'Mentega' 31 Ogos berkumandang
Benarlah kata Hang Tuah, sejarah pasti berulang. Buat kesekelian kalinya kita menyambut ketibaan bulan kemerdekaan. Bukan sehari, bukan dua tetapi 30 hari. Motifnya cukup jelas, namun pencapaiannya sukar untuk diperkatakan.
Omong-omong mulai kedengaran menyeru kita memperingati perjuangan tokoh-tokoh silam. Dalam mendidik kita menghargai kebebasan, kita diajar sejarah. Memang benar tanggal 31 Ogos Tanah Melayu mengecapi erti kemerdekaan mutlak setelah dijajah Portugis, Belanda dan British. Jepun sempat menduduki Tanah Melayu setelah menipu bijak pandai tempatan dengan slogan murahan, 'Asia untuk Orang Asia'.
Benarlah kata Hang Tuah, sejarah pasti berulang. Buat kesekelian kalinya kita menyambut ketibaan bulan kemerdekaan. Bukan sehari, bukan dua tetapi 30 hari. Motifnya cukup jelas, namun pencapaiannya sukar untuk diperkatakan.
Omong-omong mulai kedengaran menyeru kita memperingati perjuangan tokoh-tokoh silam. Dalam mendidik kita menghargai kebebasan, kita diajar sejarah. Memang benar tanggal 31 Ogos Tanah Melayu mengecapi erti kemerdekaan mutlak setelah dijajah Portugis, Belanda dan British. Jepun sempat menduduki Tanah Melayu setelah menipu bijak pandai tempatan dengan slogan murahan, 'Asia untuk Orang Asia'.
Dalam diam, sebahagian besar rakyat Malaysia lupa Tanah Melayu hanyalah sebahagian daripada Malaysia. Sejarawan kita yang bergantung-harap dari upah dan projekkilat, hanya senyum sumbing mengiakan segala apa yang dilaungkan pemimpin. Siapa mahu susah, bising. Kalau mahu senang, lebih baik diam.
Obligasi sosial terpaksa dikemudian demi kejayaan agenda politik. Segala jentera sudah berderuman. Mesej dilaungkan, 31 ogos Hari Kebangsaan ke 47.
Hakikatnya, Malaysia ditubuhkan tanggal 16 September 1963. Perkiraan kalkulator, sempoa atau mental aristhmatics semuanya sama 2004 1963, jawapanya 41.
Kibarkan bendera
Bagaikan samseng-samseng bawah umur, kenderaan di Malaysia akan disangkutkan bendera. Lori, bas kilang dan trak penunda tidak terkecuali. Malah Kancil sporty Mat Rock sarat dengan bendera mini. Sungguh hebat suasana yang diwujudkan. Namun, ketulenan jatidiri atau sekadar terikut-ikut, hanya tuhan yang tahu. Simbol kekuatan nasionalisme atau sekadar merebut peluang untuk mencantik kenderaan dengan aksesori murah sesuai dengan mood pesta.
Bahaya belakang kira. Kalau ada kemalangan korbannya sekadar seorang dua, rakyat Malaysia sudah biasa. Lagipun pengguna jalan mati setiap hari.
Suasana di kampung cukup meriah. Bagaikan pesta kenduri-kendara, rumah Penghulu, ketua Kampung dan Tok Mudim bertanding bendera siapa terbesar. Namun, lubang-lubang di bahu jalan serahkan sahaja kepada JKR atau Majlis Perbandaran. Titi senget, jambatan bergoyang dan kuburan semak, tunggu sahaja projek dari YB. Atap bocor kemudian sahaja menampalnya. Semangat merdeka lebih utama. Ia perlu dilihat dan dipertontonkan walau apa cara.
Wang saku tambahan
Pasaraya, kedai kopi dan kaki lima dibanjiri bendera. Kebanyakannya buatan China. Susun jalur, warna bendera, belakang kira, asal bentuknya ala Malaysia.
Segenap pelusuk negara, perniagaan utama ialah bendera. Kecil besar, murah dan mahal, semuanya ada. Lagu Saya Anak Malaysia serta 31 Ogos nyanyian Dr Sam Rasputin dan Sudirman pasti dimainkan kuat-kuat. Liriknya membawa konotasi tidak tepat siapa peduli.
Janji 'business' jalan. Duit masuk, semua ok 'brother'.
Hampir setiap kilometer jalan, pasti ada bendera mini yang gugur. Terlucut dek kualiti gam murahan, mungkin juga pemandunya melebihi had laju.
Pak Menteri tidak akan berbunyi, selagi bendera tidak terpelanting memecahkan cermin Mercedes si buah hati. Gilis sahaja, asalkan batangnya tidak mencucuk tayar.
Pesta mabuk-mabukan
Bahu-bahu jalan malam menjelang 31 Ogos pasti sesak. Kanak-kanak, remaja dan orang tua sama sahaja. Bukan untuk mengingati erti Merdeka. Yang kecil ingin melihat bendera, orang tua mencuci mata sementara muda-mudi berpesta. Bohsia dan bohjan bersedekah harga diri, macam-amacam ada.
Bir murah tidak sampai RM2 setin. Arak dan todi cuma RM5 sebotol. Segalanya berjalan rancak, kalau ada pun tindakan polis, hanyalah laungan amaran di corong radio dan dada akhbar.
Setelah diberkas, keesokannya pasti dibebas. YB hanya melenting bila anaknya diganggu-gugat. Bila ke Parlimen semuanya lupa. Tersilap kata buruk padahnya, musim depan nama tercicir. Hilanglah bisnes, gugurlah standard. Diam-diamkan sahaja pastikan kaya.
Union Jack, Swastika atau Jalur Gemilang
Ketika Pak Menteri sibuk menghitung 'countdown', beliawan-beliawanis kita mundar-mandir menjerit 'Mentega' 'Mentega' 'Mentega' di tangannya ada bendera.
Bukan buta huruf atau menghadapi masalah fonetik. Sekadar lebih seronok membawa Bendera Nazi dan Union Jack.
Bunyi merdeka dan mentega tidak jauh pula bunyinya. Maksudnya siapa nak ambil tahu. Kalau diperiksa latar belakangnya secara terperinci. Mungkin penemuan cendekiawan dari Oxford seperti di Euro 2004 turut berlaku. Lulusan tempatan usah diperkatakan lagi. Bab berpesta mereka mampu capai '4 flat' kalau ujian sekadar cukup makan sudahlah. Tak ada kerja, skim graduan menganggur sudah tersedia.
Konvoi merdeka dan integrasi nasional
Tidak lengkap Pesta Merdeka tanpa konvoi. Kalau mahukan darjah kebesaran persekutuan, kumpulkan saja handai taulan buat sedikit kelainan. Gembar-gemburkan di seantero nusantara "Kamilah konvoi Merdeka". Siapa tak tahu merebut peluang, pasti berputih mata.
Redahlah segenap pelusuk Malaysia. Laungkanlah apa sahaja, asalkan bunyinya macam 'Merdeka'. Integrasi nasional kata mereka. Tanyalah peserta siapa tahu bilakah Sarawak merdeka, berapa residensi di Sabah, pasti geleng kepala. Janji minyak percuma, alat ganti free, buah dada double-d melekap di belakang, 80,000 kilometer pun tak kisah.
Bila Menteri atau YB berucap, gasaklah, orang kampung pasti datang. Janji kenderaan dan makan minum tersedia, amanat dan mesej sekadar pointer untuk renungan wartawan menyempurnakan assignment.
Untuk mengimarakkan lagi perjalanan, selitkan sedikit upacara membaca Yassin. Imej dan prestij perlu dijaga.
Lumba halal dan lumba haram
Ketika anak-anak kelas menengah memperaga kereta mewah, golongan bawahan apa kurangnya. Media sudah menghebahkan. Pentas perlumbaan terbesar di Asia sudah tersedia. Disohorkan penuh dengan adab bersempena, 'Merdeka Race' namanya. Pesertanya bukan calang-calang orang. Lebih ramai kenamaan dari pelumba professional. Perlumbaan agunglah katakan. Inilah peluang memperagakan, kata orang sekarang 'Big Boys Toys', tapi tidak kurang juga 'Toy Boys' datang mengintai peluang, manalah tahu boleh mewarisi pimpinan negara.
Dalam hali ini, pembaziran bukan lagi satu isu, tetapi mufti kita mana berani nak keluarkan fatwa. Katang orang Utara, depa pun makan gaji dengan gomen, takut kena '24 Second Notice', rekod baru Sukan Olimpik.
Ketika race halal berlangsung 24 jam, bookie-bookie haram menganjurkan road race di segala ceruk negara. Yang patah kaki dan mati katak, boleh tahan jumlahnya. Tidak diam tanganlah kakitangan bilik 'A&E' dek karenah anak-anak merdeka. Untung besar milik ceti haram. Menang atau kalah, bookie atau racer, khidmat ceti haram wujud di merata tempat. Untung besar, halal atau haram, kubur asing-asing.
Cuti panjang dan aktiviti
Ketika kita sibuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, manis rasanya jika bulan merdeka turut disulami aktiviti kekeluargaan sejati. Malangnya belanjawan negara dihabiskan dengan mercu tanda serta projek simbolik.
Terkini Dewan Rakyat dan Dewan undangan negeri dibina dengan belanja ratusan juta. Ia perlu hebat. Maklumlah tempat wakil rakyat bersidang mencongak nasib pengundi dan menegakkan sistem perundangan negara. Apa-apa hal ia perlu disegerakan. Demi keberkesanan dan keselesaan para pengamal perundangan. Ironinya, sindrom ' rubber stamp' masih berleluasa. Ada rang undang-undang ditolak Dewan Negara. Tidak cukup itu semua, kini 'Hakim' pula tidak mampu menangani jumlah kes perundangan. Ada kes pembunuhan hanya akan dibicarakan tiga tahun dari tarikh kejadian.
Silap congakan atau sekadar protes bijaksana yang mahukan jumlah petugas ditambah, hanya masa yang menentukan.
Yang pasti lebih ramai rakyat Malaysia, dalam menyambut kemerdekaan tidak tahu sejarah negara, gagal mengaplikasi ilmu Matematik dan mengalami masalah fonetik. Union Jack, Swastika atau Jalur Gemilang, laungan 'Mentega' 31 Ogos pasti berkumandang lagi!
MUNSYI KASSIM, dari Sarawak, adalah pengamal media cetak dan elektronik mainstream yang 'dikongkong' oleh Kerajaan Barisan Nasional. Beliau adalah revolusioner sekadar tamat pelajaran di sekolah Melayu, tapi banyak dipengaruhi oleh pemikiran Barat.

