Naib: Rahim yakin dapat cukup pencalonan
Bekas Ketua Pemuda Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik yakin mampu mendapat dua lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib presiden Umno Mac depan.
Beliau sehingga ini memperolehi 18 pencalonan setelah mendapat dua pencalonan dari bahagian Pengkalan Chepa dan Tanah Merah, yang bermesyuarat minggu lalu.
Ada tiga lagi bahagian iaitu Seremban, Tenom dan Larut yang belum mengadakan mesyuarat bahagian.
Calon naib presiden memerlukan sekurang-kurangnya 20 pencalonan untuk layak bertanding jawatan tersebut.
Ketika dihubungi hari ini, Rahim yang juga bekas ketua menteri Melaka berkata: “Mudah-mudahan saya akan mendapat dua pencalonan lagi untuk layak bertanding jawatan naib presiden.
“Berdasarkan perkembangan terbaru, saya optimis akan mendapat dua pencalonan lagi dan seterusnya layak bertanding jawatan naib presiden Umno.” katanya.
Sehingga ini lapan calon sudah layak bertanding naib presiden. Mereka ialah Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Jamaluddin Jarjis, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Syed Hamid Albar.
Sementara itu, ketua Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail ketika dihubungi berkata, bahagian itu akan mencalonkan Rahim untuk jawatan naib presiden.
“Hanya Tan Sri Rahim yang belum cukup pencalonan, jadi tidak salah untuk membantu beliau mendapat cukup pencalonan.
“Jika tidak ada halangan, bahagian Seremban akan mencalonkan Tan Sri Rahim untuk jawatan naib presiden,” katanya.
Ishak berkata, Umno bahagian sedang mendapatkan tempat sesuai bagi mengadakan mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat bahagian itu diadakan semula ekoran mesyuarat 9 November lalu dibatalkan setelah berlaku pergaduhan di kalangan perwakilan.

