Perbincangan PAS-Umno esok ditangguh, 60 penyokong BA ditahan
versi terkini PAS secara mendadak memutuskan untuk menangguhkan pertemuan peringkat tertinggi dengan Umno yang dijadualkan esok ekoran "tidak terdapat keadaan yang baik (menggalakkan perpaduan)" dan "wujud beberapa kejadian yang memburukkan keadaan."
Keputusan parti Islam itu akan segera dimaklumkan kepada Umno petang ini.
Ia dicapai selepas satu mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu yang mendengar laporan-laporan biro politik dan jawatankuasa teknikal PAS.
Dalam satu sidang akhbar petang ini, Presiden PAS Datuk Fadzil Noor juga menyatakan beberapa perkara teknikal tentang pertemuannya dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad masih belum diselesaikan.
"Antara isu-isu yang kita harap dapat diselesaikan ialah pengembalian status quo - isu royalti minyak yang belum mendapat komitmen (persetujuan) daripada Umno," kata Fadzil.
"Kedua, mengenai isu (lidah rasmi PAS) Harakah yang asalnya lesen (permit penerbitan) dikeluarkan dua kali seminggu tetapi sekarang hanya dua kali sebulan. Kita minta (kerajaan) kembalikan status quo kepada dua kali seminggu."
Menurut laporan akhbar The Sun hari ini, antara isu yang menjadi pertikaian dengan jawatankuasa teknikal Umno Jumaat lalu termasuklah kepincangan badan kehakiman negara, khususnya berhubung perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khamis lalu, PAS mengemukakan empat isu, selain Anwar, termasuklah hubungan antara kerajaan Pusat dengan Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS, penyalahgunaan dana awam untuk menyelamatkan syarikat tertentu dan saranan Umno untuk menggugurkan nama Islam pada parti itu. ([#1] PAS kemukakan empat isu, termasuk Anwar [/#], 15 Feb)
Polis menahan lebih 60 penyokong pembangkang dan orang ramai dalam tiga perhimpunan hari ini dan semalam bagi menyuarakan beberapa isu, termasuk desakan agar bekas Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah disiasat dan isu penutupan sebuah sekolah rendah Cina di Damansara.
Polis juga mengganggu perhimpunan pembangkang di Kubang Pasu beberapa hari lalu dan di Kulim pagi ini, kedua-duanya di Kedah.
Tangkapan dan gangguan ini telah menjadi antara punca utama yang menyebabkan PAS menangguhkan pertemuan dengan Umno esok.
"Kita tidak mahu terjadi seperti perundingan Palestin (dengan Israel), perundingan diadakan tetapi tembak-menembak dan bunuh-membunuh (terus) berlaku," kata Fadzil lagi.
"Bagaimana kita hendak berunding di dalam sesebuah bangunan apabila di luar (tempat perundingan) penuh dengan keadaan yang tidak selesa."
Di KUALA LUMPUR, polis hari ini telah membebaskan 47 penyokong Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Damansara yang ditahan dalam satu perarakan dari pusat bandar ke sekolah itu di Seksyen 17 Petaling Jaya, Selangor.
Semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis menjelang jam 4 petang dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis tempat mereka ditahan pada 4 dan 5 Mac depan.
Pengundi hantu
Mereka ditahan di beberapa tempat sepanjang acara 'jogathon' (berjalan kaki) bermula jam 8 pagi hingga menjelang tengahari ini.
Seramai 30 orang ditahan di balai polis Tun HS Lee dan selebihnya di balai Brickfields.
Bagaimanapun kira-kira 50 penyokong sempat menamatkan acara itu di sekolah berkenaan. Mereka memulakan acara berjalan kaki di Plaza Pudu.
Sementara di KULIM, polis menangkap lapan penyokong reformasi, termasuk seorang aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional N Gobalakrishnan dan dua orang wanita, yang berkumpul di depan mahkamah magistret Kulim bagi membantah isu pengundi hantu.
Kelapan-lapan orang itu dibebaskan kira-kira jam 5 petang tadi.
Sementara beberapa pemimpin utama Keadilan menghadapi perbicaraan berhubung pilihan raya kecil Lunas, Kedah November tahun lalu. Perbicaraan itu ditangguhkan pada 18 Jun depan.
Sumber-sumber memberitahu malaysiakini , beberapa ribu penyokong reformasi disuraikan anggota polis dengan gas pemedih mata dan pancutan air kimia kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Baju dan seluar seorang penyokong wanita itu, Nusrat Mohamad, terkoyak ketika polis cuba menahannya.
Semalam, tujuh orang penyokong reformasi ditahan polis dalam satu perhimpunan di Kuala Lumpur, termasuk Naib Presiden Keadilan Tian Chua dan kolumnis malaysiakini Hishamuddin Rais. ([#2] Tujuh penyokong reformasi ditahan, termasuk Tian Chua [/#], 17 Feb)
Semua mereka dibebaskan pada sebelah malam dengan ikat jamin polis setelah ditahan beberapa jam sebelum itu.
Nota: Maklumat terakhir angka tangkapan di Kuala Lumpur hari ini disahkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram)


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.