Sungguhpun peristiwa pengusiran kejam ke atas penduduk Tasik Utara pada tahun 1974 menggemparkan seluruh negara, namun pemerintah Umno-BN masih meneruskan pendekatan yang tidak berperikemanusiaan untuk menyelesaikan masalah setinggan.

Dalam ketaksuban mengejar status maju dan matlamat setinggan sifar, kerajaan negeri Selangor misalnya kelihatan hilang sifat keinsanan dan tergamak menggunakan kekerasan untuk menyingkir secara paksa dan merobohkan rumah setinggan. Menjelang 31 Disember 2005, usaha merobohkan rumah-rumah setinggan semakin dipergiatkan di seluruh Selangor.

Pada 8 September tahun yang sama, rumah penduduk Kampung Saujana, Batu Tiga, Shah Alam dirobohkan dengan zalim. Empat trak polis FRU dikerah dalam tindakan perobohan itu.

Ramai penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak, tercedera kerana mempertahankan rumah mereka, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun dikejar ke hospital dan 17 ditahan. Di manakah hendak mereka pergi, sedangkan rumah ganti yang dijanji belum siap.

Di satu sudut lain negeri itu, berkali-kali penduduk Kampung Jalan Papan dan Kampung Bukit Kerayong, Pandamaran di Pelabuhan Klang termakan janji-janji manis Umno-BN menjelang pilihanraya umum. Akhirnya mereka menyedari ditipu dan diperalatkan. Penduduk yang mempunyai TOL (Lesen Pendudukan Sementara) pun dilucutkan tarafnya. Semua rumah mahu dirobohkan demi 'pembangunan'.

Pada 13 Disember pula, rumah penduduk Kampung Bukit Seri Puchong dirobohkan tanpa timbang rasa oleh pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya. Walaupun ada penduduk telah menerima tawaran rumah, namun masih ramai yang belum mendapatnya.

Pada 22 Disember, 50 buah rumah penduduk Kampung Bagan Hailam di Pelabuhan Klang dirobohkan.

Peneroka bandar

Istilah 'setinggan' membawa pengertian bahawa seseorang telah memasuki dan menduduki dengan sengaja dan secara haram tanah yang dimiliki oleh orang lain tanpa kebenaran atau persetujuan.

Padahal, 'setinggan' mempunyai sifat penerokaan. Mereka meneroka tanah terbiar, bekas lombong, bukit-bukau, belukar, semak dan paya tahun demi tahun. Mereka menghabiskan tenaga dan wang sendiri sehingga terdirinya kampung-kampung. Maka, mereka lebih tepat digelar 'peneroka'.

Peneroka bandar merupakan sebahagian besar golongan miskin di kota. Ramai di antara mereka meneroka kawasan-kawasan tersebut sejak sebelum merdeka lagi.

Tidak kurang pula yang digalakkan berpindah oleh kerajaan selepas peristiwa 13 Mei untuk menambah bilangan orang Melayu di bandar.

Boleh dikatakan semua kawasan peneroka bandar diberikan kemudahan air dan api, bahkan ada yang kemudahan talian telefon. Mereka menghantar anak ke sekolah berdekatan dan dibenarkan berdaftar sebagai pengundi di kawasan mereka.

Bertahun-tahun mereka tinggal, membaiki kawasan dan membesarkan rumah tanpa halangan bahkan kadang-kadang dengan mendapat perlindungan pula daripada pihak berkuasa.

Mereka digalakkan membuka cawangan-cawangan Umno. Ertinya kedudukan mereka diiktiraf dan nyatalah taraf mereka bukan sebagai penduduk setinggan haram.

Memang ada peneroka bandar dari golongan yang boleh dikatakan senang. Akan tetapi sebahagian besar hidup susah atau sederhana saja. Mereka bukan menentang pembangunan. Mereka hanya mahukan tempat ganti dan disediakan atau pampasan yang wajar.

Penindasan penguatkuasa

Untuk melaksanakan perobohan serta pengusiran, berbagai-bagai cara digunakan untuk mengusir peneroka bandar jika enggan berpindah. Ada yang diugut tidak akan diberi apa-apa bantuan, termasuk peluang membeli rumah di mana-mana pun. Bahkan ada yang dibakar rumah mereka, walaupun ia sukar dibuktikan.

Lazimnya, pihak berkuasa datang dengan pasukan penguatkuasa kerajaan, kaki tangan pemaju, pasukan polis, pegawai cawangan khas, dan juga kaki tangan daripada jabatan elektrik dan air. Pasukan polis dan cawangan khas mengawal di sekeliling kawasan untuk menyekat orang keluar masuk semasa rumah dirobohkan.

Dalam beberapa kes yang diketahui di Kuala Lumpur dan Selangor, umpamanya di Kampung Chubadak, Selayang Bahagia, Kampung Kerinchi dan Ampang Campuran, pemaju menggunakan samseng atau 'bouncer' untuk mengugut.

Biasanya, tindakan merobohkan rumah peneroka bandar dilakukan pada waktu pagi, semasa orang sudah pergi bekerja, dan yang tinggal hanya beberapa orang ibu, anak dan orang tua. Kerja merobohkan itu diteruskan dengan tidak menghiraukan tangisan anak-anak dan tidak mempedulikan sama ada orang di dalam rumah atau tidak.

Sesiapa yang cuba melawan, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, ditangkap dan digari. Sesetengahnya disumbat ke dalam lokap dan diheret ke mahkamah kerana kononnya mengancam ketenteraman atau menyekat polis ataupun penguatkuasa menjalankan kewajipan.

Malangnya, masih belum ada undang-undang yang melindungi hak perumahan bagi peneroka bandar dan hak mendapat tapak atau rumah ganti atau pampasan munasabah sebelum diusir dan diroboh rumah mereka.

Oleh kerana tidak mampu menyewa rumah, peneroka bandar terpaksa berjuang bermati-matian untuk mendapatkan tapak atau rumah ganti dan pampasan. Kejayaan yang diperolehi mereka berbeza-beza, bergantung kepada kegigihan berjuang dan juga timbang rasa pihak pemaju.

Pendekatan baru

Ada beberapa sebab percubaan untuk merobohkan rumah mereka ditentang oleh peneroka bandar.

Pertama, sesetengah kawasan atau kampung, seperti Kerinchi dan Chubadak, sudah didiami turun-temurun lebih seratus tahun.

Ada pula kawasan lain, seperti Bumi Hijau dan Taman Aman PJ, dibuka dengan galakan pihak pemerintah. Para peneroka bandar telah menggunakan tenaga empat kerat sendiri untuk membaiki keadaan tanah dan mendirikan tempat tinggal mereka sekeluarga. Jadi, mereka menyintai dan menjadi sebati dengan kampung halaman mereka. Justeru, tidak semudah itu mereka hendak meninggalkannya.

Kedua, sebelum perobohan dilakukan, mereka hanya diberi notis supaya keluar, jika tidak akan didenda atau diambil tindakan. Jarang sekali mereka ditawarkan kawasan ganti ataupun pampasan bagi rumah, cucuk tanam mereka, apatah lagi bagi memutuskan hubungan emosi terhadap kampung halaman yang disayangi.

Ketiga, seketika dulu biasanya peneroka bandar ditawarkan berpindah ke rumah panjang, dengan diberi kira-kira RM300 untuk belanja memunggah barang rumah ke sana. Ramai enggan berpindah kerana rumah panjang kadang-kadang terletak di kawasan yang kurang sihat, berdekatan dengan tempat membuang sampah atau pun pembentung najis, dengan menggunakan asbestos (yang boleh mengancam kesihatan) dan jauh dari tempat kerja, sekolah serta hospital.

Walaupun peneroka bandar dijanjikan flet dan rumah murah, namun janji-janji itu kadang-kadang tidak dikotai.

Ada peneroka yang terus mempertahankan tapak rumah mereka dengan mendirikan semula rumah mereka yang sudah diroboh. Ada yang telah berbuat demikian sampai tiga empat kali. Akhirnya, apabila pemaju tidak tahan, mereka menawarkan pampasan yang lebih.

Untuk menyelesaikan masalah 'setinggan', satu dasar perumahan negara untuk semua golongan hendaklah segera dilaksanakan. Kita memerlukan satu pendekatan baru dan pemikiran semula. Tempat kediaman atau perumahan untuk rakyat merupakan suatu hak asasi.

Adalah menjadi tanggungjawab sosial pemerintah dan juga pemaju untuk menyediakan rumah yang selesa serta termampu oleh rakyat, bukan dengan tujuan mengaut keuntungan semata-mata. Kebajikan serta kesejahteraan rakyat yang memerlukan rumah itu mestilah terjamin dan terjaga.


ANG HIOK GAI adalah Timbalan Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat merangkap Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kapar. Beliau boleh dihubungi melalui pkrkapar@yahoo.com .