"Assalamualaikum !"

Aku terdengar suara orang memberi salam. Aku keluar dari bilik menuju ke pintu.Sebaik saja pintu dibuka, aku terkejut dan tergamam melihat suamiku tersenyum memandangku.

"Abang, bila abang balik? Bila abang sampai? Abang , is this really you? Betul ke abang dah bebas?" Soalku bertubi-tubi.Pintu sudah terbuka, tapi grill masih lagi berkunci.

"Polis tu letakkan abang dekat bus-stop seberang jalan tu tadi, terpaksa abang jalan kaki sikit untuk sampai kerumah abang memang dah bebas cepat la buka grill niabang dahaga la".

"Ok, ok, sabar ya. Ila sedang cari kunci grill ni."

Aku kelam kabut mencari kunci rumah kerana di situ digandingkan sekali kunci grill. Puas ku cari, tapi tak jumpa juga. Sesekali ku melihat ke arah suamiku yang sedang tersenyum..

"Abang, sorry ya , lambat sikit. Lupalah kat mana Ila letak kunci tutengah cari ni." .Semua tempat telah diselongkar, dalam beg tangan, atas meja, dalam laci . namun kunci itu tak juga ditemui.Aku mula menangis.

"Abang, I'm so sorry.I really misplaced the keys, let me think of some other ways." air mataku mula bercucuran .

Tiba-tiba aku terjaga

Astaghfirullah al Adzim, bermimpi rupanya. But everything looked so real!! Memang dia sudah pulang ke rumah..Ya, aku memang menangis. Bantal ku juga terasa basah. Lantas aku baring semula, memejamkan mata, dengan harapan mimpiku bersambung, tapi.segalanya memang hanyalah sekadar mimpi.Akhirnya, yang terdaya aku lakukan hanyalah membiarkan saja deraian airmata yang turun dengan lajunya.

Kisah di atas adalah secuit dari ribuan kisah-kisah duka sepanjang suami ditahan di Kem Kamunting.Hingga saat ini,hampir 4 tahun lamanya, sejak dia diambil dari rumah kami, dia tidak pernah pulang ke rumah. Rindu? Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk menyatakan perasaan tersebut, hingga ada kalanya, seolah-olah aku takut untuk melihat potretnya, kerana terlalu khuatir, dia akan pulang ke rumah dalam bentuk mimpi dan akhirnya, hanya linangan airmata yang setia untuk mengubati rindu ini.

Trauma

Pada tahun pertama penahanannya dulu, mimpi yang dialami amat menakutkan. Peristiwa rumahku di kunjungi 15 orang anggota cawangan khas (SB) dan polis waktu tengah malam, sentiasa datang berulangkali dalam tidur ku. Sejak hari pertama penahanannya, memang sukar untuk melelapkan mata. Sentiasa terbayang, bagaimana setiap bilik digeledah, suami digari, buku-buku, kitab-kitab ugama dan Quran terjemahan dikirai satu persatu untuk mencari bahan bukti.

Aku yakin, anak tunggal ku, Suhaib juga mengalami masaalah yang sama. Setiap malam dia akan terjaga pada pukul 3 4 pagi dan menangis memanggil ayahnya.Pada masa itu, Suhaib berusia 8 tahun lebih. Dan yang lebih memeranjatkan, selama 2 tahun, Suhaib menyimpan sebatang besi panjang bulat sepanjang 3 kaki, di bawah tilamnya.

Menurutnya, jika polis datang lagi kerumah untuk mengambil uminya, dia akan tikam polis itu dengan besi panjang tersebut!

Tidak dinafikan, mangsa penahanan ISA memang menghadapi trauma yang serius. Cuma, bagaimana masaalah tersebut dapat diatasi, bergantung pada kekuatan minda dan juga sokongan yang diberikan oleh masyarakat pada mangsa tersebut.

Dalam hal ini, aku rasa bersyukur kerana mempunyai ramai teman dan kenalan yang bersimpati dengan masaalah yang dihadapi. Namun kehidupan ku pada ketika itu hanyalah sekadar seorang isteri tahanan yang berkerjaya. Duniaku ketika itu hanyalah rumah dan tempat kerjaku.Tak pernah terfikir, aku akan melangkah ke satu dunia yang lain.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

GMI? Apa benda tu? Seumur hidup ,tak pernah dengar nama yang pelik tu. Sebelum ini, ada juga baca HARAKAH, tapi tak perasan pun ada perkataan GMI. Pertama kali mendengar nama itu disebutkan oleh seorang teman aktivis anti ISA, rasa semak perut rasanya.

"Buat apalah nak sibuk-sibuk dengan GMI ni, sampai masa nanti suami kita tu akan dikeluarkan gak" begitulah komen seorang isteri tahanan ISA yang lebih 'senior' kerana suaminya ditahan 5 bulan lebih awal dari suami ku.

Bukan mudah untuk menguatkan minda bagi menghadapi hari-hari berikutnya tanpa insan bergelar suami. Rasa geram, marah, benci sentiasa meluap-luap di dalam hati.Ke mana hendak disalurkan semua perasaan tersebut? Hendak marah pada anak? Dia pun sedang mengalami perasaan yang sama. Akhirnya, aku ingin mencuba nasib mengikuti aktivis ISA bersama GMI.

Pertama kali menghadiri sidang akhbar dan mesyuarat, aku rasa macam buang masa sahaja. Buang masa menunggu! Menunggu kawan-kawan, menunggu wakil Suhakam, menunggu peguam, menunggu wartawan dan pelbagai menunggu lagi.Tapi, aku rasa agak pelik, kenapa aktivis ISA ini seperti tidak serik-serik menunggu?

Semasa aku menyertai GMI, semua orang pada masa itu sedang sibuk berkempen untuk 6 reformasi. Selalu aku rasa out of place . Orang tidak mengenali kita. Nasib baik ada Nashita dan Kak Jije. Menurut beberapa orang isteri tahanan reformasi 6, aku macam kembar dengan Nashita.

"Ah, tak kisahlah. Yang penting ada orang yang sudi nak bercakap dengan ku.Itu dah cukup baik!"

Bila Pak Abu @ Saari Sungib @ Abu Urwah dan 5 Reformasi lain dibebaskan, aku bertambah yakin, dengan berkempen dan menghebahkan kezaliman ISA, akan memberi peluang tahanan dibebaskan. Sebelum ini, ada juga cakap-cakap orang mengatakan tindakan aktivis ISA berkempen ni macam "anjing menyalak bukit".Anjing jadi serak, tapi bukit tetap teguh! Tapi bila Pak Abu dan kawan-kawannya bebas, suara-suara sumbang itu hilang di angin lalu.

Sejak dari saat Pak Abu dibebaskan, aku pula menjadi leading person untuk meneruskan tugas-tugas kempen ini kerana suamiku masih ditahan di Kem. Sejak itu, aku menjadi tumpuan wartawan samada dari media alternatif dalam negara atau stesen radio dan TV dari luar negara. Secara automatik kehidupanku juga berubah. Dunia baru ini menuntut pembahagian masa yang lebih terutamanya untuk menghadiri mesyuarat atau sidang akhbar.

Walau sesibuk mana pun dengan dunia baru ini, aku bahagia. Kenapa? Kerana, aku dapat menyalurkan segala dendam dan marahku pada saluran yang sepatutnya. Aku dapat menyatakannya pada wartawan, aku dapat ruang untuk berceramah mengenai kezaliman ISA dan aku juga mula belajar menulis pengalaman dizalimi ini untuk tatapan rakyat Malaysia yang kekurangan maklumat tentang kekejaman ISA.

Sewaktu suamiku telah tamat dua tahun pertama, dan kemudian disambung dua tahun berikutnya, aku sudah dapat menerima sebarang kemungkinan pelanjutan penahanan itu.

Pada dua tahun pertama penahanan suami ku, ada juga suara-suara yang mengatakan

" Agaknya, suami Cikgu Laila tu memang betul-betul pengganas kot, manalah dia tahu apa yang suami dia buat. Ya lah, dirumah, dia memang suami kita, tapi kalau diluar. dia boleh jadi apa saja." Panas juga hati ku mendengar kata-kata itu.Tapi apakan daya, sabar.

Bila penahanan suami bersambung pada 2 tahun berikutnya, kerjaku bersama GMI bertambah banyak "Kerja" yang dimaksudkan ialah kempen-kempen yang dirancang dan dijalankan bersama aktivis yang lain semakin memuncak. Amat sukar untuk menilai kejayaan kerja-kerja bersama GMI ini

Kami sentiasa "berperang secara saraf" dengan ejen-ejen kerajaan seperti media, mahkamah, polis, Suhakam dan juga menteri. Alhamdulillah, media Barisan Alternatif sentiasa memberi ruang pada GMI. Kami di GMI sentiasa memikirkan, bagaimanakah hendak menyampaikan maklumat tentang ISA ini dengan lebih berkesan pada rakyat, dan kemudiannya rakyat bangun memberi sokongan terhadap usaha kerdil kami ini.

Catatan isteri seorang tahanan ISA (Bhg akhir).


NORLAILA OTHMAN adalah isteri tahanan ISA Mat Sah Mohd Satray (20022008).