Usul perbincangan mengenai ugutan terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Zaki ditolak dalam Dewan Rakyat hari ini kerana isu itu tidak perlu disegerakan, menurut Timbalan Yang Dipertua Dato' Muhammad Abdullah.

Chow Kon Yeow, ahli parlimen DAP Kawasan Tanjung, pagi ini mencadangkan supaya majlis mesyuarat ditangguh untuk berunding mengenai laporan Nanyang Siang Pau pada 20 Okt, di mana Ahmad Zaki berkata tindakan keras BPR membanteras rasuah termasuk siasatan kes-kes besar telah mengakibatkan orang tertentu tidak puas hati dan terdapat tekanan ke atas "pihak berkenaan" untuk menukar jawatan beliau.

Bagaimanapun, Muhammad Abdullah berkata bahawa Chow sudah melaporkan kes itu kepada polis pada 20 Okt, dan ia kini dalam siasatan.

Jikalau terdapat bukti yang kukuh, polis akan mendakwa pihak yang berkenaan, maka usul itu tidak perlu disegerakan, tambahnya.

Chow berkata, menurut laporan Nanyang , BPR telah menyiasat rasuah di Puspakom, Jabatan Pengangkutan Jalanraya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Badan tersebut juga akan menyiasat dakwaan bahawa terdapat pegawai kerajaan yang terlibat dalam kegiatan mesin kuda.

"Beliau (Ahmad Zaki) berkata BPR akan menyiasat 'kambing hitam'di kalangan kerajaan yang disyaki bersubahat dengan sindiket mesin kuda haram," kata Chow.

'Pendirian tegas'

Menurut Chow, jelasnya ugutan-ugutan itu dibuat oleh anggota pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan yang tidak ingin kegiatan haram mereka dibongkar dan disiasat oleh BPR dan dibawa ke mahkamah.

"Pendedahan ini amat serius kerana ugutan ini berunsur jenayah dan berniat menghalang BPR daripada menjalankan tugasnya secara adil dan bebas," kata Chow.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri harus memandang serius ugutan jenayah terhadap BPR dan Ahmad Zaki, dan memberi perlindungan segera dan memastikan keselamatannya terjamin.

"Kerajaan harus mengambil pendirian tegas supaya usaha BPR membanteras masalah rasuah dijalankan tanpa diganggu-gugat oleh kuasa-kuasa hitam," kata Chow.