10 penyokong Hindraf dibebas dengan jaminan polis
Sepuluh penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang ditahan reman kerana berhimpun di hadapan pejabaperdana menteri Khamis lalu, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman yang mengesahkan pembebasan lapan lelaki dan dua wanita itu berkata, mereka perlu melaporkan diri semula pada 25 November depan.
Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili kumpulan itu kelihatan tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kira-kira jam 11 pagi, diiringi enam peguam lain, demikian menurut Bernama.
Turut mengiringi mereka ialah ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid
Abdul Samad, dan ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad.
Kesemua mereka dan 10 penyokong Hindraf itu dilihat keluar dari IPD Putrajaya kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Kira-kira 50 penyokong serta keluarga kumpulan tersebut berkumpul di luar IPD sejak pagi lagi.
Sebelas orang penyokong Hindraf yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga perempuan, ditahan kira-kira jam 3.30 petang 23 Oktober lalu.
Mereka dikatakan cuba menyerahkan memorandum ke pejabat Perdana Menteri bagi mendesak agar lima anggota Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibebaskan sebelum perayaan Deepavali esok.

