mk-logo
Berita
Bastard: Tindakan tegas untuk Tajuddin
Diterbitkan:  Nov 7, 2008 11:12 AM
Dikemaskini: 11:23 AM

Pakatan Rakyat mendesak tindakan tegas diambil terhadap ahli parlimen BN Datuk Tajuddin Abdul Rahman kerana menggunakan perkataan biadap dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin.

"Untuk menjaga kemulian dan maruah parlimen, ahli-ahli parlimen DAP dan Pakatan akan mendesak tindakan paling keras diambil terhadap Tajuddin bagi perilaku kasarnya apabila menuturkan perkataan bastard (anak haram) dan bloody bastard di Parlimen terhadap seorang ahli parlimen lain.

"Perkataan sebegitu tidak patut didengar sekali lagi dalam dewan Parlimen Malaysia," kata ahli parlimen popular DAP Lim Kit Siang.

Kelmarin, Tajuddin menyerang seorang wakil DAP M Kulasegaran denga kata-kata kesat itu selepas wakil Ipoh Barat mendakwa penduduk India di kawasan pemimpin Umno itu membencinya.

Setelah ditegur yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia, beliau menarik balik kata-kata itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata, Tajuddin patut digantung sekurang-kurangnya setahun kerana menggunakan perkataan tersebut, memandang beberapa wakil pembangkang dikenakan tindakan keluar dewan atas kesalahan kecil.

Semalam dua wakil rakyat DAP Fong Po Kuan (Batu Gajah) dan Chong Chieng Jen (Bandar Kuching) digantung sehari daripada menghadiri sidang dewan kerana membantah keputusan Pandikar Amin berhubung kata-kata Tajuddin.

Selasa lalu, Tian Chua (PKR-Batu) digantung kehadirannya kerana membantah langkah pembentangan pakej rangsangan ekonomi RM7 bilion, yang didakwa melanggar peraturan tetap Dewan Rakyat, oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) digantung dua hari kehadirannya kerana menuduh yang dipertua dewan membuat keputusan "main-main" berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang didakwanya menghina orang buta.

Lim menambah, jika Tajuddin dibiarkan lepas daripada sebarang tindakan, kata-kata carutan akan lebih sedang dilontarkan di dalam Parlimen.

Ahli parlimen Ipoh Timur berkata, penarikan balik kata-kata Tajuddin tidak dapat menghilangkan kerosakan yang ditimbulkan.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini