Antara ISA dan CIA
Kita kini berada di pertengahan tahun 2005. Maka bertambahlah umur tahanan ISA di Kamunting, yang kebanyakannya telah ditahan melebihi tempoh dua tahun dan sepatutnya telah lama dibebaskan. Tetapi penahanan mereka dilanjutkan.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai bentuk kezaliman dan penganiayaan telah berlaku, dan dikesempatan ini, saya ingin memaparkan sebahagian daripadanya. Terus terang saya nyatakan bahawa saya yang kini ditahan di bawah ISA, sebelumnya pernah melalui pengalaman ditahan oleh Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) Amerika.
Mungkin ada yang terkejut mendengarnya kerana sebelum ini ia tidak pernah diceritakan. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu bercerita, tetapi lebih kepada perasaan takutkan kesannya sehingga menyebabkan saya mendiamkannya saja. Apatah lagi SB (cawangan khas) sering menakut-nakutkan dengan itu dan ini.
Tetapi kali ini, saya tidak peduli lagi kerana keadaan sudah makin mendesak.
Kita kini berada di pertengahan tahun 2005. Maka bertambahlah umur tahanan ISA di Kamunting, yang kebanyakannya telah ditahan melebihi tempoh dua tahun dan sepatutnya telah lama dibebaskan. Tetapi penahanan mereka dilanjutkan.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai bentuk kezaliman dan penganiayaan telah berlaku, dan dikesempatan ini, saya ingin memaparkan sebahagian daripadanya. Terus terang saya nyatakan bahawa saya yang kini ditahan di bawah ISA, sebelumnya pernah melalui pengalaman ditahan oleh Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) Amerika.
Mungkin ada yang terkejut mendengarnya kerana sebelum ini ia tidak pernah diceritakan. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu bercerita, tetapi lebih kepada perasaan takutkan kesannya sehingga menyebabkan saya mendiamkannya saja. Apatah lagi SB (cawangan khas) sering menakut-nakutkan dengan itu dan ini.
Tetapi kali ini, saya tidak peduli lagi kerana keadaan sudah makin mendesak.
Lagipun, apa yang hendak ditakutkan kerana saya sudah berada di dalam. Saya mesti bercakap, lebih-lebih lagi ketika semua orang sibuk bercakap mengenai tahanan tanpa bicara di Guantanamo dan mula bercakap tentang tahanan tanpa bicara di Kamunting. Malah, saya merasa malu dan bersalah jika tidak menceritakan apa sebenarnya yang berlaku tentang ISA dan CIA.
Rata-rata sama saja pengalaman saya dan tahanan lain di Kamunting. Tetapi pengalaman saya ditahan CIA sudah tentu lain sedikit, walaupun banyak persamaannya dari sudut kezaliman dan ketidakadilan. Inilah yang hendak saya ceritakan disini, Insya-Allah.
Segala-galanya bermula selepas berlakunya serangan 11 September 2001. Ketika itu saya yang sedang belajar di Pakistan, secara senyap-senyap telah diculik oleh CIA Amerika dan dibawa lari dengan menaiki kapal terbang ke satu lokasi yang tidak diketahui.
Semasa dalam kapalterbang, mata dan telinga saya ditutup dengan kemas dan kaki dan tangan saya diikat dengan kuat. Setibanya di sana, saya terus disoalsiasat. Amerika yang memang terkenal dengan caranya yang ganas, telah menyeksa saya dengan teruk sekali. Pendek kata, tidak ada layanan dan pembelaan yang sewajarnya.
Pertubuhan palang merah
Pada mulanya saya dimaklumkan bahawa berhampiran pusat tahanan itu ada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa yang tugasnya memerhati dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kebajikan tahanan. Saya pun ingat memang betul begitulah. Tetapi malangnya, sehingga akhir tempoh tahanan saya di sana, sedikit pun saya tidak mendapat apa-apa faedah dari pertubuhan itu.
Selama tujuh bulan saya berada di sana dan akhirnya saya diserahkan kepada kerajaan Malaysia. Pada mulanya saya ingatkan bebaslah, tetapi rupanya saya terus ditahan di bawah ISA pula. Sehingga sekarang saya belum dibebaskan, walaupun sudah melebihi tempoh tahanan.
Nampaknya, nasib saya dan tahanan ISA di sini tidak ubah seperti tahanan di bawah CIA tidak ada pembelaan yang sewajarnya. Bezanya, saya dulu ditahan CIA selama tujuh bulan sahaja, tetapi di bawah ISA sekarang, tempohnya sudah melebihi dua tahun.
Apa yang menarik yang hendak saya beritahu di sini ialah kami tidak mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya. Kalau dulu, ketika saya di bawah tahanan CIA, saya sering didera. Badan saya sentiasa lebam akibat kesan pukulan dengan tangan ataupun dengan rotan.
Dan yang peliknya, Pertubuhan Palang Merah yang berada berhampiran pusat tahanan itu, tidak berbuat apa-apa. Saya yakin mereka menyedari berlakunya penderaan keatas para tahanan, kerana suara jeritan dan raungan orang tahanan sentiasa kedengaran. Mereka meraung kesakitan semasa diseksa dengan cara yang dahsyat.
Pelengkap kezaliman
Saya sendiri pun didera dengan teruk sehingga pada satu ketika, saya tidak boleh berjalan. Petugas yang menjaga di bilik tahanan akan mengusung saya ke bilik rawatan Pertubuhan Palang Merah. Tetapi malangnya, bukan saya diberi sebarang bentuk rawatan atau sebarang jenis ubat, tetapi sebaliknya saya dilayan dengan kasar dan dicerca dengan kata-kata kesat.
Keadaan begini kerap berlaku sehingga akhirnya saya faham bahawa kewujudan Pertubuhan Palang Merah itu hanya sebagai pelengkap syarat kepada kezaliman yang mereka lakukan. Rupa-rupanya, segala slogan manis yang pernah saya dengar dahulu, sebenarnya kosong belaka. Ianya tidak lebih hanya sekadar helah untuk menutup kezaliman mereka. Semua ini hanyalah mainan CIA Amerika sahaja.
Apabila saya ditahan di bawah ISA di Malaysia, keadaannya pun tidak jauh berbeza. Kami didera secara mental dan fizikal. Ada kejadian di mana tangan kami digari lalu dipukul sehingga ramai yang cedera.
Kami pun melaporkan kejadian tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab dengan harapan akan mendapat pembelaan. Tetapi sehingga kini, tidak ada apa-apa tindakan. Nampaknya, cerita Pertubuhan Palang Merah berulang kembali.
Walaupun di sini ada juga badan bebas atau pihak yang bertanggungjawab yang memastikan hak asasi manusia terbela dan tidak dicabuli seperti Suhakam, Lembaga Penasihat dan Polis, tetapi bagi saya, kewujudan mereka ini tidak ubah seperti Pertubuhan Palang Merah yang pernah saya kenali dahulu. Seolah-olah kewujudan mereka hanya sekadar pelengkap cerita kezaliman ISA.
Ini terbukti, apabila kami mengadu kes penderaan kepada Suhakam dan polis untuk siasatan, ternyata akhirnya mereka diam saja. Walaupun pada peringkat awal mereka melahirkan rasa kesal dan simpati terhadap apa yang berlaku, tetapi akhirnya kami faham, itu semua lakonan kosong saja.
Barangan peribadi dirampas
Bagaimana boleh dikatakan apa yang berlaku tidak ada bukti, sedangkan ada antara kami yang telah dibawa ke hospital Taiping bagi menjalani rawatan kesan daripada penderaan. Ada yang patah tangan, patah kaki, cedera serius di kepala serta lebam dan bengkak di badan.
Sementara barangan peribadi kami pula, seperti buku agama, pakaian, peralatan sukan serta dokumen penting, juga telah dirampas. Sehingga sekarang, kesemua barangan tersebut masih belum dipulangkan. Dan ada di antaranya telah disahkan oleh pihak Kemta (kem tahanan) sebagai hilang.
Tidak cukup dengan apa yang dilakukan kepada kami, isteri kami juga diganggu semasa membuat lawatan di sini. Bagi saya, kalau beginilah caranya melayan orang tahanan maka ia tidak ada beza dengan CIA. Malah bagi saya, ISA lebih memalukan.
Kalau Pertubuhan Palang Merah tidak membantu saya, barangkali kerana mereka tidak seagama dan sebangsa dengan saya, maka ia semacam logik. Tetapi saya sedih terhadap badan-badan yang menjaga hak asasi manusia di Malaysia kerana mereka seagama dan sebangsa dengan saya.
Persoalan ini yang harus kita fikirkan. Sampai bila kezaliman ISA ini hendak dibiarkan berterusan. Di dalam hati, saya sangat-sangat mengharapkan rakyat Malaysia peka dengan keadaan ini sehingga mereka membuat satu perubahan yang membawa kebaikan kepada semua.
Adakalanya kami terkilan juga kerana sesetengah pihak sibuk membicarakan tentang tahanan tanpa bicara di Guantanamo, tetapi dalam masa yang sama, mereka seakan-akan terlupa saudara mereka yang lebih hampir yang ditahan tanpa bicara di Kemunting.
Kami mengharapkan semoga rakyat Malaysia membincangkan juga isu ISA. Jika tidak jadilah kita seperti kata pepatah 'gajah di depan mata tidak nampak tapi kuman seberang laut kelihatan'.
Masran Arshad, yang disyaki sebagai anggota JI masih ditahan di bawah ISA di Pusat Tahanan Kamunting. Dia ditahan pada Jun 2002 dan dihantar ke Kamunting pada 27 Ogos 2002. Masran telah selesai menjalani tempoh tahanan selama dua tahun. Bagaimanapun, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri melanjutkan tempoh tahanannya selama dua tahun lalu melalui perintah yang dikeluarkan pada 2004.

