Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu notis rasmi dari Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu Bernama Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu menerima notis rasmi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Katanya, speaker dewan perlu memberi notis rasmi kepada pengerusi SPR supaya mesyuarat khas diadakan untuk membuat keputusan berhubung pilihanraya kecil.

Roslan, meninggal dunia pagi ini di Batu Gajah dipercayai kerana serangan jantung semasa sedang menunggang basikal untuk ke farmasi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa berkata jentera pilihanraya parti itu bersedia untuk menghadapi sebarang pilihanraya, termasuk pilihanraya negeri sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

"Pengarah pilihanraya negeri PAS, Asmuni Awai telah memaklumkan kepada saya sebelum ini bahawa jentera parti telah dikerahkan di semua peringkat untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika DUN dibubar," katanya ketika dihubungi.

Nasaruddin yang juga ahli Parlimen Bachok berkata kematian allahyarham Roslan adalah ketentuan Ilahi dan tiada kena mengena dengan apa yang berlaku di Perak sekarang.