Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) akan mengadakan tiga penerbangan dari Lapangan Terbang U-Tapao, dekat Pattaya, esok bagi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Bangkok.

Pengarah Operasi MAS Datuk Tajuden Abu Bakar berkata di samping tiga penerbangan itu, pihaknya kini menunggu kelulusan Jabatan Penerbangan Awam Thailand untuk mengadakan satu lagi penerbangan tambahan lewat petang esok.

MAS mengadakan pelan kecemasan itu berikutan penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara itu sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Tajuden berkata Lapangan Terbang U-Tapao, yang terletak kira-kira 140km dari Bangkok dan kira-kira 20km dari Pattaya, akan menjadi pilihan alternatif sehingga keadaan di lapangan terbang di Bangkok kembali seperti biasa.

Selain itu, katanya, MAS akan mengadakan dua penerbangan dari Phuket esok, demikian dilaporkan oleh Bernama.

"Masa berlepas dari Lapangan Terbang U-Tapao adalah sama seperti jadual berlepas dari Bangkok tetapi memandangkan kesesakan, masa berlepas mungkin diubah," katanya.

Tajuden berkata MAS akan mengadakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangkok mengikut jadual biasa sebaik sahaja pihak berkuasa Thailand membuka semula Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Penumpang MAS yang ingin mendapatkan maklumat terkini boleh menghubungi talian MAS 24 jam di 1-300-88-300 manakala mereka yang berada di Bangkok pula boleh menggunakan talian +662-2630572 atau +662-1343184.

Penumpang juga boleh menghubungi pejabat MAS di Phuket di talian +667-213749, +667-6216675 dan +667-6234467 dari 8.30 pagi hingga jam 9 malam.

Berikut adalah jadual penerbangan esok:

U-Tapao ke KLIA

1. MH 785 - Berlepas 11.05 pagi/Tiba 2.15 petang -- pesawat A330-300

2. MH 789 - Berlepas 2.15 petang/Tiba 5.25 petang -- B737-400

3. MH 783 - Berlepas 5.10 petang/Tiba 8.15 malam -- A330-300

4. (Belum Sah) MH 781 - Berlepas 7.55 malam/Tiba 11.05 malam -- B737-400

Phuket ke KLIA

1. MH 787 - Berlepas 10.30 pagi/Tiba 12.55 tengah hari -- B737-400

2. MH 791 - Berlepas 7.05 malam/Tiba 9.30 malam -- B737-400.