ULASAN | Muktamar PAS tanpa Nik Aziz: Apa yang hilang?
ULASAN | Muktamar PAS datang lagi. Muktamar ke-72. Sudah lebih 11 tahun PAS bermuktamar tanpa Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Lebih sedekad selepas pemergian beliau, PAS hari ini berada pada kedudukan politik yang agak kukuh. Kerusinya banyak, pengaruhnya luas bahkan sudah pernah jadi sebahagian Kerajaan Persekutuan.
Namun di sebalik kejayaan tersebut, saya kira ada perkara yang wajar direnungkan.
Adakah PAS hari ini semakin kuat dari segi politik, tetapi semakin hilang ruh perjuangan yang pernah diperlihatkan oleh Tok Guru Nik Aziz?
‘PAS untuk semua’ era Nik Aziz
Kekuatan Tok Guru Nik Aziz bagi saya bukan hanya pada bilangan kerusi yang dimenangi PAS.
Kekuatan beliau pada kemampuan membawa Islam keluar daripada lingkungan kelompok sendiri dan menjadikannya dekat dengan seluruh masyarakat Malaysia yang rencam.
Beliau tegas sebagai seorang ulama. Namun sebagai umarak, beliau tidak menjadikan ketegasan agama sebagai alasan untuk bersikap keras terhadap mereka yang berbeza.
Beliau mempertahankan Islam dengan penuh keyakinan, pada masa yang sama mampu mendekati masyarakat Tionghua, India, Siam dan bukan Islam yang lain tanpa rasa curiga.
Politik hikmah dan wasatiyyah. Teguh pada prinsip tetapi sangat anjal dalam perhubungan lewat batas agama. Yakin dengan perjuangan, tetapi tidak takut pada perbezaan.

Beliau meyakinkan masyarakat – perjuangan Islam yang dibawa PAS tidak bermakna bukan Islam diketepikan.
Itulah yang saya faham, kekuatan politik Tok Guru Nik Aziz. Ia tidak diukur hanya melalui angka-angka pilihan raya. Berbeza pendekatan politik PAS hari ini.
Dibawah kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS mengambil haluan yang lebih menekankan kekuatan politik identiti. Politik Melayu-Islam dan penyatuan ummah.
Memang pendekatan ini berkesan. Itu ijtihad Hadi.

PAS berjaya mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan majoriti Melayu-Islam dan muncul sebagai antara kuasa politik besar negara.
Kita tidak nafikan kejayaan tersebut.
Tetapi bagi saya kejayaan pilihan raya tidak semestinya bermaksud semua aspek perjuangan menjadi lebih kuat.
Ada aspek lain yang mungkin semakin mengecil – kemampuan untuk menjadikan Islam sebagai 'laras bahasa bersama' bagi seluruh rakyat Malaysia.
Jika dahulu PAS berusaha meyakinkan masyarakat tentang keterangkuman dan keadilan Islam, pada pemerhatian saya, strategi politik PAS hari ini semakin tertumpu pada penggemblengan sokongan berasaskan identiti Melayu-Islam.
Itulah perbezaan yang ketara.
Mengenang Qaradhawi
Dalam hal ini, pemikiran al-marhum Sheikh Yusuf al-Qaradhawi berkaitan wasatiyyah sangat menarik untuk direnungkan.
Wasatiyyah bukan bererti mengurangkan Islam. Bukan juga bererti mengambil sikap lunak terhadap prinsip.
Sebaliknya, kemampuan untuk mengimbangi antara prinsip dan realiti, ketegasan dan hikmah, identiti dan keterbukaan.
Dalam konteks Malaysia, pendekatan sebegini sangat penting. Sebab kita mempunyai masyarakat majmuk.

Jalur politik Islam di Malaysia tidak cukup sekadar mempunyai kekuatan dalam kalangan orang Islam. Ia perlu berupaya meyakinkan kelompok bukan Islam bahawa Islam mampu memberi solusi untuk mereka.
Pada saya, Tok Guru Nik Aziz mempunyai kebijaksanaan dalam hal ini.
Beliau tidak menjadi kurang Islam untuk bersikap tasamuh (bertolak ansur). Tetapi keterbukaan beliau lahir daripada keyakinan terhadap keadilan Islam itu sendiri untuk semua.
PAS semakin kuat sebagai parti politik, tetapi pada pandangan saya, keupayaannya untuk dilihat sebagai gerakan dakwah yang merangkul kepelbagaian masyarakat semakin berkurangan.

Kerusi bertambah. Kekuatan pun bertambah. Tetapi ruh politik yang suatu ketika dahulu membantu PAS mendekati sebahagian masyarakat bukan Islam – itu yang saya lihat semakin berkurangan.
Dan kehilangan itu, bagi saya, ada kaitannya dengan ketiadaan Tok Guru Nik Aziz.
Nik Aziz mempunyai keupayaan yang sukar digantikan – menampilkan Islam sebagai sumber keyakinan dan menjadikan politiknya jambatan yang mendekatkan kelompok berbeza.
Saya tidak mempersoalkan cita-cita PAS untuk berkuasa di Putrajaya. Malah sebagai parti politik, mendapatkan kuasa melalui pilihan raya adalah sesuatu yang sah.

Tetapi bagi sebuah parti berjenama Islam, ukuran PAS untuk memerintah negara tidak boleh sekadar perihal berapa banyak kerusi yang dimenangi.
Soal yang lebih besar ialah, berapa ramai rakyat yang yakin kepada Islam versi yang PAS bawa?
Adakah sasaran politik PAS kini lebih tertumpu kepada masyarakat Melayu-Islam? Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan bukan Islam?
Adakah mereka melihat Islam sebagai payung untuk semua?
Atau adakah pendekatan PAS menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian mereka terhadap kemungkinan suara majoriti mengatasi kepentingan kelompok lain?
Di sinilah saya kira PAS memerlukan kembali semangat wasatiyyah yang pernah dirangkul kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/77305d367ed4aaf6acd8d052655ffaa6.jpg)
