MCA K'tan nafi ahli keluar parti
MCA Kelantan menafikan laporan sebuah akhbar tempatan di negeri itu bahawa terdapat segelintir anggota termasuk beberapa pemimpinnya akan keluar parti dan menyertai DAP.
Setiausaha Badan Perhubungan MCA Kelantan, Tan Ken Ten berkata laporan itu tidak berasas dan bertujuan memecahbelahkan perpaduan parti itu.
"Tidak benar mereka akan keluar MCA dan menyertai DAP, seterusnya menyaksikan bertapaknya semula DAP di Kelantan yang berkubur sejak sekian lama.
"Perpaduan dalam MCA sangat kuat dan kami tidak percaya terhadap laporan itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Laporan akhbar itu menyebut kira-kira 200 anggota MCA dan Gerakan akan keluar parti dan menyertai DAP dalam satu pertemuan dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dijadual diadakan Kota Bharu malam ini.
DAP berkubur di Kelantan sejak 10 tahun lalu dan senario politik semasa mencetuskan khabar angin DAP akan kembali bertapak di negeri itu.
Tan berkata sejak PAS memerintah pada 1990 tidak ramai ahli MCA keluar parti.
"Tidak sampai pun 10 orang yang keluar parti dan menyokong pembangkang dan ini membuktikan kesetiaan kami kepada parti," katanya.
Beliau berkata apa yang penting MCA akan mewujudkan jalinan kerjasama yang mantap dengan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap BN.

