Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan yang pendapatan pelaburan yang belum diauditkan bagi suku ketiga merosot 60.4 peratus kepada RM2.06 bilion daripada RM5.19 bilion dalam suku kedua tahun ini.

Pendapatan juga rendah berbanding RM4.25 bilion dalam suku ketiga 2007.

Kemerosotan ini terutamanya disebabkan penurunan dalam pendapatan daripada ekuiti kepada RM1.26 bilion berbanding RM2.54 bilion dalam suku kedua, kata KWSP dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Selaras dengan amalan terbaik perakaunan dan polisi peruntukan rosot nilai konservatif, KWSP telah memperuntukkan RM2.29 bilion untuk penurunan nilai pelaburan ekuiti kesan daripada kemerosotan dalam nilai pasaran.

Dana pencen melabur RM77.68 bilion daripada asetnya dalam ekuiti dengan sebahagian besar dalam perdagangan dan perkhidmatan (38 peratus), sector kewangan (33.9 peratus) dan ekuiti (8.5 peratus).

KWSP berkata pendapatannya dari Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan pinjaman serta bon mencatatkan pulangan tinggi berbanding dengan suku kedua.

Dalam suku ketiga, pulangan KWSP dari pinjaman dan bon meningkat 3.1 peratus kepada RM1.71 bilion sementara pulangan dari MGS menokok 1.4 peratus kepada RM1.21 bilion.

KWSP melabur RM102.37 bilion dalam MGS, RM132.6 bilion dalam pinjaman dan bon, RM17.94 bilion dalam instrumen pasaran wang dan RM1.82 bilion dalam hartanah.

Pendapatannya dari instrumen pasaran wang pada suku ketiga susut kepada RM142.25 juta daripada RM191.46 juta pada suku kedua sementara pulangan dari hartanah merosot kepada RM21.53 juta daripada RM22.66 juta sebelumnya.

Ketua pegawai eksekutif KWSP, Datuk Azlan Zainol berkata senario pada suku keempat besar kemungkinan menggambarkan kesan sepenuhnya krisis ekonomi global walaupun masih ada harapan pasaran ekuiti di Malaysia melonjak semula ekoran kekuatan daya saing ekonomi negara.