BERITA

Polis ramai: Tuduhan PAS mengelirukan

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jan 2009, 5:28 pagi

Menteri dalam negeri berkata PAS cuba mengelirukan rakyat dengan membuat pelbagai tuduhan kepada anggota pasukan keselamatan yang mengawal dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

kuala terengganu by election 140109 syed hamid albar Datuk Seri Syed Hamid Albar juga menyeru orang ramai agar menghormati tugas polis menjaga keselamatan orang ramai pada pilihanraya kecil ini.

"Hormatlah kerja-kerja polis, jangan hina dan kutuk mereka.

"Kalau polis tiada, dia kata polis tidak buat kerja. Kalau polis ramai, dia (dakwa) takut pula," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong bahawa anggota polis yang bertugas dalam kawasan parlimen tersebut meningkat kepada 10,000 orang.

Sebelumnya 6,000 anggota polis dilaporkan dikerah ke Kuala Terengganu sepanjang kempen mulai 6 Januari hingga hari mengundi Sabtu ini.

Dalam sidang media harian di pejabat PAS Kuala Terengganu semalam, Wan Abdul Mutalib berkata, kehadiran sejumlah besar anggota polis menakutkan pengundi.

Syed Hamid menjelaskan, hanya 3,500 anggota yang berkawal dalam pilihanraya ini.

Tambahnya, jika ada keperluan, kementeriannya akan meningkatkan jumlah anggota pasukan keselamatan.

"Tetapi kalau orang PAS ceramah, polis seorang dia kata 20 orang," katanya dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu hari ini selepas majlis pelancaran Masyarakat Wanita Anti Dadah (Mawadah).

Beliau berkata, ada orang mengadu mengapa polis mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di daerah ini di sepanjang tempoh berkempen.

"Kalau kita tidak sekat, apa kata kalau ada orang mebawa bahan berbahaya di atas jalan raya?" katanya.

Tempoh berkempen pilihanraya ini hingga kini bebas daripada insiden tidak diingin kerana adanya anggota polis yang menjaga keselamatan, tambahnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.