ULASAN | Saya membaca tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang kerjasama politik PAS dengan parti lain. Saya rasa perlu mengupas perkara ini berdasarkan penglibatan saya selama 33 tahun dalam PAS.

Saya berpandangan ada beza antara sejarah dan tafsiran sejarah. Sejarah adalah fakta yang tidak boleh diubah. Tapi tafsiran sejarah boleh sahaja diolah sehingga dilihat betul di satu pihak dan salah di pihak lain.

Selalunya sejarah diulas dan ditulis oleh seseorang untuk memenangkan diri sendiri. Tetapi para pembaca boleh menilai sendiri tafsiran tersebut sama ada benar atau salah.

Sejarah PAS dikeluarkan daripada BN tidak boleh dipisahkan dengan sejarah pertembungan kalangan pimpinan PAS di Kelantan antara MB daripada PAS Dato Mohamed bin Nasir dan Presiden PAS Dato Asri Muda sehingga PAS mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB daripada PAS sendiri untuk diganti oleh MB lain.

Penulis artikel Setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali.

Akibatnya berlaku rusuhan antara dua fraksi. Apabila Kelantan mahu dimagerankan akibat rusuhan, Presiden PAS sebagai menteri menolak usul dibuat di parlimen.

Tapi timbalan presiden PAS Ustaz Hasan Adli dan beberapa pimpinan PAS ketika itu bersetuju dengan usul berkenaan. Rentetan itu PAS dikeluarkan daripada BN dan Ustaz Hasan Adli, ahli parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Menteri ketika itu dipecat daripada PAS.

Beliau kemudian bertanding atas tiket BN pada PRU 1978 dan kekal menang di kerusi Bagan Datuk.

Akibat daripada perbalahan dalaman, PAS gagal memenangi Kelantan pada PRU 1978. Berjasa ditubuhkan oleh ahli PAS yang tidak berpuashati dan berpakat dengan Umno menerusi BN lalu memenangi pilihan raya.

Dato Asri (gambar atas) kemudian keluar daripada PAS pada 1982 apabila pemuda PAS melancarkan gerakan menolak ucapan dasar beliau. Beliau kemudian menubuhkan parti baru Hamim. Kemudian beliau masuk Umno pada 1988.

Di Terengganu pula PAS menubuhkan kerajaan bersama Parti Negara pada 1959. Berlaku perbalahan kalangan pimpinan PAS antara Pesuruhjaya PAS Terengganu, Adun Jeram (Dun Buluh Gading hari ini), seorang ustaz ketika itu yang tidak boleh menjadi MB kerana beliau bukan anak Terengganu tetapi anak Perak dengan pimpinan lain. Perbalahan yang berpanjangan mengakibatkan Tok Guru Hj Abas, YDP PAS Kuala Terengganu Utara (Kuala Nerus hari ini) keluar daripada PAS pada 1961 dan menyokong Umno serta kekal sebagai senator yang disandang sejak 1959 atas tiket kerajaan PAS.

Beliau adalah YB daripada PAS yang pertama dalam sejarah PAS keluar PAS dengan status sebagai YB dan Tuan Guru daripada Kuala Terengganu Utara (Kuala Nerus hari ini). Beliau kemudian dilantik oleh kerajaan Umno selepas itu sebagai Senator mewakili Terengganu untuk penggal seterusnya 1962 sehingga 1965.

Rentetan perbalahan itu enam orang wakil rakyat PAS yang berstatus Tuan Guru dan Ustaz keluar daripada PAS dan menyokong Umno menubuhkan kerajaan baru 1961. Parti Negara yang berpakat dengan PAS menubuhkan kerajaan pada 1959 juga menyokong Umno kerana tidak berpuashati dengan cara PAS melayani mereka.

Ini menunjukkan kejatuhan PAS di Terengganu pada 1961 adalah kerana perbalahan kalangan pimpinan PAS yang membolehkan Umno pula mengambil alih. Inilah fakta dan tafsiran sejarah.

Tafsiran sejarah boleh dibuat untuk mengesahkan versi PAS pula kepada pendokong. Versi tafsiran PAS pula ialah ada wakil rakyat PAS "dicolek" untuk menyokong Umno lalu jatuhlah kerajaan PAS kerana tindakan Umno tanpa menghuraikan sebab pergaduhan dalaman PAS.

Semua ini menunjukkan PAS sebagai parti bercitrakan Islam boleh sahaja tersilap dalam tindakan-tindakan politik.

Bahkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak menjamin tidak berlakunya perbalahan dan pergaduhan sehingga saling menjatuhkan kalangan pimpinan dalam PAS sehingga hari ini 2025 pun.

Islam sentiasa benar dan tidak pernah salah. Tetapi orang Islam yang berpegang dengan Islam mungkin sahaja tersasar dalam percaturan dan tindakan politik.

Berpegang dengan politik Islam dengan pemakaian soleh jubah dan serban tidak menjamin haloba politik untuk tidak bergaduh saling menjatuhkan dalam politik.

Dasar yang dipegang oleh PAS iaitu Islam tidak menjamin PAS sentiasa betul dalam tindakan politik dalam bekerjasama dengan parti-parti lain dan juga tidak menjamin pimpinan PAS termasuk Tuan Guru Haji Hadi sendiri sentiasa betul dalam ijtihad politik peribadi beliau.

Ijtihad tetap ijtihad yang terbuka pada betul dan salah walau mungkin juga diberi pahala atas ijtihad. Ijtihad kerjasama PAS dengan parti lain sama ada dijenamakan sebagai "tahaluf" atau "ta'awun", tidak semestinya menepati Islam malah mungkin sahaja tersasar.

Ijtihad politik parti lain pula jangan pula dituduh tidak Islam hanya kerana berbeza dengan ijtihad politik PAS. PAS adalah parti yang boleh keluar dan masuk manakala Islam adalah agama yang dikongsi oleh para penganutnya dalam pelbagai parti yang tidak boleh keluar masuk.

Ia juga menunjukkan, tuan-tuan guru keluar daripada PAS apabila berbeza dalam ijtihad politik. Apabila mereka bersama dengan parti lain pula ia juga satu ijtihad politik yang tidak mencacatkan iman dan Islam seseorang ahli politik kerana ia hanyalah perbezaan platform dalam mengamalkan politik Islam.

Saya belum berhasrat membincangkan cerita dalaman kenapa boleh terburainya Pakatan Rakyat. Adakah kerana PAS atau kerana parti lain?

Adakah Muafakat Nasional (MN) terburai kerana PAS pegang Islam atau kerana PAS tersasar membuat ijtihad politik melibatkan MN dan PN?

Atau ijtihad politik Tuan Guru Hj Hadi yang tersasar yang bercanggah dengan Majlis Syura Ulama PAS? Ini saya akan kupas nanti.

Semua ini melibatkan ijtihad politik yang boleh jadi betul dan salah pada pertimbangan semasa.

Maka berlapang dadalah dengan ijtihad politik masing-masing dengan tidak memonopoli Islam hanya untuk parti sendiri sahaja kerana Islam adalah milik bersama semua orang Islam yang memperjuangkan politik Islam.

Untuk nota, perlembagaan Umnoyang dipinda pada 2019 menyebut Umno ialah parti yang memperjuangkan cita-cita Islam - menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan.


KHAIRUDDIN AMAN RAZALI setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiakini.