BERITA Malaysiakini

PM minta PBS kekal jadi rakan setia BN

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Parti Bersatu Sabah (PBS) supaya kekal sebagai rakan setia dalam Barisan Nasional (BN).

PBS merupakan parti yang pernah beliau bantu kembali ke pangkuan BN pada 2002 setelah meninggalkan gabungan itu selama 12 tahun.

Abdullah membuat permintaan tersebut ketika berucap semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-23 PBS di Kota Kinabalu hari ini.

"Saya sedar ini merupakan ucapan perpisahan saya. Saya tidak mahu putuskan hubungan dengan PBS walaupun saya berhenti.

"Kita akan jumpa lagi, Insya-Allah, dalam pertemuan-pertemuan yang lain kerana saya akan tetap menjadi anggota Umno dan dengan itu anggota BN," katanya

Menurut laporan Bernama, Abdullah telah mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan Umno pada Mac tahun depan.

Dalam ucapan tersebut, Abdullah turut mengimbas kembali peranannya membawa PBS kembali ke pangkuan BN.

Berganding bahu

"Semasa saya menjadi timbalan presiden Umno, merangkap

timbalan pengerusi BN, satu perkara yang terpahat di minda saya ialah saya tidak mahu melihat BN dan Umno serta parti lain sentiasa bertelagah dengan parti besar seperti PBS, yang dipimpin Datuk Joseph Pairin Kitingan, seorang Huguan Siou (Pemimpin Agung) masyarakat Kadazandusun di Sabah.

"Ini (kepulangan PBS ke pangkuan BN) adalah baik untuk perpaduan dan baik untuk rakyat Sabah. Saya harap PBS akan terus berganding bahu dengan parti komponen BN lain bagi membawa negeri ini ke tahap lebih gemilang," katanya.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Pairin mengalu-alukan kehadiran Abdullah dalam perhimpunan berkenaan dengan kata-kata: "Kalau bukan kerana Pak Lah, tak mungkin PBS dalam BN".

Ungkapan beliau itu disambut dengan tepukan bergemuruh oleh lebih 1,000 perwakilan, yang kemudian berdiri beramai-ramai untuk memberi penghormatan kepada Abdullah.

"Terima kasih Pak Lah kerana begitu tekun berusaha demi rakyat miskin. Anda akan sentiasa dikenang kerana telah memberi lebih banyak kebebasan untuk bersuara, yang tidak sepatutnya disalah guna bagi menggugat keharmonian dan keselamatan," kata Pairin.

Beliau berkata Abdullah juga akan dikenang kerana memberi penekanan terhadap kebebasan beragama, pembaharuan dalam bidang kehakiman, memerangi rasuah dan ancaman dadah bagai seorang wira dan kerana memberi penekanan terhadap usaha mempersiapkan golongan belia bagi menghadapi hari muka.