Batal hantar memo ke Parlimen
Sekumpulan individu yang merancang untuk menghantar memorandum kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kerana tidak puas hati dengan tindakan polis menembak mati enam orang yang disyaki penjenayah di Kulim bulan lalu, telah membatalkan hasrat mereka untuk berbuat demikian hari ini.
Mereka ditembak mati oleh polis Sungai Petani pertengahan bulan lalu kerana disyaki melakukan jenayah rompakan bersenjata sekitar Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Sebaliknya, mereka akan menghantar memorandum tersebut kepada ibupejabat polis di Bukit Aman Rabu depan, kata ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sebab-sebab rancangan hari ini dibatalkan.
Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohamad Sabtu Osman dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan, termasuk mengadakan kawalan dan sekatan yang lebih ketat untuk memastikan tidak ada sebarang kekecohan berlaku pada hari tersebut.
Menurut Mohamad Sabtu, polis tidak akan sesekali bertolak ansur dengan mereka yang ingkar dengan arahan tersebut kerana ia adalah perhimpunan haram yang menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Tinjauan Malaysiakini pagi tadi mendapati kira-kira 25 anggota polis menunggu di sepanjang jalan menuju ke bangunan Parlimen.
Sekurang-kurangnya tiga sekatan diadakan oleh pihak polis sebelum orang ramai dapat memasuki bangunan Parlimen.
Kira-kira 30 wartawan dan jurugambar turut berada di situ untuk membuat liputan.

