BERITA

K'jaan Guan Eng ditegur silap eja 'Amar'

Athi Veeranggan

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Nov 2008, 12:06 tengahari

Seorang wakil rakyat Umno menegur kerajaan negeri Pulau Pinang kerana silap mengeja perkataan ' Amar ' pada kain rentang Pakatan Rakyat yang dipasang di seluruh negeri itu sempena sambutan Hari Raya baru-baru ini.

Teguran itu dibuat oleh Datuk Dr Hilmi Yahaya (Umno-Teluk Bahang) kerana kesilapan ejaan tersebut pada ayat ' Amar Makruf Nahi Mungkar ' - yang bermaksud 'menyuruh kebaikan dan menjauhi kejahatan'.

Sebaliknya, kain rentang bertulis ' Amal Makruf Nahi Mungkar '.

Menurut Hilmi, ' amal ' bermaksud ' melakukan ' manakala ' amar ' bermaksud ' menyuruh '. Oleh itu, kesilapan ejaan tersebut telah memberi maksud yang berbeza bagi ' Amar Makruf Nahi Mungkar '.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Lim - seorang bukan Islam - layak menggunakan ayat al-Quran untuk merujuk kepada urustadbir negeri yang ditadbirnya.

Hilmi berkata, ia merupakan ayat-ayat al-Quran untuk umat Islam dan oleh itu bertanya sama ada bolehkah ketua menteri Pulau Pinang itu menggunakan ayat-ayat tersebut.

Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa agama Islam supaya memperjelaskan isu tersebut.

Lim sering menggunakan ayat tersebut dalam ucapan-ucapannya, termasuk ketika debat terbuka dengan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Ogos lalu dan dalam kain rentang sempena sambutan Hari Raya baru-baru ini, yang dipasang di tempat-tempat utama di seluruh negeri itu.

Hilmi juga menegurkan Lim kerana menyamakan urustadbirnya dengan Kalifah Umar Abdul Aziz, lalu meminta Lim membuktikan terlebih dahulu pentadbirannya sebelum dibandingkan dengan orang lain.

Baca berita penuh

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.