Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru kerajaan agar memberikan ruang kepada pelajar bersuara, termasuk mengkritik kerajaan.

"Jika pemimpin negara sekarang ingin meraih sokongan pelajar, maka mereka harus memberikan ruang kepada pelajar untuk bersuara walaupun idea tersebut bersifat mengkritik," kata Presiden PKPIM Asyraf Wajdi Dusuki kepada malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein pada Isnin lalu yang mengakui hampir semua pemimpin pelajar di universiti tempatan didapati tidak menyokong kerajaan.

Hishammuddin dilaporkan berkata keadaan itu berlaku kerana terdapatnya "unsur-unsur kebencian yang disemai di kalangan para pemimpin pelajar berkenaan oleh pihak tertentu."

Asyraf Wajdi mempertikaikan sikap masyarakat yang mengkritik kelesuan pelajar dengan tuduhan mereka tidak peka keadaan semasa tetapi mengecam pelajar apabila mereka mengeluarkan pandangan.

"Satu ketika dahulu pemimpin pelajar dikatakan beku dan lesu kerana kami dianggap tidak mampu menimbulkan idea-idea kreatif dan kritis terhadap apa yang berlaku di sekeliling kami," katanya.

"Sekarang kalau kami mula mengkritik (kerajaan), maka kami dilabel pula sebagai menentang kerajaan dan dihasut oleh pihak pembangkang."

Kenyataan Hishammuddin itu turut dipertikaikan oleh sebuah lagi pertubuhan pelajar, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung Malaysia (Gamis). Pertubuhan itu mendesak pemimpin Umno itu "memohon maaf kepada seluruh pemimpin pelajar kerana membuat tuduhan liar dan menfitnah terhadap mereka."

"Gamis amat kesal dengan kenyataan yang cukup menghina dan merendah-rendahkan pemimpin siswa yang telah dipilih oleh siswa sendiri," kata Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Rahman, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .

Gamis dianggotai kumpulan-kumpulan pelajar Islam daripada universiti-universiti awam utama di negara ini.

Menurut Muhammad Faisal lagi, Gamis juga berasa "kecewa dan terguris hati" dengan Ketua Pemuda Umno itu yang "menggambarkan sikap buruk sangka mereka (Pemuda) terhadap pemimpin siswa."

"Pandangan dan suara siswa yang memberi kritikan dan protes kepada kerajaan bukanlah bererti menentang kerajaan tetapi sebagai teguran dan nasihat yang timbul daripada idea dan aspirasi siswa," katanya.

Akhbar hari ini pula melaporkan kenyataan Hishammuddin yang menyeru pelajar universiti agar berani membuat pendirian bagi menyokong kerajaan untuk menghilangkan sebarang tanggapan bahawa ramai pemimpin pelajar di universiti menentang kerajaan.