Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA tuntut Hassan, Khir minta maaf
Diterbitkan:  Oct 30, 2008 8:02 PM
Dikemaskini: 12:09 PM

Biro Perundangan MCA hari ini mengecam PAS kerana menolak pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atas alasan beliau bukan Melayu.

Biro itu juga menganggap kenyatan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengumpamakan pelantikan itu sebagai memandang rendah kemampuan orang Melayu untuk menguruskan syarikat seperti PKNS, sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia jelas bercanggah dengan semangat Barisan Nasional (BN).

hassan ali 051104 Berikutan itu, dalam satu kenyataan hari ini, biro tersebut menuntut Datuk Dr Hassan Ali dari PAS dan Dr Mohd Khir dari Umno memohon maaf kerana membuat kenyataan yang didakwanya tidak bertanggungjawab untuk menyemai perpecahan di kalangan rakyat Malaysia.

Jika gagal berdemikian, biro tersebut mendesak pihak berkuasa berkenaan supaya mengambil tindakan segera terhadap mereka.

Kenyataan itu mendakwa, tindakan mereka itu jelas melanggar Pasal 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa tidak harus ada diskriminasi terhadap rakyat atas alasan agama, kaum, keturunan, tempat kelahiran atau jantina untuk dilantik menjawat atau berkhidmat di bawah pihak berkuasa awam.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu juga melanggar Seksyen 3 (1)(e) Akta Hasutan 1948 kerana membangkitkan permusuhan antara kaum.

Biro tersebut menegaskan bahawa sebarang pelantikan ke jawatan dalam sektor awam dan swasta, hendaklah berasaskan kepada merit dan kemampuan semata-mata.

ADS