BERITA

Ong berterima kasih kepada pengundi Cina

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Jan 2009, 3:10 petang

Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat mengucapkan terima kasih kepada pengundi Cina di Kuala Terengganu yang kekal menyokong MCA dalam pilihanraya kecil hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada petugas kempen BN, terutamanya ahli-ahli MCA, yang berusaha tanpa mengenal penat lelah sepanjang kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, walaupun keputusan pilihanraya kecil hari ini tidak memihak kepada BN, tetapi beliau tetap berterima kasih kepada pengundi Cina yang kekal bersama MCA "dalam waktu yang sukar ini".

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 32,881 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Bagaimanapun, kata Ong, beliau dimaklumkan bahawa sokongan pengundi Cina kepada BN sebenarnya telah meningkat, berbanding dengan pilihanraya umum Mac lalu.

"Kita tidak akan mengambil ringan kepercayaan mereka itu," kata Ong lagi.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, BN menang di semua empat peti undi yang majoriti pemilihnya terdiri daripada kaum Cina.

Keputusan pengundian

Di Pulau Kambing, BN mendapat 1,225 undi manakala PAS mendapat 958 undi. Seramai 73 peratus pemilih keluar mengundi.

Di Kampung Cina pula, BN mendapat 1,125 undi dan PAS mendapat 668 undi. Seramai 69 peratus pemilih keluar mengundi.

Di Paya Bunga pula, BN mendapat 921 undi manakala PAS mendapat 764 undi. Seramai 69 peratus pemilih keluar mengundi.

Dan di peti undi Pejabat Bandaran, BN mendapat 843 undi dan PAS mendapat 681 undi. Seramai 66 peratus pemilih keluar mengundi.

Menurut Ong lagi, keputusan rakyat melalui peti undi itu menunjukkan bahawa "aspirasi semalam tidak sama dengan hari ini ataupun esok".

"Kami kini semakin bersemangat untuk bekerja lebih kuat lagi untuk berkhidmat kepada rakyat sepertimana yang mereka kehendaki.

"Kita tidak boleh lagi beranggapan bahawa kita lebih pandai daripada mereka," tambahnya.

Pengundi serba salah

Bagaimanapun, pemimpin DAP di Kuala Terengganu berkata, jumlah pengundi Cina yang keluar mengundi hari ini, berkurangan berbanding dengan Mac dulu.

Mereka berpendapat, ia merupakan faktor mengapa sokongan terhadap pembangkang merosot dalam pilihanraya kecil hari ini.

Menurut mereka lagi, terdapat sebilangan besar pengundi Cina di Kuala Terengganu yang bekerja di negeri-negeri lain.

Kumpulan pengundi ini, tambah mereka, yang biasanya merupakan penyokong pembangkang, tidak dapat balik kerana tarikh mengundi dekat dengan tarikh perayaan Tahun Baru Cina.

Manakala pemimpin PKR pula berpendapat kekurangan undi untuk calon pembangkang kali ini adalah kerana tekanan kuat pihak BN sehingga membuat pengundi Cina mengambil 'jalan selamat' dengan tidak keluar mengundi.

Menurut mereka, pengundi Cina tersebut tidak mahu mengundi BN, tetapi bimbang, jika mereka mengundi calon PAS, tidak akan ada pembangunan di kawasan mereka.

Ini ekoran kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan pembangunan di kawasan yang menyokong BN.

Sepanjang tempoh kempen, para pengundi Cina menunjukkan kecenderungan mereka untuk menghadiri majlis ceramah pembangkang dan ramai juga yang menderma kepada tabung pilihanraya anjuran pihak pembangkang.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.