BERITA

Khir Toyo dakwa ada bukti terhadap MB S'gor

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jan 2009, 7:47 pagi

Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

"Kita kesal dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu bahawa lembu dihantar ke kawasan itu (Bandar Tun Razak), dan tidak ada arahan berhubung pembayaran RM110,400 itu.

khir toyo pc on selangor corruption 220109 01 "Sebenarnya kita ada bukti dokumen yang menyatakan arahan (telah) dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Umno Selangor di Shah Alam, pagi tadi.

Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

‘Arahan bayaran’

Abdul Khalid juga dilaporkan berkata, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).

khir toyo pc on selangor corruption 220109 03 Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Dr Mohd Khir berkata, surat tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri berhubung pengedaran lembu korban kepada surau, madrasah dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak.

Surat tersebut ditandatangani oleh ketua setiausaha kepada menteri besar dan di alamat kepada pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Surat itu bertarikh 27 November tahun lalu. Catatan bertulis tangan berkenaan arahan supaya bayaran itu dibuat pula bertarikh sehari selepas itu.

Catatan itu, juga diakhiri dengan tandatangan di penjuru kanan bawah surat berkenaan.

Dr Mohd Khir berkata, beliau juga mempunyai salinan invois dan resit pembayaran bagi pembelian lembu-lembu korban tersebut.

Menurut beliau, resit pembayaran pula bertarikh 16 Disember tahun lalu, katanya,

Minta MB kosong jawatan

Beliau turut menunjukkan surat tersebut kepada wartawan. Bagaimanapun tiada salinan diedarkan kepada media.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, beliau menerima dokumen tersebut melalui pos dua hari lalu.

Sehubungan itu, Dr Mohd Khir menyifatkan kenyataan Abdul Khalid sebagai sebuah "penipuan, pembohongan, dolak-dalik" serta bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat bahawa mereka akan memastikan ketelusan dalam kerajaan di bawah pentadbirannya.

"Saya tak nampak ini ketelusan, ini ketipuan (penipuan)," katanya sambil menambah perkara yang sama berlaku berhubung kos pembelian kereta Toyoto Camry oleh kerajaan negeri bulan lalu.

Dr Mohd Khir, bagaimanapun berkata, Umno Selangor tidak perlu lagi tampil membuat laporan kerana laporan yang dibuat telah cukup, setelah Gerak tampil mengemukakan aduan yang sama kepada SPRM semalam.

Dr Mohd Khir berkata, beliau juga difahamkan suruhanjaya tersebut telah menggeledah pejabat menteri besar dan pejabat PKNS dua hari lalu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Abdul Khalid mengosongkan kerusi menteri besar sehingga selesai siasatan.

Bercakap lanjut mengenai ketelusan dalam pentadbiran, beliau turut menempelak kerajaan negeri yang didakwanya masih tidak mengamalkan tender terbuka berhubung projek-projek pihak berkuasa tempatan.

Sebagai bukti, beliau berkata, tiada iklan dibuat dalam akhbar-akhbar arus perdana berhubung perkara itu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.