Kenyataan Kayveas kebudak-budakan: IPF
Presiden Barisan Progresif India (IPF) Datuk MG Pandithan mempertahankan tindakan partinya menggunakan logo Parti Progresif Rakyat (PPP) dalam mesyuarat agung IPF pada 11 Februari lalu.
"Semua yang Kayveas katakan (tentang logo) adalah kenyataan budak-budak (childish talk)," kata Pandithan kepada malaysiakini . "Orang yang waras tidak akan mengatakan isu meletakkan logo ini sebagai satu kesalahan."
Pandithan mengulas laporan akhbar The Sun semalam yang menyebutkan kenyataan Presiden PPP Datuk M Kayveas yang meminta penjelasan IPF berhubung penggunaan logo PPP dalam kertas undi untuk memutuskan sama ada IPF akan menyertai Kongres Kesatuan India (MIC) atau PPP.
Pada kertas undi itu, terdapat logo tiga parti tersebut untuk diundi oleh para perwakilan.
PPP menggesa IPF memberikan penjelasan mengapa parti itu tidak meminta kebenaran PPP sebelum menggunakan logo tersebut.
Menurut akhbar itu, Kayveas dilaporkan berkata IPF diberikan masa dua minggu untuk menjelaskan isu tersebut.
Dalam laporan itu, Kayveas yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan ahli-ahli Cina dalam partinya menentang sikap IPF yang melagakan MIC dan PPP ketika undi rahsia tersebut.
Ketika dihubungi hari ini, Pandithan berkata mereka menggunakan logo PPP kerana mereka mendapat jemputan dari parti itu sendiri.
"Logo parti politik bukan seperti logo syarikat. Ia adalah 'hak istimewa rakyat'. Jadi ia bergantung kepada kami untuk menggunakannya," katanya. "Beliau (Kayveas) yang menjemput kami untuk menyertai parti itu. Jadi, apa salah kalau (kami) letak logo itu di kertas undi?"
"Saya tidak mahu beri apa-apa komen berkenaan dengan surat PPP kerana saya masih belum menerima sebarang surat dari Presiden parti itu," kata Pandithan .
Bulan lepas IPF menerima jemputan daripada MIC bagi menyertai parti tersebut dalam usaha menyatukan kaum India dalam Barisan Nasional. PPP juga mengambil langkah yang sama kepada ahli-ahli IPF untuk meyertai parti tersebut jika mereka tidak mahu menerima jemputan MIC.
Bagaimanapun kedua-dua jemputan tersebut ditolak oleh pucuk pimpinan IPF dalam undi rahsia yang diadakan di mesyuarat agung parti tersebut awal bulan ini. Undian daripada 2,950 perwakilan umumnya memutuskan untuk kekal bersama IPF, satu undi menyokong cadangan menyertai MIC dan satu undi untuk PPP.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.