Tragedi keganasan Beslan, Russia, perlu dikutuk oleh setiap insan manusia, tanpa terkecuali. Seramai 326 orang terbunuh dalam kejadian tersebut, separuh daripadanya kanak-kanak. Tiada kitab mahupun ajaran agama yang menyeru sesiapa berbuat demikian, lebih-lebih lagi Islam.

Meskipun Islam bukan anti-peperangan secara total, Islam meletakkan peraturan-peraturan yang khusus dalam peperangan, 1400 tahun dahulu, jauh mendahului Konvensyen Geneva. Islam tidak membenarkan pembunuhan orang awam, apatah lagi kanak-kanak yang tidak berdosa.

Maka tidak hairanlah beberapa pemimpin Islam di Timur Tengah mengutuk tragedi berdarah tersebut, sebagai tidak Islamik. Ini termasuklah Sheikhul Azhar yang kontroversi, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi; pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mahdi Akef; dan seorang Islamis Mesir, Ahmad Bahgat.

Kita harus jujur dalam pertimbangan kita. Sebarang perbuatan yang tidak Islamik, malah menimbulkan fitnah dan merosakkan imej Islam, harus dikutuk, meskipun ia dilakukan oleh saudara seagama kita. Kini kita dilanda mentaliti terkepung, setiap tragedi yang melibatkan umat Islam kita nafikan dengan melontarkan dosa tersebut kepada konspirasi Yahudi atau Amerika.

Kata-kata mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika diwawancara oleh New York Times , sewaktu menjalani pembedahannya di Jerman baru-baru ini, harus kita renungi: "Umat Islam kini dalam penafian... Segala-galanya kita salahkan Amerika, Yahudi dan Kristian sahaja."

Islam itu sendiri membawa maksud perdamaian. Tetapi pada zaman ini kita, seolah-olah tidak mewakili maksud Islam itu sendiri. Kita harus berusaha untuk memberi imej tersebut kepada dunia. Tanggungjawabnya di tangan kita.

Adab berperang

Dunia Islam hari ini memerlukan kepimpinan yang berani, jujur dan ikhlas bagi meyakinkan umat Islam tentang kelemahan yang wujud dalam diri kita, dan cara-cara mengatasinya. Tidak susah melaungkan retorik "Islam adalah jawapannya", kesukarannya terletak pada cara mengambil nilai-nilai Islam tersebut dan mengaplikasikan dalam kehidupan kita pada hari ini.

Para alim-ulama memainkan peranan penting, begitu juga golongan umara. Golongan ulama harus meyakinkan umat Islam bagaimana Islam itu menyeru kepada perdamaian, dan bagaimana pembunuhan insan tidak berdosa, walaupun insan tersebut bukan Islam, merupakan perbuatan yang salah di sisi agama.

Al-Quran, Sunnah Rasulullah s.a.w., dan ajaran ulama-ulama terdahulu telah menetapkan garispanduan yang lengkap mengenai adab-adab berperang dan menentang musuh. Jika ada yang belum diulas, tidak salah para ulama berijtihad berdasarkan sumber-sumber utama Islam.

Para umara atau pimpinan politik pula perlu memberi ruang demokrasi kepada umat Islam. Kepentingan mempunyai masyarakat madani yang teguh tidak boleh dinafikan dalam usaha untuk membangkitkan semula ketamadunan Islam. Islam sememangnya menekankan penyatuan umat, tetapi penyatuan tidak bermaksud Islam tidak membenarkan perbezaan, sebagaimana yang cuba didakwa oleh diktator-diktator dunia Islam.

Harus ada kefahaman yang jelas antara perbezaan apakah yang dimaksudkan, sama ada perkara pokok atau furuk, sama ada perbezaan pandangan atau perbezaan akidah. Pada masa yang sama, ekonomi yang progresif dan saksama juga penting untuk memantapkan fabrik masyarakat dan menghalang terbabasnya sebahagian kecil daripada masyarakat tersebut kepada keganasan.

Korupsi, kronisme dan nepotisme harus dibendung; rasuah harus diperangi. Pergolakan politik sering didasari oleh gelodak ekonomi. Malaysia sering dijadikan contoh negara Islam yang pesat membangun. Tetapi jika wujud dasar ekonomi yang jelas dan kepimpinan demokratik, tidak mustahil negara-negara Islam yang lain boleh turut sama, malah mengatasi pencapaian Malaysia.

Pengharaman hijab

Mengatakan bahawa riba itu haram dan perniagaan itu halal adalah mudah, tetapi merencana dan mengisi dasar ekonomi yang realistik dalam menghadapi cabaran dunia hari ini adalah lebih sukar.

Ini tidak bermakna kita tidak mengecam punca-punca keganasan. Sukar untuk mengatasi keganasan, tanpa memahami punca-puncanya. Bukan sahaja demokrasi, malah hak-hak paling asas buat manusia seperti perumahan, pendidikan, pekerjaan dan ibadah dinafikan untuk umat Islam di Palestin, Chechnya dan lain-lain lagi.

Imej-imej anak-anak mereka yang tidak berdosa mati menjadi pengeras untuk golongan yang mengambil jalan amaliat isytihad (pengebom berani mati). Pemimpin dunia Barat harus membuat penilaian yang lebih mendalam mengenai mengapa keganasan timbul, tanpa menyalahkan Islam sahaja.

Tindakan-tindakan seperti pengharaman pemakaian agama (baca: hijab) di Perancis; atau lebih utama lagi dwi-standard di Palestin, adalah contoh kepada penilaian secara sembrono sahaja oleh beberapa pemimpin Barat.

President Vladimir Putin sendiri, dalam menangani masalah Beslan telah mengambil peluang untuk menolak kompromi dengan semua pejuang kebebasan Chechnya, dengan mengecap keseluruhan mereka sebagai pengganas, meskipun beberapa penganalisis Barat sendiri menganggap kumpulan di Beslan itu sebagai kumpulan serpihan.

Pokok pangkalnya, untuk mengatasi masalah keganasan ini, perlu tanggungjawab dari segenap warga dunia, Islam dan bukan Islam. Umat Islam harus tegas mengutuk tindakan ganas yang mengorbankan nyawa orang tidak berdosa, sementara dunia pula harus menyelesaikan punca-punca keganasan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Kedua-dua pemimpin umat Islam dan dunia Barat harus jujur dalam menilai keganasan tanpa hanya menekankan retorik semata-mata. Kita tidak boleh menyorok di belakang slogan yang muluk-muluk; kita perlu tampil kehadapan bagi menangani cabaran yang mendatang. Kita semua bertanggungjawab mewarisi dunia yang lebih baik kepada anak-anak kita.


NIK NAZMI NIK AHMAD menulis, antaranya, untuk Seruan Keadilan , Harakah , Malaysiakini , Asia Times , Aliran dan IslamiCity.com . Beliau juga menyumbang ke BBC World Service.