“DBP perlu membuka pintu lebih luas kepada penulis Cina, India, Kadazan, Iban, Siam dan seluruh warga Malaysia yang memilih bahasa Melayu sebagai bahasa karya.

“Bahasa kebangsaan akan benar-benar menjadi bahasa kebangsaan apabila setiap warga merasakan bahawa bahasa itu juga rumahnya untuk bermimpi, berkarya dan meninggalkan warisan.”

Ada sesuatu yang perlu kita fikirkan semula tentang Sastera Kebangsaan. Bukan untuk meruntuhkan apa yang telah dibina. Bukan juga untuk menafikan jasa penulis Melayu.

Bangunan DBP di Kuala Lumpur, gambar hiasan

Sebaliknya, supaya rumah sastera yang dibina dengan bahasa Melayu itu menjadi lebih luas, lebih teduh dan lebih mencerminkan wajah sebenar Malaysia.

Konsep Sastera Kebangsaan sendiri pernah dirumuskan dalam Draf Dasar Sastera Kebangsaan sebagai karya yang menggunakan bahasa kebangsaan, berlatarbelakangkan masyarakat Malaysia, menggambarkan kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakat majmuk serta menyumbang kepada persefahaman dan integrasi nasional.

Jika demikian takrifnya, mengapa kita masih terlalu mudah melihat sastera melalui cermin kaum?

Bahasa itu jambatan, bukan pagar

Penulis berbangsa India yang menulis dalam bahasa Melayu bukan sedang menulis “sastera India” semata-mata.

Penulis Cina yang mengangkat kehidupan keluarganya, kampungnya atau pengalaman masyarakatnya dalam bahasa Melayu juga bukan sedang menulis di luar pagar kesusasteraan kebangsaan.

Begitu juga penulis Kadazan, Murut, Thai, Iban, Melanau, Orang Asli dan pelbagai kelompok lain. Mereka menulis pengalaman Malaysia dalam bahasa Melayu. Mereka masih taat dan mendaulatkannya. Itulah kekuatan yang sepatutnya diraikan.

Sastera sebagai rumah untuk semua bangsa

Malah, rekod DBP sendiri menunjukkan bahawa institusi itu pernah memberi perhatian terhadap penulis pelbagai kaum. Pangkalan Data Penulis Pelbagai Kaum Malaysia pernah diwujudkan bagi tujuan pendokumentasian, manakala program seperti Perkampungan Penulis Pelbagai Kaum dan Simposium Penulis Pelbagai Kaum turut direkodkan dalam khazanah DBP.

Ini sesuatu yang positif. Tetapi persoalannya bukan lagi “pernahkah dibuat?” Persoalan yang lebih penting ialah, “Sudahkah usaha itu dilakukan secara konsisten, menyeluruh dan cukup besar untuk menghasilkan generasi baharu penulis pelbagai kaum?”

Kavyan: Jangan jadikan konflik sebagai tembok

Di sinilah hubungan DBP dengan Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) perlu dilihat dengan lebih matang.

Isu penggunaan perkataan “Tuhan” pernah mencetuskan perdebatan antara Kavyan dan DBP selepas penerbitan antologi Meredah Kabus. DBP menjelaskan pendiriannya berdasarkan pedoman ejaan dan membezakan penggunaan “Tuhan” dengan “tuhan”, manakala Uthaya Sankar SB mempertikaikan implikasi penggunaan tersebut terhadap karya penulis bukan Islam.

Kita tidak perlu memilih antara “DBP betul” atau “Kavyan betul” secara membuta tuli. Yang perlu dipilih ialah jalan penyelesaian. Buka satu meja. Duduk bersama. Panggil ahli bahasa, sarjana agama, pakar undang-undang, editor, penulis Islam dan bukan Islam:

● Bentangkan contoh manuskrip.

● Bincangkan konteks.

● Bezakan kaedah ejaan, konteks watak, kebebasan kreatif dan sensitiviti agama.

Kemudian hasilkan satu garis panduan yang jelas. Bukankah lebih mudah dan indah jika konflik yang berlarutan bertahun-tahun akhirnya melahirkan sebuah panduan yang boleh dirujuk semua penulis?

Luka yang dibicarakan dengan ilmu boleh menjadi jambatan. Luka yang dibiarkan akan menjadi dendam, ‘seperti bara di dalam sekam’.

Penulis Cina: Jangan biarkan bakat berkarya bersendirian

Perkara sama perlu dilakukan terhadap penulis berbangsa Cina. DBP perlu mencungkil, melatih, membimbing dan menerbitkan mereka yang mempunyai bakat menulis dalam bahasa Melayu.

Bukan sekadar mengadakan pertandingan. Bukan sekadar seminar sehari. Tetapi satu program pembangunan bakat berperingkat. Contohnya:

● Tahap pertama: bengkel asas penulisan Melayu.

● Tahap kedua: klinik puisi, cerpen, novel dan esei.

● Tahap ketiga: bimbingan manuskrip bersama mentor.

● Tahap keempat: penerbitan antologi.

● Tahap kelima: penerbitan karya individu.

●Tahap keenam: promosi dan pengiktirafan.

Begitu juga bagi penulis Kadazan, Murut, Iban, Orang Asli dan kelompok lain.

Sebenarnya, DBP sendiri mempunyai rekod panjang mengenai sastera pelbagai kaum. Pangkalan data DBP turut menyimpan bahan tentang hubungan kaum dalam cerpen, karya sastera pelbagai kaum, penglibatan masyarakat Sarawak dalam drama dan kajian tentang kepelbagaian etnik. Maknanya, asasnya sudah ada. Yang diperlukan ialah keberanian untuk memperluaskannya.

Usah fobia jika mereka menjadi lebih baik

Ini mungkin bahagian paling sukar tetapi paling penting. Jika suatu hari nanti penulis Cina menghasilkan novel Melayu yang lebih baik daripada penulis Melayu, apakah masalahnya? Kalaupun sudah ada, marilah kita bersama-sama berikan sokongan.

Jika penyair India menghasilkan puisi yang lebih kuat, apakah yang perlu ditakutkan? Jika penulis Kadazan menghasilkan karya yang menggoncang pemikiran seluruh negara, mengapa perlu terasa terancam?

Jika majoriti penulis bukan Melayu menulis karya merentas sempadan bangsa dan agama, bukankah itu petanda positif bunga perpaduan sedang berkembang mengharum? Kerana bagi mereka yang mungkin pelupa atau terlupa perlu diperingatkan:

● Karya tidak mengenal warna kulit.

● Mutu tidak mempunyai bangsa.

● Puisi tidak memegang kad pengenalan.

● Novel tidak bertanya keturunan pengarangnya sebelum menyentuh hati pembaca.

Jika DBP benar-benar mahu memartabatkan sastera, ukuran akhirnya mestilah mutu, keaslian, kekuatan bahasa, pemikiran, kreativiti dan sumbangan kepada masyarakat. Sudah tentu bukan asal usul pengarang menjadi ukuran. Kerana kita berkongsi matahari dan bulan yang sama; jatuh bangun watan, kita perlu berkesatuan.

Perpaduan boleh bermula daripada sehelai kertas

Kita sering bercakap tentang perpaduan; seminar perpaduan, kempen perpaduan dan dialog perpaduan. Tetapi mungkin kita terlupa bahawa sebuah puisi, cerpen atau novel juga boleh menjadi jambatan perpaduan. Kemungkinan itu wujud:

● Seorang anak Melayu membaca kisah keluarga India.

● Seorang anak Cina membaca puisi Kadazan.

● Seorang anak Kadazan membaca novel Melayu karya penulis Cina.

Di situ berlaku pertemuan yang paling halus: pertemuan imaginasi, pertautan emosi yang menyentuh hati dan sanubari, daerah paling suci dan seni. Kesan keindahan hasil pembacaan akan kekal bertahun-tahun dan bertukar menjadi pengalaman paling luhur.

Kepelbagaian kaum rakyat Malaysia, gambar hiasan

DBP pernah menerbitkan dan mengangkat perbincangan tentang sumbangan penulis pelbagai kaum kepada kesusasteraan kebangsaan, malah rekod DBP menunjukkan wujudnya seminar dan perkampungan penulis pelbagai kaum sejak sekian lama.

Maka usaha ini bukan perlu dimulakan dari kosong. Ia perlu dihidupkan semula dengan skala yang lebih besar.

Sekilas sejarah perpaduan kaum dalam sastera

Kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan golongan penulis juga sasterawan khasnya percaya, bahawa Sastera Kebangsaan di Malaysia memainkan peranan penting sebagai jambatan integrasi nasional, sejak era 1960-an sehingga kini. Penulis dari pelbagai latar belakang kaum; Melayu, Cina, dan India telah menghasilkan karya yang memaparkan realiti masyarakat majmuk, konflik silang budaya, serta usaha memupuk keharmonian. Tidak dinafikan, kita telah lama menjadi pencandu karya sedemikian rupa.

Marilah kita imbas kembali zaman kegemilangan sastera ketika tema perpaduan kaum pernah dijulang oleh beberapa pengarang. Berikut adalah senarai judul novel dan cerpen bertemakan perpaduan kaum mengikut garis masa kronologi di Malaysia:

1. Era 1960-an dan 1970-an

Era ini menyaksikan pembentukan Malaysia (1963) dan pasca-tragedi 13 Mei 1969. Karya pada zaman ini banyak memfokuskan kepada sejarah integrasi awal, pembentukan empati, dan pembinaan semula keharmonian masyarakat majmuk.

Novel Interlok (1971) oleh Abdullah Hussain (Melayu). Mengisahkan pembentukan masyarakat majmuk awal abad ke-20 melalui tiga watak utama (Seman, Kim Lock, dan Maniam) yang akhirnya bersatu menghadapi kesusahan hidup. Srengenge (1973) oleh Shahnon Ahmad (Melayu). Memaparkan hubungan kemasyarakatan dan nilai kebersamaan yang utuh dalam komuniti luar bandar.

A Samad Said, gambar hiasan

Cerpen "Ah Khaw Masuk Syurga" oleh A Samad Ismail (Melayu). Menggambarkan sebuah keluarga Melayu yang melindungi seorang lelaki Cina semasa zaman pendudukan Jepun. Ibu Tidak Mati oleh S Othman Kelantan (Melayu). Menonjolkan persahabatan erat antara watak Melayu dan Cina menjelang dan selepas era kemerdekaan.

2. Era 1980-an

Zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) sedang pesat berjalan. Penulis mula melihat perpaduan daripada sudut interaksi sosioekonomi korporat, pendidikan, dan kawasan perumahan bandar. Beberapa novel seperti Sudara (1980) oleh Arena Wati (Melayu). Membawa naratif keharmonian silang budaya dan hubungan kekeluargaan yang merentasi sempadan etnik. Arus (1985) oleh Anwar Ridhwan (Melayu). Menyentuh tentang integrasi kaum dalam mengharungi arus pembangunan ekonomi negara.

3. Era 1990-an

Selaras dengan pengenalan Wawasan 2020 pada tahun 1991, karya sastera era ini sarat dengan mesej "Bangsa Malaysia" yang mengetepikan jurang prejudis etnik. Penulis bukan Melayu (kaum Cina dan India) juga semakin aktif menulis tema ini dalam bahasa Melayu.

Novel Saga (1990) oleh Abdul Talib Mohd Hassan (Melayu). Mengutarakan kisah persahabatan dan kerjasama erat pelbagai kaum dalam bidang pertanian moden dan perniagaan. Panrita (1993) oleh Arena Wati (Melayu). Memaparkan interaksi politik dan sosial yang matang antara kaum di Malaysia. "Secangkir Kopi Kemuafakatan" (1998) oleh Lim Swee Tin (Cina). Cerpen yang sarat dengan simbolik kedai kopi sebagai ejen penyatuan komuniti pelbagai bangsa.

Lim Swee Tin

4. Era 2000-an dan seterusnya

Karya moden/kontemporari lebih terbuka dalam membincangkan integrasi nasional. Penerbitan novel-novel sayembara dan antologi cerpen bertema perpaduan (seperti tema 1Malaysia) banyak dihasilkan bagi mendidik generasi muda.

Novel Ah Fook (2014) oleh Chong Koon San (Cina). Pemenang Hadiah Utama Sayembara ITBM-PENA-BH yang memaparkan sejarah integrasi, asimilasi budaya, dan perpaduan daripada kaca mata seorang perantau Cina sehingga melahirkan generasi Malaysia baharu. Naratif Ogonshoto (2001) oleh Anwar Ridhwan (Melayu). Melalui alegori politik, novel ini membawa mesej tentang kepentingan keadilan dan kebersamaan pelbagai komuniti. Pulang (2016) oleh Lily Haslina Nasir (Melayu). Mengangkat tema perpaduan melalui perkahwinan campur dan penerimaan budaya.

Cerpen/Antologi, misalnya cerpen "Menara Pelangi" ditulis oleh Chin Fook On@Robert, penulis sastera peranakan/Mahua (Cina). Cerpen ini berkaitan watak-watak Ridwan, Kin-Kat dan Raj. Sebuah cerpen simbolik yang memaparkan watak tiga etnik utama Malaysia bekerjasama demi kemakmuran negara. Kumpulan Cerpen 1Malaysia (Era 2010-an). Antologi khusus yang menghimpunkan cerpen tulisan penulis pelbagai kaum bagi menterjemahkan prinsip kebersamaan dan integrasi nasional. Erti Sebuah Perpaduan oleh Anis Ismahani (Melayu - Sastera Kanak-kanak/Remaja). Mengisahkan watak majmuk seperti Ecah, Mei Lin, dan Siva yang bekerjasama menyambut Hari Kemerdekaan demi memupuk semangat cinta akan negara.

Bina inkubator Sastera Kebangsaan

Dicadangkan DBP mempertimbangkan satu ‘Inkubator Sastera Kebangsaan Pelbagai Kaum’. Program ini boleh memilih bakat muda dari seluruh negara tanpa mengira kaum dan agama. Beberapa langkah boleh difikirkan:

● DBP menyediakan mentor.

● Universiti menyediakan pakar.

● Penulis mapan menjadi pembimbing.

● Penerbit menjadi rakan strategik.

Dan hasil akhirnya bukan sekadar sijil. Tetapi buku yang terbit sebagai:

● Antologi puisi.

● Antologi cerpen.

● Kumpulan esei.

● Novel sulung.

● Drama.

● Karya kanak-kanak.

● Karya digital.

Dengan demikian, DBP bukan sekadar berkata “sastera untuk semua”. DBP membuktikannya dengan “karya untuk semua bangsa”.

Sastera Kebangsaan: Jangan jadikan rumah cuma ada satu bilik

Dalam dunia sastera, kita tidak kehilangan sesuatu apabila penulis bukan Melayu semakin ramai. Sebaliknya, kita mendapat kepelbagaian:

● Lebih banyak cerita.

● Lebih banyak pengalaman.

● Lebih banyak warna.

● Lebih banyak bahasa kehidupan.

Lebih banyak cara melihat Malaysia.

Seperti kata Bakhtin tentang sifat dialogik bahasa dan budaya, makna menjadi lebih kaya apabila suara yang berbeza bertemu dalam ruang yang sama.

Maka DBP tidak perlu takut kepada kepelbagaian. Sebaliknya, DBP perlu memimpin kepelbagaian:

● Kavyan perlu didekati.

● Penulis Cina perlu dicungkil.

● Penulis Kadazan dan Murut perlu ditemukan.

● Penulis pelbagai kaum perlu diberikan ruang.

Dan setiap karya perlu dinilai berdasarkan mutu, bukan identiti pengarang.

Akhirnya, Sastera Kebangsaan bukan hak milik satu kaum. Ia adalah hasil imaginasi seluruh rakyat yang menjadikan Malaysia sebagai tanah air dan bahasa Melayu sebagai salah satu wadah bersama untuk mengungkapkan pengalaman itu.

Kalau perpaduan mahu benar-benar berakar, jangan hanya tanam di pentas politik. Tanamlah juga di halaman buku. Kerana mungkin sebuah puisi mampu memperkenalkan kita kepada jiran yang selama ini tidak pernah kita fahami dan mesrai.

Mungkin sebuah novel mampu membuat kita melihat Malaysia melalui mata orang lain. Dan mungkin sebuah cerpen mampu melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh seribu slogan:

“Membuat kita merasakan bahawa kisah mereka sebenarnya juga kisah kita.”

Jangan bina Sastera Kebangsaan dengan pagar yang tinggi. Binalah ia dengan pintu yang luas. Kerana lagu patriotik Malaysia yang padu dan bersemangat bukan dendangan satu suara, tetapi gagasan paduan suara.


RAMLEE WAHAB ialah penggiat seni serta pemenang pelbagai anugerah sastera. Beliau juga bekas pemimpin akar umbi Bersatu Johor tetapi kini memilih Parti Wawasan Negara sebagai wadah baharu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.