ULASAN | Cabaran Umno untuk uji keikhlasan PAS pelik, luar strategi
ULASAN | Ini satu daripada cabaran besar dalam gagasan penyatuan.
Cadangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, supaya Terengganu dijadikan medan ujian keikhlasan PAS perlu dijawab dengan satu persoalan asas: Apakah ukuran sebenar keikhlasan dalam penyatuan?
Cara memahami penyatuan antara sebahagian pemimpin muda PAS dan Umno dengan kerangka Mohamad nampaknya berbeza.
Bagi beliau, ukuran yang diketengahkan ialah kerusi, dan formula pembahagian kerusi.
Tetapi bagi generasi muda yang melihat penyatuan dari sudut lebih besar, kerusi hanyalah alat. Ummah ialah matlamat.
Pemimpin muda PAS dan Umno telah menunjukkan contoh yang lebih baik berusaha membina kerjasama dengan meletakkan kepentingan yang lebih besar di hadapan kepentingan parti.
Sebab itu cabaran terhadap PAS supaya menguji keikhlasan dengan membubarkan DUN Terengganu agak pelik dan di luar norma sudut strategi. Terengganu yang aman damai, tanpa isu dengan agama, raja dan tanah air tiba-tiba nak di jadikan korban menguji ikhlas penyatuan ummah.
Anak muda garu kepala dengan cara fikir orang lama Umno ini.
Sepatutnya Umno perlu cadangkan untuk mengambil alih negeri kantung duit DAP iaitu Pulau Pinang. Pulau Pinang merupakan jantung kepada DAP. Jika Umno dan PAS berpadu tenaga melumpuh DAP di Pulau Pinang, ia akan menyebabkan kesan besar kepada DAP di seluruh negara.
Jangan melemahkan untuk menguji kawan
Dalam PRN Terengganu 2023, PAS menang 27 daripada 32 kerusi DUN, manakala Bersatu lima. PN menguasai kesemua 32 kerusi. Umno-BN pula tidak memenangi mana-mana kerusi.
Jadi mengapa kekuatan PAS di Terengganu perlu dilemahkan untuk membuktikan keikhlasan?
Penyatuan sepatutnya mencari ruang untuk saling menguatkan, bukan mencari tempat untuk satu pihak mengorbankan kubu kuatnya sebagai bukti cinta.
Lihat pengalaman di Johor dan Negeri Sembilan. Dalam beberapa keadaan, PAS dan Umno memilih pendekatan yang lebih pragmatik dengan masing-masing memahami kekuatan dan batas kawasan masing-masing.
Malah wujud sokongan silang apabila satu daripada dua pihak itu pihak tidak bertanding. Itulah politik penyatuan yang lebih matang:
Aku kuat di sini, kamu kuat di sana. Maka kita gunakan kekuatan masing-masing untuk tujuan yang lebih besar.
Bukannya - “Kalau kamu ikhlas, serahkan kubu kamu kepada aku.”
Analogi mudahnya, seorang isteri meminta suaminya membuktikan keikhlasan cintanya dengan melompat dari bangunan. Kalau benar ikhlas, kata si iteri kepada suami, terjun.
Adakah itu ukuran ikhlas yang munasabah?
/file/attachments/orphans/AfnanHamimiTaibAzamudden3_636041.jpg)
Begitulah juga politik. Jangan jadikan pengorbanan yang melemahkan diri sebagai satu-satunya ukuran keikhlasan. Kejayaan juga bergantung kepada neraca yang digunakan.
Ada orang mengukur kejayaan dengan wang ringgit dan kedudukan. Ada yang mengukurnya dengan kemenangan akhirat. Perkataan “kejayaan” adalah sama, tetapi neracanya berbeza.
Begitu juga penyatuan.
Jika neracanya kerusi, maka penyatuan akan sentiasa berakhir dengan persoalan: “Aku dapat berapa?” Tetapi jika neracanya ummah, persoalannya berubah menjadi: “Apa yang kita boleh bina bersama?”
Tok Mat mungkin mengemukakan soalan yang wajar tentang keikhlasan. Tetapi medan ujiannya juga mesti tepat.
Jangan uji keikhlasan dengan meminta rakan melemahkan dirinya. Ujilah dengan melihat sejauh mana kita sanggup menguatkan rakan ketika kita sendiri tidak mendapat keuntungan secara langsung.
Kerana pada akhirnya, penyatuan yang sebenar bukan apabila PAS kalah dan Umno menang, atau Umno kalah dan PAS menang.
Penyatuan yang sebenar ialah apabila kekuatan PAS menjadi kekuatan Umno, kekuatan Umno menjadi kekuatan PAS, dan kedua-duanya akhirnya menjadi kekuatan ummah.
Dengan hormat Tok Mat, cukuplah bawa politik sempit era 1980-an. Tahun depan sudah 2027. Kita sudah tujuh tahun sudah meninggalkan Wawasan 2020. Layanlah cara anak muda berpolitik .
Jangan sampai yang di kejar tak dapat, yang di kendong berciciran. Jangan kerana sebekas umpan, di lempar sebaldi ikan.
MOHD FIRDAUS NAWAWI ialah Ketua Pemuda PAS Kelantan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/hasan1_812588.jpg)
