Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Tanda rakyat dahagakan perubahan...
Diterbitkan:  Jan 17, 2009 11:19 PM
Dikemaskini: 3:21 PM

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucap tahniah dan syabas kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan seluruh jentera Pakatan Rakyat yang berkempen untuk menjamin kemenangan Pakatan di Kuala Terengganu.

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, Pakatan Rakyat berjaya menambah satu lagi kerusi di Dewan Rakyat, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 82 kerusi," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada para pengundi Kuala Terengganu kerana memilih calon PAS, YB Mohd Abdul Wahid Endut sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru," kata beliau yang juga ketua umum PKR.

Anwar berkata, beliau percaya Abdul Wahid akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

"Bukan sahaja kepada warga Kuala Terengganu, bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Kemenangan beliau menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan.

"Maknanya hari ini kita menyaksikan di Kuala Terengganu, rakyat menuntut perubahan.

"Warga Kuala Terengganu melalui pilihanraya kecil ini telah memilih seorang calon yang mereka yakini akan dapat bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat lainnya di Parlimen untuk merealisasikan agenda perubahan tersebut.

"Kemenangan ini juga seharusnya menjadi pemangkin serta pencetus keazaman di kalangan pendokong Pakatan Rakyat untuk terus bekerja dengan lebih kuat, bukan untuk kita, akan tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Moga Ketuanan Rakyat akhirnya menjadi kenyataan," kata Anwar.

ADS