Malaysiakini BERITA

Saravanan calon Bukit Selambau?

Athi Veranggan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

MIC mungkin mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, V Saravanan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di situ pada 7 April depan.

Menurut sumber-sumber, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sedang menimbang secara serius untuk mencalonkan Saravanan yang juga pengerusi MIC Kedah bertanding bagi merebut semula kerusi

tersebut.

bm version bukit selambau state seat 090209 Saravanan, 61, menjadi Adun Bukit Selambau serta ahli exco kerajaan negeri Kedah selama 13 tahun dari 1995 hingga 2008.

Beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu dalam pilihanraya umum tahun lalu untuk memberi laluan kepada calon muda dari MIC, S Krishnan, yang tewas kepada calon bebas V Arumugam dengan majoriti 2,362 undi.

Arumugam, 54, meletak jawatan secara mengejut bagi jawatan exco negeri serta Adun Bukit selambau awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihanraya bagi kerusi tersebut diadakan pada 7 April depan, manakala pencalonan calon pada 29 Mac ini.

Ketika dihubungi, Saravanan bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu yang namanya sedang dipertimbang untuk bertanding di Bukit Selambau.

Namun begitu, katanya, jika dipilih, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk merampas semula kerusi tersebut dalam pilihanraya kecil kali ini.

Sementara itu, pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Umno negeri akan menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang akan bertanding.

"Datuk Seri Najib telah dimaklumkan dan beliau faham suasana di Bukit Selambau. Jadi saya berharap sebarang keputusan akan mengambil kira pelbagai sudut," kata Mahdzir.

Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain sebelum ini dilaporkan memohon supaya kerusi Bukit Selambau yang diberikan kepada MIC selama empat penggal, dipulangkan kepada Umno.