Mahkamah tolak bantahan Anwar
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak bantahan awal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rayuan pendakwaraya supaya kes liwat terhadapnya di dengar di Mahkamah Tinggi.
Hakim Zabidin Md Diah berkata mahkamah tersebut mempunyai kuasa budibicara yang luas untuk mendengar rayuan pihak pendakwaraya.
Katanya, mahkamah kemudiannya akan membuat keputusan berdasarkan kepada meritnya.
Mahkamah mendengar rayuan pihak pendakwaraya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Pada 7 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, SM Komathy Suppiah memutuskan supaya kes tersebut terus didengar di mahkamahnya.
Awal pagi ini, Anwar menarik balik permohonannya untuk membatalkan kelayakan Mohd Yusof Zainal Abiden, sebagai ketua pendakwaraya dalam perbicaraan kes liwat terhadapnya.
Peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah memberitahu Zabidin bahawa pihaknya memutuskan untuk menarik balik permohonan tersebut selepas, Mohd Yusof, dalam satu afidavit, menafikan pernah melihat kertas siasatan insiden 'mata lebam' Anwar pada 1998.
Sulaiman berkata, berdasarkan afidavit tersebut, pihak pembela tidak ada asas untuk membatalkan kelayakan Mohd Yusof.
Beliau sebelum ini menyatakan bahawa Mohd Yusof adalah salah seorang hakim yang mewakili Peguam Negara, Mohtar Abdullah, dalam kes 'mata lebam' Anwar.
Mahkamah Tinggi kemudiannya mendengar rayuan pihak pendakwaraya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tidak memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
[Baca berita penuh]

