Beberapa dekad kebelakangan ini menyaksikan betapa persoalan mengenai keserasian Islam dengan kemodernan sering ditanya. Biasanya, persoalan tersebut akan hanya menyentuh isu-isu politik seperti Islam dan demokrasi,

Islam dan pluralisme, atau Islam dan kebebasan berfikir.

Topik liberalisasi ekonomi jarang-jarang diperdebatkan apabila kita bercakap mengenai Islam dan moderniti walaupun liberalisasi ekonomi merupakan satu aspek penting dalam moderniti. Kertas ini akan cuba mencari jawapan kepada persoalan adakah sistem ekonomi liberaliaitu sistem pasaran terbuka, atau kapitalismeserasi dengan Islam.

Apabila ditanya "Adakah Islam menerima kapitalisme?", kebanyakan Islamis pasti akan mengatakan "Tidak!". Oleh kerana Islam ialah satu sistem sosio-politik atau nizam al-hayah yang lengkap, golongan Islamis biasanya menganggap kapitalisme sebagai saingan atau musuh.

Penolakan terhadap komunisme dan kapitalisme telah menjadi tema yang biasa kita temui dalam kitab-kitab karya tokoh-tokoh Islamis. Sayid Qutb, ideolog agung gerakan Ikhwan Muslimin Mesir, pernah menulis sebuah kitab bertajuk Ma'arakat al-Islam wal-Ra's Maliyya (Pertempuran antara Islam dan Kapitalisme) pada tahun 1951.

Malahan, sebuah persidangan Islam di Granada, Sepanyol, yang diadakan pada Julai 2003 dan dihadiri oleh kira-kira dua ribu peserta, mengeluarkan satu seruan agar riwayat sistem ekonomi kapitalis ditamatkan.

Teologi Islam dan sejarah hubungan Islam dengan perniagaan dan usaha mencari keuntungan sebenarnya tidak menjurus ke arah penolakan terhadap kapitalisme. Rasulullah s.a.w. sendiri merupakan seorang peniaga yang berjaya. Islam sejak awal-awal lagi meraikan perniagaan dan perdagangan. Islam sebenarnya amat serasi dengan sistem ekonomi kapitalis yang diperlengkapkan dengan nilai-nilai moral seperti menjaga kebajikan orang miskin dan mereka yang memerlukan.

Perdagangan, Zakat dan Al-Quran

Keserasian Islam dan kapitalisme sebenarnya telah dikaji dengan mendalam. Maxime Rodinson, seorang Marxist daripada Perancis, menyatakan dalam buku

beliau bertajuk "Islam dan Kapitalisme" (1966) bahawa umat Islam terdahulu tidak pernah merasakan bahawa usaha mengumpul wang adalah satu perkara yang salah.

Setelah mengkaji teks Islam dan juga sejarah ekonomi dunia Islam, Maxime Rodinson menyatakan bahawa "Terdapat sesetengah agama yang mana kitab suci mereka secara umumnya tidak menggalakkan aktiviti komersial, tetapi ini sama sekali bukan sikap Al-Quran. Al-Quran melihat aktiviti komersial sebagai satu perkara positif dan hanya melarang penipuan dan juga aktiviti komersial pada hari-hari kebesaran tertentu sahaja."

Memang benar bahawa Al-Quran amat menitik beratkan keadilan sosial. Penekanan ini membuatkan sesetengah pengkaji Muslim tertarik dengan konsep-konsep sosialis termasuklah janji sosialisme untuk melahirkan "masyarakat

tanpa kelas". Jika kita meneliti Al-Quran dengan teliti, pasti sistem sosialisme atau usaha mewujudkan sistem Islam-sosialisme akan kita tolak.

Al-Quran dengan jelas menerima hakikat bahawa akan wujud golongan yang miskin dan golongan yang lebih berada. Sedikit sebanyak, pengiktirafan Islam terhadap hak untuk memiliki harta peribadi dan juga hak untuk mewariskan harta turut menyumbang terhadap penerusan kewujudan perbezaan taraf dalam masyarakat.

Bagaimanapun, Islam dengan tegas memberi amaran kepada mereka yang lebih berada agar tidak membiarkan golongan miskin begitu sahaja. Al-Quran menyeru golongan berada agar sentiasa membantu golongan miskin.

Zakat adalah institusi penting dalam Islam dan ia merupakan manifestasi kepada sikap pemurah yang dituntut oleh Islam. Setiap Muslim yang berkemampuan diwajibkan memberikan sebahagian harta kepada saudaranya yang kurang berada.

Zakat ialah aktiviti kebajikan yang dilakukan secara suka rela. Zakat tidak memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk menjadikan harta dan kekayaan rakyat sebagai milik negara untuk dibahagi-bahagikan.

John Thomas Cummings, Hossein Askari dan Ahmad Mustafa dalam kajian ilmiah mereka bertajuk "Islam dan Cabaran Ekonomi Moden" menyatakan bahawa "Zakat pada dasarnya ialah satu tindakan suka rela yang melambangkan sifat taqwa dan ia tidak sama dengan pengalaman pembayar cukai zaman sekarang apabila berhadapan dengan kenaikan levi dan peraturan yang kompleks."

Mereka menambah lagi "Islam juga tidak menjurus ke arah perancangan sistem ekonomi atau harga seperti yang diajarkan oleh sistem Marxisme".

Rasulullah s.a.w. pernah diminta untuk menentukan harga barangan yang dijual di pasaran kerana pada masa itu terdapat pedagang yang menjual barangan dengan harga terlalu tinggi. Baginda s.a.w. menolak permintaan tersebut.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi, Anas bin Malik menyatakan bahawa "Apabila beberapa orang bertemu Nabi Muhammad s.a.w. dan meminta baginda menetapkan harga barangan di pasaran, baginda menolak seraya berkata "Allah menetapkan sesuatu keperluan dan Allah yang menentukan harga."

Tidak salah jika kita nyatakan bahawa terdapat sedikit unsur persamaan antara kejadian tersebut dengan konsep invisible hand yang dipopularkan oleh Adam Smith.

Terdapat hadith-hadith lain yang meraikan perdangangan, usaha mencari keuntungan dan juga usaha mencari kesenangan dalam hidup. Seperti mana yang dikatakan oleh Maxime Rodinson, "Muhammad bukan seorang sosialis."

Keterbukaan Islam terhadap perdagangan merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keagungan tamadun Muslim. Dunia umat Islam terletak di tengah-tengah trade route utama dunia dan para pedagang Islam

mengambil manfaat dengan jayanya daripada kewujudan lingkaran trade route dunia ini.

Malahan, para pedagang Islam telah memberi sumbangan penting terhadap pertumbuhan sistem perbankan moden. Para pedagang Islam pada zaman itu tidak mahu membawa emas sebagai matawang kerana ia mudah dicuri dan

juga agak berat. Jadi, mereka memperkenalkan matawang kertas. Sistem pertukaran kredit ini kemudiannya dibawa ke Eropah oleh golongan Crusaders , terutamanya oleh puak Knights Templar.

Kejayaan umat Islam dalam perdagangan memberi sumbangan yang amat penting kepada keutuhan empayar Islam. Malahan kejatuhan tamadun Islam boleh dikaitkan dengan perubahan dalam arus perdagangan antarabangsa. Apabila

Vasco da Gama belayar mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika Selatan pada November 1497, beliau membuka satu lembaran baru dalam sejarah dunia.

Calvinist Muslim?

Lembaran baru ini menyaksikan betapa perdagangan tidak lagi perlu menggunakan jalan-jalan darat yang merentasi Timur Tengah. Sebaliknya para pedagang antarabangsa mula menggunakan kapal laut.

Akibatnya, masyarakat Arab Timur Tengah yang telah dicerobohi oleh golongan Mongol sekitar dua ratus tahun sebelum itu berhadapan dengan situasi enonomi yang langsung tidak berkembang. Empayar Uthmaniyah hanya mampu bertahan buat beberapa abad sahaja sebelum turut sama berhadapan dengan situasi ekonomi yang muram.

Kehilangan pengaruh dalam perdagangan antarabangsa mengakibatkan umat Islam hilang budaya kosmopolitan. Ini seterusnya membawa kepada kebangkitan fahaman fanatik agama dan hilangnya keterbukaan apabila berhadapan dengan

pandangan yang berbeza.

Akhirnya, karya-karya yang dihasilkan oleh umat Islam pada waktu itu mula memperkenalkan fahaman asetikisme melampau yang menolak usaha mencari harta, walaupun jika kita lihat sejarah umat Islam,ulama-ulama terdahulu amat meraikan perdagangan dan mereka menganggap harta sebagai anugerah Allah.

Jika sekiranya perkembangan tamadun Islam tidak terganggu oleh perubahan di atas, sikap pro-perdagangan yang ditunjukkan oleh Islam mungkin sekali menjadikan Islam sebagai pengganti kepada Calvinisme. Max Weber berhujah

bahawa Calvinisme merupakan fahaman yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan kapitalisme.

Max Weber mungkin tidak bersetuju dengan hujah saya kerana beliau melihat Islam sebagai agama penakluk dan pemusnah, bukan agama untuk golongan pekerja. Menurut Weber, Islam menyekat kapitalisme kerana Islam hanya melahirkan gerakan militan (jihad) atau kesusahan sahaja. Tetapi, Weber

menulis dalam bukunya bertajuk Konfusianisme dan Taoisme (1915) bahawa negara China pasti tidak akan boleh berjaya dari segi ekonomi kerana budaya nepitsme yang keterlaluan.

Malahan, Weber juga amat pesimis dengan kemampuan Jepun untuk menjadi kuasa ekonomi dunia. Weber melakukan kesilapan kerana beliau menganggap semua budaya bukan Kristian tidak mampu berubah mengikut kitaran masa. Weber juga tersilap dalam membaca sejarah negara-negara bukan Kristian.

Permasalahan Riba

Salah seorang pakar sosiologi Turki yang merupakan bekas anak murid Max Weber, Sabri F. Ulgener, pernah menulis betapa Max Weber melakukan kesilapan besar apabila mengkaji Islam. Walaupun penulisan Max Weber mengenai sejarah kelahiran kapitalisme di dunia Barat dihormati ramai, Weber gagal mengiktiraf keserasian Islam dengan sistem pasaran bebas dan terbuka.

Salah satu elemen dalam sistem kapitalisme moden ialah faedah atau bunga. Al-Quran menyatakan bahawa "Allah membenarkan perdagangan dan telah mengharamkan riba.

Biasanya, kita menterjemahkan perkataan riba sebagai faedah atau bunga, dan ini menimbulkan pertembungan antara Islam dan kapitalisme.

Pertembungan ini menyebabkan umat Islam berusaha menjadikan sistem perbankan Islam sebagai satu sistem arus perdana, dan juga sebagai alternatif kepada sistem perbankan konvensional. Sistem perbankan Islam sedikit sebanyak merupakan adaptasi daripada konsep teroka modal ( venture capital ) yang biasa diamalkan di dunia Barat.

Konsep-konsep utama sistem perbankan Islam ada yang mengadaptasi konsep konvensional seperti pajakan, perkongsian dan perkongsian keuntungan.

Walaupun sistem perbankan Islam kini membolehkan umat Islam berurusniaga dalam sistem kapitalis tanpa melibatkan diri dengan faedah, sesetengah Muslim mempersoalkan adakah faedah atau bunga yang tidak keterlaluan masih

perlu dikategorikan sebagai riba. Bagi mereka, sekiranya kadar faedah yang dikenakan tidak menzalimi pengguna, maka faedah itu mungkin tidak perlu dikategorikan sebagai riba.


Artikel ini diterbitkan dalam Bahasa Malaysia oleh The Malaysia Thinktank London . Mustafa Akyol ialah seorang penulis dan kolumnis Muslim Turki yang menetap di Istanbul.