Mesyuarat exco Wanita Umno hari ini dijangka membincangkan saranan Naib Ketua Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil supaya ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz menimbang mempercepatkan tarikh peralihan kuasa antara mereka berdua.

wanita umno pak lah meet rafidah shahrizat event  040808 05 Selepas bahagian Umno selesai bermesyuarat semalam, Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu.

Rafidah pula mendapat 116 pencalonan bagi mempertahankan jawatannya Mac depan.

Dalam satu kenyataan semalam, Shahrizat berkata Rafidah mengumumkan pelan peralihan jawatan itu Ogos lalu, sewaktu pemilihan parti dijadualkan berlangsung Disember ini.

Manakala tarikh peralihan kuasa antara Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu dijadualkan pada 2010.

Shahrizat berkata, permohonannya itu adalah seiring sejalan dengan Umno induk, Pemuda, Puteri pada Mac 2009 sempena perhimpunan agung Umno iaitu tiga bulan lebih awal daripada bulan Jun.

Sebelum ini beberapa ketua Wanita bahagian secara terbuka menyuarakan pandangan mereka meminta Rafidah menyerahkan jawatan ketua pergerakan itu kepada Shahrizat Mac depan.

Menurut mereka, sekiranya Rafidah masih mahu menyerahkan kuasa pada Jun depan, ia bermakna Shahrizat akan menjadi pemangku ketua sehingga 2011.

Bagaimanapun, menurut mereka lagi, adalah lebih baik Shahrizat menjadi ketua pergerakan tersebut bagi memudahkan usaha memulihkan Umno yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.