawa parti itu perlu berubah.

"Saya tidak nampak keikhlasan yang cukup dari segi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh parti tersebut," katanya.

"Ramai pemimpin parti itu merasakan, degan menggantikan Abullah, mereka akan dapat menangani kelemahan tersebut. Saya tidak bersetuju dengan mereka. Saya tidak nampak banyak tanda-tanda (akan berlaku) pemulihan," kata kepada Bloomberg.

Berkongsi faedah

Dengan menamatkan program tersebut, ia akan mengakhiri ketidaksaksamaan antara kaum sejak berdekad-dekad lalu.

Kaum Cina dan India di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Orang Melayu juga mendapat keutamaan untuk memperolehi kontrak kerajaan dan apabila syarikat menjual sahamnya, 30 peratus mesti dijual kepada orang Melayu.

"Ia adalah satu cabaran yang besar," kata Najib dalam wawancara itu semalam.

"Mesti ada keazaman politik dan keinginan untuk berubah di dalam Umno. Saya tidak boleh mengharapkan rakyat melihat kita dari kaca mata yang baik kecuali kiita berubah, kecuali kita membaiki kelemahan kita," katanya.

Najib adalah lulusan ekonomi dari Universiti Nottingham di United Kingdom. Anggota keluarganya sudah lama memegang kedudukan yang tinggi dalam bidang politik dan dalam perniagaan. Bapanya, menjadi perdana menteri dari 1970 hingga 1976. Sepupu Najib - Datuk Hishammuddin Hussein - kini menjadi menteri pelajaran. Manakala adik bungsunya, Datuk Nazir Razak menerajui bank kedua terbesar di Malaysia - CIMB Group Bhd.

Dakwaan seks

Abdullah memilih Najib sebagai penggantinya walaupun timbalannya itu berdepan dengan beberapa kontroversi.

Najib telah menafikan dakwaan bahawa beliau ada kaitan dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia pada 2006, dan turut menafikan beliau mempunyai hubungan dengan wanita tersebut.

Seorang penganalisa politik yang bekerja untuk Najib, dituduh bersubahat dengan dua orang pegawai polis dalam pembunuhan tersebut.

Anwar juga menuduh Najib mendapatkan keuntungan daripada kontrak-kotrak peralatan pertahanan serta menuduh timbalan perdana menteri itu sebagai orang di sebalik tuduhan salahlaku seks terhadapnya.

Anwar telah menafikan tuduhan salahlaku seks tersebut, dan Najib pula menafikan dirinya terbabit membawa kes terhadap lawan politiknya, serta menafikan mendapat keuntungan daripada kontrak-kontrak pertahanan.

Bloomberg juga memetik mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, Najib mesti memperjelaskan mengenai semua dakwaan terhadap dirinya.

"Malangnya, kita tidak ada calon lain. Kita tiada pilihan kecuali Najib," kata Dr Mahathir.

Dalam wawancara tersebut, Najib berkata tuduhan terhadapnya itu adalah tidak berasas.

ADS