Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok

       

Kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) esok.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, penyair Dinsman, profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Keempat-empat mereka menganggotai jawatankuasa Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), penganjur tunjuk perasaan itu yang dinamakan majlis pelancancaran perhimpunan besar 100,000 rakyat.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said turut diura-urakan akan menyertai majlis pelancaran itu.

Dihubungi hari ini, beliau bagaimanapun masih berteka-teki dengan berkata: "Awak tengoklah esok."

hasni abas gmp 300109 Setiausaha GMP Hasni Abas (foto kiri) memberitahu Malaysiakini , tokoh-tokoh itu akan berucap menolak PPSMI dan program ringkas ini yang bermula jam 3 petang diakhiri dengan acara pelancaran oleh Dr Hassan sebagai pengerusi jawatankuasa induk GMP.

GMP merancang menganjurkan perhimpunan besar-besaran awal Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 (foto kanan) - untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

bersih rally 271207 01 Majlis pelancaran itu yang turut disertai beberapa ahli politik PKR dan PAS akan dimeriahkan dengan bacaan sajak bertemakan perjuangan bahasa.

Hasni, juga presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP berkata, sebanyak 2,000 risalah menentang PPSMI akan turut diedarkan kepada orang ramai di sekitar kompleks tersebut.

Mengulas sebab Sogo dipilih sebagai tapak pelancaran perhimpunan GMP dua bulan lagi, beliau berkata:

"Tempat itu ramai orang. Perjuangan kita perjuangan rakyat. Kita kena pergi kepada rakyat."

Tambahnya, majlis pelancaran itu tetap dilangsungkan walaupun tanpa permit polis.

"Polis kena lebih faham. Kita pun warganegara juga yang ada hak (berhimpun)," katanya.

Ahad ini, PAS yang bergabung dalam GMP akan mengadakan ceramah berhubung isu PPSMI di Markaz Tarbiyyah, Gombak.

Malaysiakini
terkini untuk anda