Cadangan skim pencen untuk pekerja swasta
Kabinet mengarahkan Kementerian Sumber Manusia supaya menyediakan satu kertas kerja mengenai cadangan penubuhan skim pencen kepada pekerja-pekerja swasta melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata skim itu akan menjamin para pesara sektor swasta mendapat pencen setiap bulan mengikut jumlah caruman KWSP masing-masing, lapor Bernama.
Ramai pencarum KWSP menghabiskan wang mereka dua tahun selepas bersara, kata Subramaniam pada majlis penyampaian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 15 pencarum di Kuala Terengganu hari ini.
Subramaniam berkata Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab dalam melaksanakan skim itu.
Kabinet, katanya telah meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan kertas kerja mengenai skim itu untuk diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

