Sirajuddin Rafia meninggal dunia
Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Sirajuddin Mohd Rafia, 59, meninggal dunia malam tadi akibat sakit jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima orang anak berusia antara sembilan dan 26 tahun.
Menurut Bernama, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhwan, Hulu Kelang, di sini.
Balu Allahyarham, Datin Siti Zaleha Rahian Abdul Halim berkata suaminya kerap melakukan solat sunat Tahajud dan banyak membaca al-Quran kebelakangan ini.
Allahyarham juga tambahnya, banyak melakukan solat-solat sunat serta kerap menziarahi sahabat handai.
"Malam tadi semasa saya dan suami menghadiri kenduri doa selamat seorang rakan di Taman Keramat, Allahyarham tiba-tiba sesak nafas lalu rebah," kata Siti Zaleha ketika ditemui selepas pengebumian suaminya.
Siti Zaleha menyifatkan Allahyarham seorang yang baik hati dan suka bertolak ansur dengan anggota keluarga dan kenalannya.

