Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
ULASAN | Merdeka dari nasionalisme yang membutakan

ULASAN | Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, kita diingatkan tentang pentingnya mencintai negara. Namun pernahkah kita bertanya: apakah bentuk cinta kepada negara yang sepatutnya kita bina?

Buku Nasionalisme Longkang karya Hadri Shah mengajak kita melihat persoalan ini dari sudut yang tidak selesa, khususnya apabila nasionalisme digunakan untuk membiasakan kepatuhan kepada kuasa, menutup ruang kritikan dan mengaburkan penderitaan rakyat yang sepatutnya menjadi asas kepada negara.

Nasionalisme sepatutnya berakar pada kesejahteraan rakyat. Dalam sebuah negara demokrasi, kerajaan dan institusi awam memperoleh kewajaran mereka daripada tanggungjawab untuk melindungi kepentingan rakyat. Apabila kecintaan kepada negara diterjemahkan sebagai kesetiaan tanpa soal kepada pemerintah, kita telah mengalihkan kesetiaan daripada rakyat kepada kuasa.

Pada ketika itu, nasionalisme tidak lagi menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat, tetapi alat yang mengajar kita menerima sesuatu hanya kerana ia dilakukan atas nama negara.

Apabila rakyat diminta berkorban demi mempertahankan maruah institusi, kita perlu berani mempersoalkan apa sebenarnya yang sedang kita pertahankan.

Persoalan ini penting kerana ukuran sebenar sesebuah negara akhirnya terletak pada keadaan manusia yang hidup di dalamnya.

Anak kecil yang membesar dalam rumah sempit. Pekerja yang pulang lewat dengan gaji yang tidak sepadan dengan tenaga. Orang Asli yang mempertahankan tanah nenek moyang.

Gelandangan yang mencari tempat berlindung. Bahkan mereka yang tidak pernah kita kenali, tetapi tetap berkongsi tanah air yang sama.

Saya teringat satu bahagian dalam buku ini tentang Tabung Haji. Dalam kisah yang dibawakan penulis, campur tangan politik berhubung urus niaga tanah TRX dikatakan meresap ke seluruh rantaian institusi. Kontroversi yang menggemparkan itu akhirnya hanya bertahan sebentar sebelum kemarahan masyarakat kembali reda. Kita marah, kita berdebat, kita menulis panjang-panjang di media sosial, kemudian kita kembali kepada kehidupan seperti biasa. Persoalan mengenai salah urus dan campur tangan politik perlahan-lahan diselitkan di bawah permaidani merah.

Yang lebih merisaukan dakwaan agama turut dipanggil masuk untuk memberikan wajah suci kepada institusi dan keputusan politik.

Apabila agama terlalu dekat dengan kuasa, batas antara ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada manusia boleh menjadi kabur. Yang sepatutnya menjadi suara hati nurani masyarakat akhirnya boleh berubah menjadi alat untuk menenangkan hati masyarakat. Sedangkan Islam tidak pernah mengajar kita bahawa sesuatu itu menjadi benar hanya kerana ia dilakukan oleh orang yang berkuasa.

Malah, sejarah Islam sendiri sarat dengan keberanian ulama dan masyarakat menegur pemerintah apabila keadilan dicabuli. Agama sepatutnya membina manusia yang mampu berkata tidak kepada kezaliman, bukan manusia yang mencari alasan agama untuk mematuhi segala-galanya.

Ironinya, kita sering begitu lantang apabila melihat penindasan di tempat yang jauh. Kita menangisi Palestin.

Kita marah melihat rumah dihancurkan, tanah dirampas, keluarga dipindahkan dan anak-anak kehilangan tempat tinggal.

Kita bercakap tentang penjajahan, perampasan tanah dan hak sebuah bangsa untuk hidup bermaruah. Tetapi apabila perkara yang hampir serupa berlaku di halaman sendiri, suara kita tiba-tiba mengecil.

Buku Nasionalisme Longkang ini membawa pembaca kepada masyarakat Orang Asli yang berdepan kehilangan tanah dan kemusnahan hutan.

Apabila hutan ditebang, yang hilang bukan sekadar pokok. Rumah musnah. Habitat haiwan lenyap. Ekosistem terganggu. Sungai dan kehidupan masyarakat berubah. Namun penderitaan itu sering gagal menggugah hati kita, seolah-olah nilai sebuah rumah bergantung kepada siapa yang mendiaminya.

Lebih menyedihkan lagi, agama turut dijadikan ukuran untuk menentukan siapa yang layak menerima simpati.

Bagaimana mungkin kita begitu tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak Palestin tetapi tidak terasa apa-apa apabila kanak-kanak Orang Asli kehilangan tanah tempat keluarganya bergantung hidup?

Bagaimana kita boleh melihat ketidakadilan dengan begitu jelas apabila ia berlaku di Gaza, tetapi menjadi buta apabila ia berlaku di Gua Musang?

Ini bukan soal menyamakan semua sejarah, konteks atau bentuk penindasan. Ini soal konsistensi moral. Jika kezaliman itu salah kerana mangsanya manusia, maka kemanusiaan tidak sepatutnya terhenti di sempadan geografi, bangsa atau agama.

Di sinilah kegagalan institusi Islam kita menjadi lebih ketara.

Masjid sepatutnya menjadi antara ruang paling penting untuk membina masyarakat yang peka terhadap persoalan keadilan. Tetapi berapa banyak masjid yang benar-benar menjadi tempat masyarakat membincangkan kemiskinan, eksploitasi pekerja, beban kos sara hidup, kerosakan alam sekitar, nasib gelandangan atau hak masyarakat terpinggir?

Kita mempunyai masjid yang besar, indah dan megah. Ada kubah, karpet, lampu dan pagar yang semuanya kelihatan cukup sempurna. Tetapi buku ini mengingatkan tentang sesuatu yang jauh lebih menyakitkan, bahawa di sekeliling Masjid Negara sendiri pernah ada gelandangan yang tidur di dataran, sedangkan pintu masjid tidak semestinya terbuka kepada mereka.

Bangunan agama berdiri teguh. Manusia di sekelilingnya masih jatuh.

Barangkali inilah antara masalah terbesar apabila agama diinstitusikan tanpa semangat ihsan dan keadilan yang sepatutnya menjadi rohnya. Kita begitu sibuk menjaga kesempurnaan bentuk sehingga lupa kepada tujuan.

Lalu semuanya kembali kepada persoalan nasionalisme.

Jika cinta kepada Malaysia menuntut kita mempertahankan segala tindakan pemerintah, maka itu bukan cinta kepada Malaysia. Itu cinta kepada kuasa yang sedang memerintah.

Jika patriotisme bermaksud menutup mata apabila tanah rakyat dirampas, wang awam diseleweng atau golongan lemah diketepikan, maka patriotisme seperti itu tidak lebih daripada disiplin untuk tidak bertanya.

Dan jika kesetiaan kepada bangsa membuat kita tidak mampu mengkritik bangsanya sendiri, kita akhirnya tidak lagi mencintai bangsa. Kita cuma mempertahankan fantasi kita mengenainya.

Saya semakin percaya bahawa nasionalisme yang sihat sepatutnya bermula daripada rakyat. Negara wujud untuk manusia, bukan manusia untuk mengagungkan negara. Malah, institusi, birokrasi, kerajaan dan politik hanyalah alat yang dibentuk untuk mengurus kehidupan bersama. Apabila alat itu mula menindas manusia yang sepatutnya dilindungi, kesetiaan kepada negara tidak menuntut kita berdiam diri. Sebaliknya, kesetiaan yang sebenar menuntut kita untuk melawan.

Mungkin itulah makna Merdeka yang lebih sukar. Bukan sekadar bebas daripada penjajahan asing, tetapi bebas daripada budaya takut untuk mempersoalkan kuasa. Bebas daripada nasionalisme yang memaksa kita memilih negara berbanding rakyatnya. Bebas daripada agama yang kehilangan keberanian moralnya. Bebas daripada politik yang meminta kesetiaan sebelum ia memberikan keadilan.

Saya membaca Nasionalisme Longkang sebagai satu peringatan kepada diri sendiri. Jangan sampai dalam usaha mencintai negara, kita akhirnya belajar membenci mereka yang sedang menderita di dalamnya.

Kerana Malaysia bukan kerajaan yang memerintahnya. Malaysia ialah rakyatnya.

Selama masih ada rakyat yang dipinggirkan, ditindas atau dilupakan, negara kita belum benar-benar merdeka.


DR NOAH OOI Ketua Penyelaras Kajian dan Penyelidikan, Dewan Muda Alternatif (DMA).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS