Rupa-rupanya peneroka Felda celik ekonomi
Pada tanggal 27 Januari lalu, saya bersama rakan-rakan dari PAS Rembau dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, sekali lagi berada di Felda Sendayan. Selepas bersembahyang Jumaat, kami beramah mesra dengan ahli-ahli jemaah, sebelum beredar ke sebuah kedai makan. Lepas makan, kami beredar ke rumah Haji Jamlus untuk menyambung perbincangan mengenai isu Felda Sendayan.
Kali ini perbincangan kami tertumpu kepada perjanjian jual-beli. Saya memang bersedia kerana dokumen-dokumen yang dibekalkan kepada saya dua minggu lalu sudah saya telaah semuanya.
Peneroka memberitahu, tidak ada perundingan terus di antara pihak pembeli, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) dengan para peneroka.
Kerajaan negeri melantik Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) untuk mewakili seluruh peneroka. Ahli JKK bukan dilantik oleh peneroka. Jadi, mereka bukan wakil peneroka yang sah. Sepatutnya peneroka selaku penjual dan pemilik tanah - yang berunding terus dengan PKNNS atau wakil yang mereka sendiri lantik dan persetujui.
Peneroka juga mendakwa, mereka tidak dibenarkan melantik peguam sendiri, tetapi diminta menggunakan khidmat peguam yang disediakan kerajaan negeri. Akhirnya, peguam yang sama mewakili PKNNS dan peneroka.
Harga tanah pula RM3 sekaki persegi (skp). Ini harga lelong. Tetapi apa boleh buat kerana yang berunding bagi pihak peneroka ialah JKK. Akhirnya semua kecuali 53 peneroka menandatangani perjanjian jual-beli. Manakala peneroka yang sudah meninggal dunia dan urusan pemilikan kepada pewaris belum selesai, dikecualikan untuk sementara daripada menandatangani perjanjian jual-beli itu.
Pada tanggal 27 Januari lalu, saya bersama rakan-rakan dari PAS Rembau dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, sekali lagi berada di Felda Sendayan. Selepas bersembahyang Jumaat, kami beramah mesra dengan ahli-ahli jemaah, sebelum beredar ke sebuah kedai makan. Lepas makan, kami beredar ke rumah Haji Jamlus untuk menyambung perbincangan mengenai isu Felda Sendayan.
Kali ini perbincangan kami tertumpu kepada perjanjian jual-beli. Saya memang bersedia kerana dokumen-dokumen yang dibekalkan kepada saya dua minggu lalu sudah saya telaah semuanya.
Peneroka memberitahu, tidak ada perundingan terus di antara pihak pembeli, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) dengan para peneroka.
Kerajaan negeri melantik Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) untuk mewakili seluruh peneroka. Ahli JKK bukan dilantik oleh peneroka. Jadi, mereka bukan wakil peneroka yang sah. Sepatutnya peneroka selaku penjual dan pemilik tanah - yang berunding terus dengan PKNNS atau wakil yang mereka sendiri lantik dan persetujui.
Peneroka juga mendakwa, mereka tidak dibenarkan melantik peguam sendiri, tetapi diminta menggunakan khidmat peguam yang disediakan kerajaan negeri. Akhirnya, peguam yang sama mewakili PKNNS dan peneroka.
Harga tanah pula RM3 sekaki persegi (skp). Ini harga lelong. Tetapi apa boleh buat kerana yang berunding bagi pihak peneroka ialah JKK. Akhirnya semua kecuali 53 peneroka menandatangani perjanjian jual-beli. Manakala peneroka yang sudah meninggal dunia dan urusan pemilikan kepada pewaris belum selesai, dikecualikan untuk sementara daripada menandatangani perjanjian jual-beli itu.
Perjanjian ditandatangani sekitar bulan Januari 1997. Peneroka telah dibayar 10 peratus (sekitar RM80,000 hingga RM100,000) daripada harga tanah. Kini sudah tahun 2005 tetapi itulah bayaran pertama dan terakhir diterima mereka. Mengikut berita terkini, bakinya akan dibayar sepenuhnya dalam bulan Februari ini khabarnya selepas Menteri Besar kembali dari menunaikan haji di Tanah Suci.
Apa yang menimpa peneroka itu memang tidak adil. Allah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang salah (haram) kecuali dalam perniagaan antara kamu dengan cara suka sama suka."(An-Nissa': 29).
Pulangkan geran tanah
Yang adil dan halal ialah urusan jual-beli secara suka sama suka, di mana kedua belah pihak pembeli dan penjual diberi peluang memilih (khiar) sama ada mahu melangsungkan atau membatalkan jual-beli berkenaan, sebelum kedua-duanya berpisah. Ini tidak terjadi.
PKNNS sebagai pembeli sepatutnya sudah menyelesaikan pembayaran kerana dua "syarat duluan" pembatalan Group Settlement Area (GSA) dan sekatan-sekatan kepentingan telah dipenuhi. Kini PKNNS yang mungkir janji. Oleh itu, perjanjian itu terbatal dan bayaran 10 peratus itu menjadi hangus dan hakmilik tanah hendaklah dikembalikan kepada penjualnya.
Tidak timbul isu peneroka mesti memulangkan balik bayaran 10 peratus itu jika mahu mendapatkan semula geran tanah mereka. Kalau PKNNS tidak mampu melunaskan bayaran kepada peneroka, pulangkan sahaja geran tanah mereka.
Sementara itu, peneroka yang enggan menandatangani perjanjian jual-beli itu kerana tidak setuju dengan harga yang ditawarkan, telah bergabung dalam satu jemaah yang dipanggil "Gabungan Jawatankuasa Penyelaras Penyertaan Pembangunan Masyarkat Felda LBJ, Felda Sendayan dan Kampung Gadung".
Jemaah inilah yang memperjuangkan hak mereka sehingga kini walaupun ada ahli yang telah meninggalkan gabungan tersebut. Mereka telah menghantar memorandum kepada pihak berkuasa untuk menuntut keadilan. Nampaknya, ahli-ahli jemaah ini celik ekonomi kerana cadangan balas yang mereka kemukakan, disokong dengan hujah-hujah yang ilmiah.
Pertama, mereka merasakan harga yang wajar bagi tanah mereka ialah RM18 sekaki persegi (skp). Hujah mereka adalah seperti berikut:
Harga RM3 skp yang ditawarkan tidak langsung mengambil kira kegunaan tanah kerana peneroka tidak dimaklumkah corak pembangunan yang akan dilaksanakan. Memandangkan kerajaan negeri telah mengisytiharkan pembangunan Koridor Teknologi Negeri Sembilan yang merangkumi kawasan Felda Sendayan sebagai Bandaraya Teknopolis yang menjurus kepada industri angkasa lepas dan Felda LBJ sebagai Bandaraya Metropolis yang mengkhusus dalam industri otomotif dan bioteknologi, maka harga RM18 skp adalah wajar.
Bank tanah
Lokasi tanah amat strategik terletak di sempadan Negeri Sembilan-Selangor, berhampiran projek-projek mega KLIA, Putrajaya, Cyberjaya dan MSC, selain dihimpit pembangunan pesat di kawasan persekitaran seperti Dataran Segar, Bandar Baru Lukut, Spring Hills, Seremban 2, Planter's Heaven, Bandar Baru Nilai, College Heights, Shefield Golf and Country Resorts, Bayu Lake, Kesuma Lake, Bukit Mahkota, Bukit Tunggul Golf and Country Resorts, Bukit Unggul Golf and Country Resorts, Airport City, Kompleks Perumahan Malaysia Airport Berhad dan Bandar Baru Salak Tinggi.
Permintaan pasaran semasa tanah terus meningkat dan jumlah bank tanah yang ada semakin berkurangan khasnya kawasan di dalam dan berdekatan dengan jaluran 15 km X 50 km Koridoraya Multimedia.
Harga RM18 skp adalah munasabah, sesuai dan adil kerana peneroka terpaksa berpisah dan mengorbankan tanah yang mereka ada untuk memberi laluan kepada pembangunan negara.
Kedua, peneroka mahu memegang ekuiti dalam syarikat yang membangunkan tanah mereka. Dengan purata pemilikan seluas 9 ekar (392,040 kaki persegi), setiap peneroka akan memperolehi nilai sekitar RM7 juta. Namun, peneroka tidak mahu wang ini dibayar semuanya dalam bentuk tunai. Mereka mahu turut serta dalam pelaburan dan menikmati pulangan masa depan, daripada pembangunan tanah mereka.
Mereka mencadangkan perkara berikut: bayaran tunai sekitar RM2 juta, dan daripada jumlah tersebut, sekitar RM600,000 (30%) diletakkan sebagai simpanan mandatori yang tidak boleh dikeluarkan kecuali menerima pulangan tahunan sahaja, bayaran dalam bentuk benda, iaitu, sebuah banglo bernilai RM300,000 (kos bina) dan seunit harta komersil bernilai RM500,000 (kos bina).
Bakinya kira-kira RM4 juta lagi akan dilaburkan oleh peneroka dalam ekuiti syarikat pemaju untuk menentukan bahawa peneroka mengambil bahagian secara langsung di dalam pembangunan tanah mereka.
Selain itu, peneroka juga mahu supaya 30 peratus kerja kontrak pembangunan tanah mereka, diberikan kepada anak-anak tempatan supaya generasi kedua Felda Sendayan dapat terlibat secara langsung di bidang ekonomi dan komersil serta melatih mereka menjadi usahawan dan korporat Melayu yang maju, selaras dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Melayu.
Kepentingan Melayu
Cadangan mereka ini memang baik demi mengekalkan status milik Bumiputera di tanah Sendayan apabila sudah dibangunkan menjadi Bandar Teknopolis kelak. Di Negeri Sembilan, penguasaan kaum Cina ke atas bandar-bandar baru dan lama amat ketara. Ini termasuklah bandar baru Lukut dan bandar baru Nilai.
Nampaknya, peneroka Felda Sendayan amat perihatin dalam menjaga kepentingan masa depan Melayu. Penjajah Inggeris membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu kerana kepentingan ekonomi. Nampaknya, dasar yang ada sekarangpun tiada bezanya. Sudah ramai orang Melayu tersingkir dari tanah mereka manakala taman perumahan dan kawasan perindustrian di seluruhnya negara dikuasai secara hampir mutlak oleh satu kaum sahaja.
Kalau pola pembangunan sekarang diteruskan maka memang dapat diramalkan bahawa satu kaum akan terus menguasai ekonomi, jurang agihan kekayaan dan pendapatan antara kaum akan terus melebar, majoriti penduduk di bandar akan terdiri daripada satu kaum dan orang Melayu akan terus miskin dan terpinggir.
Tanah peneroka yang tidak menandatangani perjanjian jual-beli juga telah diambil oleh kerajaan dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah. Dan tanah yang diambil itu bukannya untuk kegunaan awam tetapi untuk dijual kepada pihak swasta pada harga yang lebih tinggi. Sehingga ini, peneroka terbabit mendakwa, yang mereka belum menerima sebarang bayaran pampasan dari kerajaan negeri.
Kehidupan peneroka kini terhimpit. Dalam keadaan tanah terawang-awang, mereka terus menghadapi masalah untuk menjana kehidupan. Pihak berkuasa Felda sudah lepas tangan kerana GSA sudah batal. Pihak berkuasa Risda pula enggan memberi bantuan tanaman semula kerana tanah sudah menjadi tanah komersil bukan lagi untuk tanaman kelapa sawit atau getah.
Usia peneroka pun sudah lanjut. Ramai yang sudah tinggal arwah. Ramai generasi kedua sudah berhijrah dan mereka inilah yang beri sumbangan kepada ayah dan ibu untuk meneruskan kehidupan. Ahli generasi kedua yang masih tinggal pula, ramai yang terlibat dengan gejala dadah dan menjadi beban keluarga dan masyarakat. Agaknya inilah sebabnya kenapa kami lihat tidak ramai anak-anak muda bersembahyang Juamat di masjid.
Peneroka yang sudah menjual tanah kepada PKNNS masih menunggu baki bayaran 90 peratus lagi wang mereka. Peneroka yang tanah mereka diambil kerajaan melalui APT pula menunggu 100 peratus wang mereka, di samping menunggu bayaran ganti rugi selepas mahkamah memutuskan Kerajaan Negeri Sembilan perlu membayarnya kepada peneroka yang tanah mereka diambil melalui APT.
Dalam usia yang sudah tua dan generasi kedua yang sudah berhijrah dan tidak berminat untuk tinggal di tanah rancangan dan masalah penagihan dadah di kalangan peneroka semakin meruncing mungkin kerana tekanan hidup dan tekanan psikologi - peneroka lebih berminat untuk menjual sahaja tanah mereka. Mereka tidak mampu untuk mengusahakan lagi.
Dr ROSLI YAAKOP, adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan. Beliau adalah lulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Universiti Wisconsin.

