Perhimpunan Hindraf pada 25 November baru-baru ini adalah sebuah perhimpunan rakyat yang aman dan mereka wajar diberikan ruang dan peluang untuk bersuara. Kehadiran hampir 20,000 kaum India dari seluruh negara di hadapan KLCC, merupakan satu bukti wujudnya ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kaum ini.
Kerajaan seharusnya bersikap lebih toleran dan memberi kebenaran untuk mereka berhimpun secara aman. Tindakan polis mengadakan sekatan di jalan masuk ke Kuala Lumpur, telah benar-benar menyusahkan rakyat.
Perhimpunan Hindraf ini dijadualkan diadakan di hadapan Suruhanjaya Tinggi British di jalan Ampang, tetapi kenapa perlu jalan-jalan utama seperti Jalan Kuching, Sungai Besi, MRR2 disekat. Mengikut perlembagaan, rakyat bebas bergerak ke mana sahaja secara aman dan tindakan pihak polis ini menakutkan rakyat, seolah-olah negara berada dalam keadaan darurat.
Hindraf dan pertubuhan lain yang mewakili kaum atau kumpulan-kumpulan tertentu, berhak melahirkan pandangan, bantahan dan berhimpun di mana sahaja, berdasarkan peruntukan perlembagaan negara yang dikongsi bersama.
Rata-rata pimpinan tertinggi dan ahli PAS menolak tindakan yang agresif bagi menanggani isu-isu yang melibatkan kepentingan semua pihak. PAS selalu mengambil pendekatan yang demokratik, termasuklah berdemonstrasi secara aman dengan menyediakan pasukan keselamatan sendiri bagi mengawal ahli dan penyokong.
Tindakan agreasif yang selalunya dicetuskan oleh pihak polis, seperti yang berlaku dalam perhimpunanHindraf ini membuktikan bahawa rakyat yang tertekan atau diprovokasi mampu bertindak balas secara agresif. Perkara sebegini dapat dielak jika kerajaan memberi kerjasama dan permit sebagaimana yang berlaku di Britain dan kebanyakan negara maju.
