Beberapa jam selepas ugutan persatuan nelayan untuk memboikot ke laut selama tiga hari mulai 12 Disember ini, MCA menyatakan ia "telah berjaya" menyelesaikan masalah dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Parti itu mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed kerana cuba menyelesaikan isu berkenaan dengan menaikkan kuota minyak subsidi kepada 32,000 liter daripada 28,000.

Menurut jurucakap parti itu Lee Wee Kiat, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berjaya membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini untuk dibahaskan oleh Mustapa.

Bagaimanapun, menurut kenyataan MCA lagi, tuntutan untuk menurunkan harga subsidi minyak sehingga RM1.20 seliter atau lebih rendah akan diputuskan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

chua soi lek pc on police report on ketuan melayu 031208 03 Dalam sidang media di Wisma MCA bersama Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Persatuan Nelayan Selangor dan Perak berkata walaupun harga minyak mungkin diturunkan kepada RM1.20 seliter, tetapi komitmen itu masih belum dipenuhi oleh kerajaan.

"Saya harap kerajaan boleh menurunkan harga diesel secepat mungkin kepada RM1.00. Jika tidak, kami akan mogok selama tiga hari bermula 12 Disember ini," kata Ji Wei Cheng.

Ong sebelum ini dilaporkan pernah berkata kerajaan mungkin menurunkan harga diesel kepada nelayan sehingga RM1.20 seliter walaupun persatuan itu menuntut RM1 seliter.

Dr Chua menambah, kira-kira separuh bekalan ikan tempatan akan terjejas secara mendadak seandainya nelayan pukat tunda di dua negeri itu meneruskan ancaman mereka untuk tidak ke laut sebagai membantah keengganan kerajaan menunaikan tuntutan tersebut.

"Mereka (nelayan pukat tunda) tunggu dan sabar sudah lama. Mereka merayu banyak pihak supaya membuat ketetapan," katanya.