PAS akan mengemukakan isu kepincangan badan kehakiman, khususnya berhubung perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbincangan dengan Umno Isnin depan.

Tiga lagi isu utama yang dicadangkan termasuklah hubungan antara kerajaan Pusat dengan Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS, penyalahgunaan dana awam untuk menyelamatkan syarikat tertentu dan saranan Umno untuk menggugurkan nama Islam pada parti itu.

Keputusan ini dicapai dalam satu mesyuarat biro politik parti itu semalam.

"Sebagai pembuka perbincangan, antara perkara yang disebutkan (dalam perbincangan itu) adalah (untuk) mengembalikan semula hak royalti (Terengganu) seperti yang sedia termaktub dalam perjanjian (dengan Petronas)," kata Setiausaha Agungnya Nasharudin Mat Isa kepada malaysiakini hari ini.

Beliau berkata PAS bertegas agar pertemuan itu dinamakan 'perbincangan perpaduan nasional' dan menyifatkan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hujung lalu sebagai "high-handed" (angkuh).

Ahad lalu, Dr Mahathir mendedahkan butir-butiran penting, termasuklah tarikh pertemuan pada 19 Februari depan, jumlah perwakilan seramai enam orang bagi setiap parti dan isunya menyentuh perpaduan Melayu sebagai sebahagian perpaduan nasional.

"Kenyataan beliau (Dr Mahathir) bahawa perpaduan nasional adalah sebahagian daripada perpaduan Melayu lebih-lebih lagi lagi melukakan sebahagian besar rakyat, khususnya penyokong PAS dan Barisan Alternatif," kata Nasharudin lagi.

Bagaimanapun menurutnya lagi, PAS tidak akan membelakangkan isu perpaduan Melayu tetapi lebih mengutamakan isu-isu negara dan rakyat secara menyeluruh.

PAS juga bercadang mengemukakan usul agar lidah rasmi parti itu Harakah dibenarkan diterbitkan dua kali seminggu seperti sebelum dihadkan kepada dua kali sebulan mulai Mac tahun lalu.

Parti Islam itu turut melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan keras polis ketika menyuraikan perhimpunan Barisan Alternatif di Sabak Bernam, Selangor pada 10 Februari lalu dan di Kubang Pasu, Kedah semalam.

"Tindakan seperti ini bercanggah dengan semangat perpaduan nasional yang hendak dicapai (antara PAS-Umno)," katanya lagi.