Pasukan komando India berjaya menumpaskan saki-baki pengganas yang menawan hotel Taj Mahal Palace, selepas berlaku pertempuran

sengit dengan anggota kumpulan militan itu.

Pertempuran yang berlanjutan dengan anggota militan itu berakhir kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas baki tiga lagi pengganas terbunuh di dalam hotel itu - lebih kurang 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan, lapor Bernama .

Semalam dua lagi terbunuh di dalam hotel itu. Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, lapor agensi berita itu lagi, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam dan penembak tepat kami melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada media selepas operasi itu hari ini.

"Terdapat laporan dalam media dan laporan daripada mereka yang tinggal di hotel itu, bahawa bukan hanya seorang (pengganas) tetapi ada lima pengganas.

"Kami telah katakan sekurang-kurangnya ada tiga pengganas di dalam. Kami dapat mayat tiga pengganas hari ini," katanya.

Beliau berkata komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Bagaimanapun agensi berita AFP yang memetik seorang pegawai polis Hassan Gafoor melaporkan krisis itu berakhir selepas kematian tiga pengganas tersebut selepas kota besar membeku dalam serangan mengejut tersebut yang memakan sekurang-kurangnya 155 korban, termasuk 21 warga asing.

"Semua operasi sudah tamat. Semua pengganas berjaya dibunuh," pesuruhjaya polis Mumbai dipetik sebagai berkata 59 jam selepas serangan militan bermula.

Menurut Bernama pula, pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir pertempuran, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya.

Hotel itu mengalami kerosakan teruk.