Siasat segera dakwaan rasuah KM Swak
Badan Pencegah Rasuah wajar menyiasat sebuah laman web yang mendakwa amalan rasuah Ketua Menteri Sarawak bagi meningkatkan kredibiliti badan itu dan indeks tanggapan rasuah (CPI) negara ini.
"Sikap beliau (Pengarah BPR yang berdiam diri) ini sendiri boleh menggugat kredibilitinya kerana dahulu beliau pernah mengumumkan bahawa BPR akan mengambil tindakan terhadap semua aduan walaupun ia merupakan surat layang," kata Pengerusi DAP Lim Kit Siang hari ini.
Minggu lalu malaysiakini melaporkan laman web [#1] Sayot Taib [/#] mendakwa Tan Sri Abdul Taib Mahmud meluluskan projek-projek pembangunan yang mempunyai kepentingan beliau dan anggota keluarganya. ([#2] ACA not probing website's allegations against Sarawak CM's abuses [/#], Feb 6)
Laman web ini mengandungi pelbagai dokumen sulit yang didakwa diimbas daripada salinan asal, termasuk surat-surat kerajaan yang dikatakan ada kaitan dengan Ketua Menteri itu dan keluarganya.
Menurut laporan akhbar web itu, BPR tidak akan menyiasat segala butiran dakwaan yang terdapat dalam laman Sayot Taib . "Lagipun, talian internet kami tidak baik dan kami sukar mengakses internet, apatah lagi tapak web (Sayot Taib) itu," kata seorang pegawai BPR, seperti dilaporkan.
Lim berkata jika Pengarah BPR Datuk Ahmad Zaki Hussin terus mendiamkan diri dalam hal ini maka kedudukan Malaysia dalam CPI akan datang mungkin bertambah merosot.
Indeks CPI terbitan pertubuhan antirasuah antarabangsa Transparency International (TI) itu menyebutkan Malaysia berada di tangga 36 pada tahun lalu, 32 pada tahun 1999, 29 (1998), 26 (1996) dan 23 (1995).
Lim turut mempertikaikan tindakan pantas BPR menyiasat kenyataan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid pada Oktober 1999 yang mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun 'master' yang berjumlah RM3 bilion tetapi berdiam diri hal dakwaan laman web Sayot Taib.
Menurut bekas ketua pembangkang itu, Ahmad Zaki kini juga sering memberikan kenyataan berhubung beberapa siasatan kes rasuah yang lain, misalnya kes penyelewengan bon RM19 bilion yang melibatkan pegawai kanan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan salah guna kuasa pegawai penjara yang didakwa memberikan layanan istimewa kepada bekas pembaca berita Sharma Shukla.
Ahmad Zaki tidak boleh mengelak jika ada pihak mempertikaikan sikap berdiam dirinya itu, tambah Lim lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.