Banjir yang melanda Kelantan hari ini meragut satu lagi nyawa apabila seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati lemas, manakala seorang pelajar berumur 16 tahun dilapor hilang setelah dihanyut arus deras.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kedua-dua mereka bermain air banjir berhampiran rumah masing-masing iaitu di Melor, Kota Baharu dan Pasir Mas dekat Kota Bharu.

Dalam kejadian di Kota Baharu, Nur Amalia Ayob, 11, ditemui lemas apabila tergelincir ke dalam tali air berhampiran rumahnya di Kampung Kayu Rendang.

Mayat Nur Amalina ditemui pada pukul 1.30 petang kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dilapor terjatuh, kata Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Ketereh Mohamad Saamah.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat, lapor Bernama.

Kejadian dilapor berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi ketika Nur Amalina dikatakan bersama abang sulung dan adik lelakinya yang melihat orang memukat ikan di tali air, tergelincir dan dihanyutkan arus tali air sedalam kira-kira dua meter itu.

Sementara itu di Kampung Kubang Pak Itam, Pasir Mas, seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Meranti, Salman Hakimi, dihanyutkan arus deras

ketika sedang bermain air di halaman rumahnya kira-kira pukul 2.30 petang.

Operasi mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, JPA 3 dan penduduk kampung mengalami kesukaran ekoran air deras Sungai Kelantan yang

melimpahi kawasan itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sabtu lepas, seorang pemuda berumur 25 tahun, Nik Zulkifli Nik Kob, yang merupakan mangsa banjir pertama di Kelantan, lemas setelah terjatuh di Sungai Sokor, Tanah Merah ketika memukat ikan.

Mayatnya ditemui pasukan pencari dan penyelamat yang terdiri daripada penduduk kampung, anggota Rela dan polis pada 10.50 pagi semalam, kira-kira 10 meter dari tempat dia jatuh.