Ketika 'asap belerang' pemilihan MCA menular dari cawangan ke peringkat pusat, akhbar Nanyang Siang Pau pula menyiarkan berita muka depan mengenai perhubungan antara pemimpin tertinggi dalam parti Gerakan.

Laporan itu lantas membangkitkan kemarahan parti tersebut dan Gerakan terus mendakwa bahawa akhbar yang dimiliki dan dikawal oleh sebuah parti politik itu, berbuat demikian dengan niat buruk untuk menjejaskan dan sengaja memecah-belahkan perpaduan dalam parti tesebut.

Nanyang Siang Pau didakwa mempunyai agenda khas untuk mengalih tumpuan masyarakat daripada soal pemilihan MCA kali ini. Sekali lagi, isu ini menimbulkan persoalanan mengenai kuasa media membuat laporan dan kawalan parti politik ke atas akhbar.

Dan pada 5 Mac lalu, Astro AEC telah menyiarkan forum isu hal-ehwal semasa. Dalam siri pertamanya, tema perbincangannya ialah mengenai peranan pendapat umum dalam masyarakat Cina. Salah seorang tetamu undangannya ialah Ketua Pemuda MCA, Datuk Ong Tee Kiat.

Apabila pengacara mengajukan soalan mengenai kawalan parti politik terhadap media, Ong lantas menegaskan bahawa pendiriannya 'tidak pernah berubah sama sekali'. Dengan kata lain, ia bermakna, sehingga hari ini, Ong tetap membantah keputusan MCA mengambil alih penguasaan terhadap akhbar Nanyang Press sehingga hari ini.

Jadi, sekiranya pemimpin MCA yang pernah membantah tindakan MCA mengambilalih penguasaan terhadap Nanyang Press, turut bertanding dalam pemilihan parti kali ini, maka apakah pula pendirian mereka terhadap isu yang dipertikai ramai itu? Malah, adakah nasib Nanyang Siang Pau akan dipengaruhi oleh pemilihan parti MCA kali ini?

Semenjak Nanyang Siang Pau dikuasai oleh parti politik, ia dituduh menjadi lidah rasmi parti yang bergelar MCA, mengakibatkan edaran dan jumlah pembacanya jatuh merudum. Menurut statistik penggal kedua tahun 2003 yang diumumkan AC Nielsen, pembaca Nanyang Siang Pau hanya seramai 365,000 orang lebih rendah daripada pembaca akhbar Guang Ming Daily seramai 396,000 orang. Malah, menurut tinjauan terkini pada tahun 2004, bilangan pembaca Nanyang Siang Pau terus merosot, sekaligus memperlihatkan masa depannya yang semakin malap.

Selain kemerosotan dari segi edaran dan jumlah pembaca, prestasi Nanyang Press turut menerima impak yang kuat. Laporan kewangan penggal kedua tahun 2004 (sehingga 31 Disember 2004), menunjukkan keuntungan bersih syarikat itu merosot sebanyak 38.8 peratus apabila hanya mencatat RM2.64 juta. Perolehannya pada penggal kedua ialah RM80,05 juta merosot 4.28 peratus berbanding penggal yang sama tahun 2003. (dipetik dari Oriental Daily , keluaran 26 Februari 2005).

Janji-janji yang terluncur

Jangan kita mudah lupa yang menjadi tunggak Nanyang Press pada masa kini ialah China Press . Sekiranya analisis prestasi Nanyang Siang Pau dibuat secara berasingan, keadaannya lebih dahsyat. Malahan, sekiranya dibandingkan prestasi sebelum MCA mengambil alih Nanyang Press pada bulan Mei 2001, ia menampakkan perbezaan yang nyata. Keuntungan sebelum cukai Nanyang Press bagi tempoh Jun 1996 hingga Jun 2000, masing-masing mencatat RM18.05 juta (1996), RM37.03 juta (1997), 15.07 juta (1998), RM23.09 juta (1999) dan RM30.010 juta (2000).

Angkalah yang paling jujur untuk bercakap benar. Sejak MCA mengambil alih Nanyang Siang Pau , akhbar ini gagal mendapat sambutan pasaran dari segi politik, imej dan kredibilitinya. Ling Liong Sik bersama Ong Ka Ting dan yang lain-lain, mendakwa pengambilalihan Nanyang Press merupakan peluang keemasan untuk pelaburan. Dakwaan ini ternyata mengelirukan dan mula goyah.

Namun demikian, sejak tahun 2001, oleh kerana mekanisme pemilihan parti telah lumpuh dan diberhentikan kecuali Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) yang diadakan untuk membuat keputusan mengenai pengambilalihan Nanyang Press maka perwakilan parti, langsung tidak mempunyai peluang untuk membuat keputusan mengenai pemilikan media sehinggalah ke hari ini.

Ketika EGM itu diadakan, seramai 1,176 perwakilan mengundi menyokong manakala 1,019 lagi menentang rancangan MCA untuk memiliki media bahasa Cina itu. Pada masa kini, kemerosotan Nanyang Siang Pau bukan sahaja dari segi prestasi perniagaan, malah juga semangat pekerja. Maka orang yang menyokong pengambilalihannya, kini harus bertanggungjawab terhadap keputusan yang mereka buat itu.

MCA pernah atas nama orang perseorangan mahupun nama parti menguasai media bahasa Cina seperti Sin Min Daily dan Tong Pao . Namun kedua-duanya telah gulung tikar. Hari ini, sekiranya perwakilan MCA tidak sanggup melihat Nanyang Siang Pau lemas dalam genggaman parti itu, maka mereka seharusnya (juga semestinya) menjadikan isu Nanyang Press sebagai agenda dalam Mesyuarat Agung Tahunan MCA kali ini.

Pada masa yang sama, apa yang diluluskan dalam EGM empat tahun lalu itu, juga mesti dinilai dan dikaji semula. Disebabkan prestasi Nanyang Press yang kurang memberangsangkan, maka pihak parti juga perlu mempersoalkan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh pucuk pimpinan kerana pelaburan yang tidak wajar dan pengurusan pelaburan harta parti yang pincang.

Isu Nanyang Press juga merupakan peluang terbaik untuk menyemak tingkahlaku dan janji-janji yang terluncur dari bibir pemimpin MCA. Apakah mereka yang pernah membantah pengambilalihan media itu yang bertanding dalam pemilihan parti kali ini, akan membangkitkan isu ini?

Apakah dalam pemilihan kali ini, 1,091 perwakilan berkenaan masih memihak dan akan menyokong calon yang menentang pemilikan media tersebut empat tahun lalu? Adakah isu Nanyang Press akan dijadikan salah satu tema perbahasan dasar parti? Oleh kerana ianya mengakibat kerugian yang besar maka sekiranya isu ini diketengahkan secara yang sesuai apakah ia akan memaksa MCA untuk melepaskan pegangannya dalam Nanyang Press?

Hujah-hujah lantang

Dalam pemilihan parti kali ini, kita akan dapat meneliti satu demi satu, mereka yang pernah satu ketika dahulu, tegas menentang rancangan parti untuk memiliki media tersebut. Apakah pendirian mereka sekarang. Apakah mereka masih berpegang teguh kepada prisip atau hanya memperbodohkan masyarakat semata-mata dengan memperlekehkan apa yang pernah dijanjikan. Oleh yang demikian, apa kata jika kita mengimbas kembali hujah-hujah lantang mereka ketika itu.

Misalnya, Chua Jui Meng pernah berhujah sedemikian pada 10 Jun 2001, "Oleh kerana saya secara mendalamnya dapat merasakan bahawa tiada MCA tanpa masyarakat Cina, maka, berkenaan isu pengambilalihan penguasaan MCA terhadap Nanyang Press, saya melihatnya secara berprinsip." Pada 24 Jun tahun yang sama, beliau berhujah lagi: "Sekian lama saya menyokong Ling Liong Sik, namun saya lebih cintakan parti, lebih cintakan Barisan Nasional dan masyarakat Cina, jadi saya membantah pengambilalihan penguasaan terhadap Nanyang Press."

Hujah Ong Tee Kiat juga agak banyak bekenaan isu ini. Pada 20 Jun 2001, beliau berkata sedemikian, "ini adalah satu tindakan yang gagal mendapat persetujuan umum, malah kalau sebagai sebuah parti, apa gunanya untung 100 juta namun kehilangan sokongan ramai? Itupun diandaikan memperoleh 100 juta, sekiranya gagal, maka akan kehilangan kedua-duanya."

Malah, Yap Pian Hon, pada saat-saat sebelum EGM diadakan, juga berhujah sedemikian: "EGM kali ini adalah sangat penting, sekiranya MCA terus mengambil alih penguasaan terhadap Nanyang Press, semestinya akan mendapat tentangan daripada masyarakat Cina." (20 Jun 2001)

Yang paling menakjubkan, adalah hujah daripada siswa cemerlang Pengajian Tionghua Universiti Malaya, Chan Kong Choy: "Mana-mana parti, kerajaan dan pemimpin yang mengingkari keinginan rakyat, tidak dapat dikecualikan daripada digulingkan dan mengalami kemerosotan."

Hujah ini dipetik semasa gerakan membantah pemilikan Nanyang Press memuncak pada 24 Jun. Hebatnya. Begitu jugalah bersemangatnya perbahasan mereka seperti Chai Kim Sen dan Wee Ka Seong ketika menentang pengambilalihan penguasaan terhadap media. Tepuk dada tanya selera mengenai apa yang telah lantang disuarakan...selaklah suratkhabar lama jika ingin tahu.

Asap belerang akan menyelubungi bulan Ogos hendak selamatkan Nanyang Siang Pau atau Nanyang Siang Pau hendak diselamatkan apa jua sekali pun, kita perlu meninjau pemilihan parti MCA kali ini... dan bukannya parti Gerakan.


Rencana ini telah disiarkan dalam Oriental Daily News pada 10 Mac 2005. Penulisnya adalah seorang penyelidik dan pensyarah di Kolej New Era, Kajang. Ia diterjemahkan oleh Lim Hong Siang.