Hari Kekasih untuk sekolah Cina Damansara
Satu kumpulan belia akan menganjurkan sambutan 'Hari Kekasih' sebagai sokongan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Damansara sempena kedatangan tarikh 14 Februari yang juga disambut di seluruh dunia.
Pusat Belia Mawar Merah menganjurkan dua program berasingan esok pada jam 10 pagi dan 7 petang di depan sekolah itu di Seksyen 17 Petaling Jaya, Selangor.
Waktu pagi itu, pengajur mengatur acara menggantung kad ucapan 'cinta' di sekeliling pagar SRJK (C) Damansara dan petang pula 'parti hari kekasih' yang diadakan di sebuah tokong berdekatan sekolah itu. Kedua-dua program ini terbuka kepada orang ramai.
Pusat belia yang beroperasi lebih setahun itu menganjurkan dua acara ini bagi menggesa Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah itu yang ditutup awal Januari lalu dan menghormati hak orang ramai untuk memilih sekolah kebangsaan (vernacular) masing-masing.
Sebahagian besar pelajar sekolah itu kini dipindahkan ke SRJK (C) Puay Chai di Bandar Utama. Bagaimanapun penutupan sekolah itu ditentang oleh ibu bapa 67 pelajar sekolah tersebut kerana mereka ingin mempertahankan sekolah asal yang berusia 71 tahun dan dibangunkan oleh penduduk Kampung Damansara.
Menurut penganjur, majlis ini diadakan sempena Hari Kekasih untuk menukar pandangan orang ramai tentang cara berkasih sayang dan meraikan hari tersebut.
Walau sebahagian besar murid telah berpindah, beberapa penyokong sekolah itu terus melancarkan bantahan sejak beberapa minggu lalu. Mereka mengadakan beberapa siri perhimpunan di depan bangunan kementerian dan empat orang ditahan polis awal minggu lalu dalam perhimpunan itu.
Kumpulan penyokong itu melancarkan kempen 'mogok lapar' setiap hari di depan beberapa bangunan pejabat ahli politik dan parti-parti MCA serta Gerakan.
Kira-kira 60 pelajar masih meneruskan pembelajaran di sebuah bangsal dalam kawasan sebuah tokong, berdekatan SRJK (C) Damansara itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.