Seramai tujuh orang penyokong reformasi hari ini ditahan polis dalam satu perhimpunan di Kuala Lumpur, termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua.

Tiga daripada mereka ditahan di depan balai polis Jalan Dang Wangi dan selebihnya berdekatan kompleks membeli-belah Sogo. Turut ditahan petang ini penulis tamu malaysiakini Hishamuddin Rais.

Seorang daripada tujuh lelaki itu mengalami pendarahan di mulut dan mereka dipercayai dibawa ke balai berkenaan.

Bagaimanapun polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tangkapan ini.

Kira-kira 3,000 penyokong pembangkang berarak dari balai polis itu melalui Jalan Raja Laut menuju Dataran Merdeka dan dipimpin oleh Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor.

Mereka melaungkan slogan "reformasi" dan "undur, Mahathir undur." Kumpulan itu kemudiannya bersurai di depan Mahkamah Persekutuan di bangunan Sultan Abdul Samad.

Kira-kira beberapa ratus penyokong reformasi selepas itu meneruskan perarakan melalui jalan yang sama menuju kompleks Sogo sehingga disuraikan oleh sekurang-kurangnya 50 anggota polis.

Sebelum itu, Ezam dan rakan-rakan sejawatnya daripada PAS Mahfuz Omar dan Parti Rakyat Malaysia Faisal Sanusi membuat laporan polis, dengan diiringi oleh Naib Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mereka meminta polis menyiasat dakwaan salah laku hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohtar Abdullah ketika menjawat Peguam Negara.

Dalam laporan polis itu, pembangkang mendakwa Mohtar gagal melaksanakan tugas pendakwaan dalam kes-kes yang jelas mempunyai prima facie (bukti yang kukuh).

"Beliau juga telah melakukan pendakwaan terpilih dan menyalahgunakan kuasa sebagai Peguam Negara," laporan itu dipetik.

Mohtar turut didakwa cuba menutup kes salah laku bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin walaupun laporan polis telah dibuat terhadap bekas hakim itu berhubung lawatannya di New Zealand dengan seorang peguam terkenal VK Lingam.

Menutup kes pemberian saham

Menurut laporan itu lagi, Mohtar pernah bercuti bersama seorang tokoh perniagaan Vincent Tan dan Lingam di Itali pada 1994.

"Sehubungan dengan itu, kami mengesyaki bahawa Mohtar telah menutup kes salah laku Eusoff Chin," laporan itu dipetik.

Mohtar juga didakwa menutup kes pemberian saham sejumlah 1.5 juta unit oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Rafidah Aziz kepada Fazrin Azwan, menantu menteri itu.

Menurut laporan itu, seorang pegawai polis telah memberikan keterangan di mahkamah Petaling Jaya berhubung dokumen cadangan pendakwaan terhadap Rafidah ketika perbicaraan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dituduh terhadap Ezam.

"Tetapi sehingga beliau (Mohtar) bersara sebagai Peguam Negara, tiada tindakan yang beliau laksanakan (untuk mendakwa Rafidah)," menurut laporan itu.