Dua kenyataan dalam Audio Siar Kupas Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi YouTube bertajuk “Hala Tuju Sastera Kebangsaan” pada 28 Ogos 2026 menarik perhatian saya dan perlu diberikan perhatian serius.

Pengarang berwibawa, Faisal Tehrani, ketika membicarakan topik itu, berkata: “Pengarang Hindu menulis cerpen-cerpen Hindu; yang saya tak payah sebut nama.”

Kemudian, moderator Saifullizan Yahaya pula menyatakan: “Pengarang-pengarang bukan Melayu tidak lagi berminat untuk menghasilkan karya sastera dalam bahasa Melayu.”

Kedua-dua kenyataan ini menimbulkan persoalan yang jauh lebih besar daripada persoalan “siapakah pengarang Hindu yang dimaksudkan?” Persoalannya ialah “Apakah sebenarnya yang kita mahukan daripada pengarang Bukan Melayu dalam Sastera Kebangsaan?”

Kita mahu mereka menulis dalam Bahasa Malaysia tetapi apabila mereka menulis tentang kehidupan komuniti sendiri, kita persoalkan muatan karya yang dibawa. Apabila mereka tidak menulis dalam Bahasa Malaysia, kita kata mereka tidak berminat. Jadi, kalau menulis pun salah dan tidak menulis pun salah, apakah pilihan yang sebenarnya kita berikan kepada para penulis Bukan Melayu?

Dari kiri Rasul Manan, Saifullizan Yahaya dan Faisal Tehrani, grafik janaan AI dari gambar sebenar

Pengalaman Kavyan selama lebih dua dekad menunjukkan bahawa persoalan ini tidak boleh diselesaikan dengan menyalahkan pengarang bukan Melayu. Pengalaman saya terlibat secara profesional dalam Sastera Kebangsaan sejak tahun 1991 juga mengukuhkan kenyataan ini.

Saya tidak tahu siapa “pengarang Hindu” yang dimaksudkan oleh Faisal Tehrani. Dan saya tidak fikir wajar membuat tekaan secara terburu-buru atau serkap jarang. Tetapi istilah “pengarang Hindu” itu sendiri menarik untuk diteliti.

Jika maksudnya ialah pengarang berketurunan India dan beragama Hindu yang menghasilkan cerpen dengan unsur budaya India atau agama Hindu, maka kita perlu bertanya: “Mengapa karya seperti itu perlu dipersoalkan?”

Bukankah penulis kaum Melayu bebas menulis tentang budaya Melayu tanpa sekatan? Bukankah pengarang beragama Islam bebas membawa pengalaman keagamaan ke dalam karya? 

Malah, Faisal Tehrani dan Saifullizan Yahaya sendiri mengakui dalam sesi bual bicara itu bahawa karya penulis Melayu yang terlalu berdakwah serta terlalu tepu dengan unsur Melayu-Islam membuatkan khalayak pembaca Bukan Melayu tidak berminat membaca karya mereka. Penulis Melayu-Islam tidak pula berhenti—atau diminta berhenti—menghasilkan karya seperti itu.

Label ‘cerpen Hindu’

Lalu, mengapa pula apabila pengarang kaum India-Hindu menulis tentang kuil, Deepavali, Onam, keluarga Tamil, komuniti Malayali, Mahabharata, Ramayana, atau kepercayaan Hindu, karya itu tiba-tiba perlu dilabel sebagai “cerpen Hindu” dan mungkin menyentuh sensitiviti?

Kita perlu akui bahawa karya itu masih menggunakan Bahasa Malaysia dan karya itu memenuhi kriteria Sastera Kebangsaan. Dan lebih penting, pengalaman watak dalam karya itu masih pengalaman manusia. Faisal Tehrani sendiri mengakui bahawa tidak salah jika penulis bukan Islam mengangkat unsur agama dan adat komunitinya dalam karya.

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) telah berdepan persoalan seperti ini sejak sekian lama. Dalam esei saya di portal Sastera Kavyan pada Mei 2026, konsep Sastera Kebangsaan dihuraikan bukan sekadar berdasarkan bahasa tetapi juga latar kehidupan masyarakat Malaysia serta fungsi karya dalam membina identiti kebangsaan dan perpaduan masyarakat majmuk. 

Dalam kerangka itu, sasterawan Kavyan—iaitu penulis kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia—bukan masalah kepada Sastera Kebangsaan. Kami sebahagian daripada jawapan kepada usaha merealisasikan kerangka Sastera Kebangsaan seperti diimpikan sejak tahun 1971.

Malah, cerpen-cerpen saya sejak tahun 1992 secara penuh sedar membawa unsur budaya dan agama yang saya kenali. Itu bukan kerana saya mahu mengasingkan diri daripada Sastera Kebangsaan. Sebaliknya, saya mahu menunjukkan bahawa pengalaman seorang manusia kaum India beragama Hindu juga merupakan sebahagian daripada pengalaman Malaysia.

Di sinilah kenyataan Saifullizan Yahaya menjadi lebih bermasalah: “Pengarang-pengarang Bukan Melayu tidak lagi berminat untuk menghasilkan karya sastera dalam bahasa Melayu.”

Benarkah? Kita tidak boleh membalas dakwaan umum dengan perasaan. Kita perlu melihat data dan pengalaman sebenar. Tesis kajian sarjana saya diterbitkan dengan judul Kavya Sastra: Penulis Kaum India dan Sastera Kebangsaan (2021). Jawapan ilmiah berserta bukti akademik sudah ada di sana.

Kavyan sendiri menjadi contoh dan bukti yang agak sukar diketepikan. Pada tahun ini, kami sedang mengusahakan sebuah antologi cerpen berjudul Caritra. Lima penulis kaum India—Anuradha Chelliah, Kamalah Suppiah, M Mahendran, Malini Lakshmi Bai, dan saya sendiri—menyumbangkan empat cerpen setiap seorang. Keseluruhannya 20 cerpen Bahasa Malaysia oleh lima penulis kaum India (Bukan Melayu). Buku ini dijadualkan terbit pada Oktober 2026.

Kalau benar pengarang Bukan Melayu “tidak lagi berminat” menghasilkan karya Bahasa Malaysia, bagaimana kita hendak menerangkan kewujudan lima orang penulis ini yang bukan sahaja masih menulis, tetapi sanggup menghasilkan empat cerpen seorang untuk sebuah antologi?

Bukan kerana gaji

Perlu ditegaskan, kami bukan menulis kerana menerima gaji atau dana daripada institusi kerajaan keperti DBP. Kami menulis kerana mahu menulis dan memberi sumbangan ke arah memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan.

Lebih menarik, penerbitan antologi Caritra bukan projek yang dibiayai oleh sebuah institusi besar seperti DBP. Para penulis sendiri berusaha mendapatkan sumbangan untuk menampung sebahagian kos percetakan dan menanggung baki kos penerbitan. Kavyan juga menawarkan konsep “modal sosial” yang pembaca dan orang ramai menyumbang secara terus kepada penulis bagi membantu penerbitan.

Usaha ini bukan tanda “tidak berminat”. Sebaliknya, bukti masih berminat walaupun terpaksa berjuang tanpa sokongan dan bantuan institusi. Dan di sinilah kita perlu membezakan antara “tidak berminat” dengan “tidak mendapat ekosistem yang cukup menyokong”.

Pengalaman Kavyan menunjukkan bahawa masalah sebenar bukan sekadar jumlah pengarang. Masalahnya ialah ekosistem. Masalahnya—atau the elephant in the room—ialah DBP yang secara rasmi pada April 2021 menafikan hak umat bukan Islam menggunakan istilah “Tuhan” dengan alasan ia hanya boleh digunakan oleh penulis beragama Islam.

Sementara itu, Kavyan sentiasa mengadakan bengkel penulisan cerpen secara bersemuka dan dalam talian. manuskrip yang sesuai disunting dan dihantar ke akhbar, majalah, serta portal. Untuk antologi Caritra, lima penulis mengikuti siri perbincangan, bengkel, dan bimbingan bagi menghasilkan karya yang layak dibukukan.

Hal ini bermaksud proses menghasilkan karya Bahasa Malaysia masih berlaku. Apa yang mungkin semakin kurang ialah ruang, saluran, perhatian, dan sokongan—khususnya susulan pendirian DBP dalam isu istilah “Tuhan”.

Natijahnya, penulis Bukan Melayu—khasnya kaum India—tidak lagi berminat mengirim karya ke majalah-majalah terbitan DBP. Data sahih membuktikan, dari Mei 2021 sehingga kini, iaitu bagi tempoh lebih lima tahun, hanya lima cerpen oleh penulis kaum India tersiar di majalah-majalah DBP.

Kita pula hanya melihat kesan akhirnya lalu berkata: “Pengarang Bukan Melayu sudah tidak berminat menghasilkan cerpen dalam bahasa kebangsaan.” Bukankah kenyataan itu terlalu mudah dan dangkal?

Penulis kaum India masih berminat menghasilkan karya Sastera Kebangsaan. Lihat sahaja kandungan Caritra sebagai contoh. 

Cerpen Anuradha Chelliah, “Di Sebalik Senyuman”, misalnya mengangkat perkahwinan toksik, keganasan emosi dan fizikal, kebebasan wanita, trauma, persahabatan, penghijrahan, dan hubungan kekeluargaan jarak jauh. Manakala “Secubit Garam, Segenggam Kasih” menggunakan makanan sebagai simbol kasih sayang, warisan keluarga, dan hubungan antara generasi.

Sebahagian dari sejarah Malaysia

Adakah ini “cerpen Hindu”?

Penulis cacat penglihatan, Kamalah Suppiah pula menghasilkan “Anak Emas” bagi membicarakan isu pilih kasih berasaskan gender dalam keluarga, pengorbanan anak perempuan, pendidikan, dan perkahwinan yang ditentukan keluarga. Dalam cerpen “Sandiwara”, adat perkahwinan, tekanan sosial, budaya menunjuk-nunjuk, dan kemampuan kewangan menjadi persoalan. 

Adakah ini “cerpen Hindu”?

M Mahendran menerusi “Demi Revathy Kutti” merakam kehidupan masyarakat India di estet getah, keganasan rumah tangga, tekanan adat, pekerjaan, dan tanggungjawab membesarkan anak berkeperluan khas. Cerpen “Susu Pokok Getah” pula menghubungkan sejarah masyarakat India dengan sejarah kolektif Malaysia melalui simbol pokok getah, penghijrahan, kehidupan pekerja ladang, dan pembangunan ekonomi negara.

Ini bukan sekadar “cerita orang India”, sebaliknya sebahagian daripada sejarah Malaysia.

Malini Lakshmi Bai melalui “Kain Kuning” membawa pembaca kepada pengalaman masyarakat Tamil di Sri Lanka, trauma, kehilangan, ingatan, dan sejarah. Dalam cerpen “Sarika”, beliau menggunakan fiksyen aneh dan budaya Keralam untuk membongkar isu trauma, kehilangan identiti, dan penipuan keluarga selama enam dekad.

Kalau semua ini dianggap “cerpen Hindu”, kita sebenarnya sedang mengecilkan makna sastera. Kita terkeliru antara “Sastera Islam”, “Sastera Melayu”, dan “Sastera Kebangsaan”.

Sesungguhnya, ada satu kesilapan besar dalam perbincangan mengenai penulis Bukan Melayu. Kita sering menganggap identiti sebagai penjara. Seolah-olah kalau seseorang penulis kaum India menulis tentang masyarakat India, dia sedang menjauhkan diri daripada Bangsa Malaysia.

Hakikatnya adalah sebaliknya. Seseorang hanya boleh membawa sesuatu yang autentik ke dalah karya apabila dia tidak dipaksa meninggalkan pengalaman sendiri sewaktu menghasilkan karya Sastera Kebangsaan.

Malaysia mempunyai masyarakat India yang bukan homogen. Ada keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Chetti Melaka, Chindian, dan kelompok lain. Malah dalam sebuah keluarga India pun boleh wujud lebih daripada satu bahasa dan latar budaya.

Itulah sebabnya sastera penting. Statistik mungkin memberitahu kita bahawa terdapat kaum India di Malaysia. Sastera pula boleh memberitahu kita bagaimana rasanya menjadi manusia dalam masyarakat tersebut.

Konsep Sastera Kebangsaan 1971

Bahasa Malaysia dan Sastera Kebangsaan bukan milik sesuatu kaum atau agama sahaja. Unsur Hindu, Kristian, dan Buddha boleh hadir secara organik dalam karya Bahasa Malaysia. Hakikat ini juga diperakukan sewaktu konsep Sastera Kebangsaan disepakati pada tahun 1971.

Ini perkara asas yang perlu difahami. Bahasa kebangsaan dan Sastera Kebangsaan ialah ruang bersama; bukan milik kaum dan agama tertentu. Jika ruang bersama ini hanya membenarkan satu jenis pengalaman ditulis, ia bukan ruang bersama. Malah, ia bukan Bahasa Kebangsaan dan bukan juga Sastera Kebangsaan. 

Kavyan sudah menerbitkan beberapa antologi sebelum ini—Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling Malam (2024). Antologi terbaharu berjudul Caritra menjadi kesinambungan usaha ini. 

Jadi, siapa sebenarnya yang tidak berminat menghasilkan karya bahasa kebangsaan?

Kita boleh melupakan pertanyaan “Siapakah pengarang Hindu itu?” Soalan itu terlalu kecil dan bersifat individu. Soalan yang lebih besar ialah “Mengapa kita masih perlu meyakinkan khalayak Melayu bahawa karya pengarang Bukan Melayu dalam Bahasa Malaysia layak dipanggil Sastera Kebangsaan?”

Dan satu lagi: “Jika pengarang Bukan Melayu benar-benar semakin tidak berminat menghasilkan karya bahasa kebangsaan, apakah yang telah kita lakukan untuk memastikan mereka terus berminat?”

Dalam isu ini, Kavyan tidak menunggu jawapan. Sebaliknya, Kavyan mengadakan bengkel dan sesi bimbingan. Kavyan menerbitkan antologi. Kavyan menyediakan ruang membaca. Kavyan membantu menyunting karya. Kavyan membawa penulis dan pembaca daripada pelbagai kaum untuk bertemu. Kavyan mengusahakan penerbitan walaupun penulis sendiri perlu mencari dana.

Jadi, jika lima orang Sasterawan Kavyan masih sanggup menghasilkan 20 cerpen Bahasa Malaysia pada tahun 2026, kita tidak boleh dengan mudah menuduh pengarang Bukan Melayu sudah tidak berminat menghasilkan karya Sastera Kebangsaan.

Kaum Bukan Melayu—khasnya kaum India—masih berminat. Mereka cuma penat dengan karenah DBP yang saya sifatkan sebagai fasis dan subversif. Mereka kecewa susulan larangan penggunaan “Tuhan” oleh DBP. 

Mereka mahu karya mereka dinilai sebagai karya, bukan terlebih dahulu diperiksa berdasarkan agama, kaum, dan keturunan pengarang. Lebih teruk lagi, jika wajib menulis mengikut acuan Melayu dan Islam.

Dan mungkin itulah isu dan persoalan yang perlu kita bincangkan apabila membicarakan hala tuju Sastera Kebangsaan menerusi sesi bual bicara oleh DBP. Hal ini penting kerana Sastera 

Identiti komuniti

Kebangsaan yang benar-benar bersifat kebangsaan tidak sepatutnya bertanya kepada pengarang Bukan Melayu:

“Bolehkah kamu menulis dalam bahasa kami tanpa membawa terlalu banyak identiti komuniti kamu?”

Sebaliknya, ia patut berkata: “Tulislah. Bawa pengalaman komuniti kamu. Bawa pemikiran komuniti kamu. Bawa sejarah komuniti kamu. Bawa budaya komuniti kamu. Bawa konflik dalaman komuniti kamu. Bawa manusia yang kamu kenal. Kemudian kita baca bersama-sama sebagai Sastera Kebangsaan milik seluruh Bangsa Malaysia.”

Jika hal ini berlaku, pengarang bukan Melayu tidak perlu dipujuk untuk “berminat” menulis dalam Bahasa Malaysia. Mereka akan tahu bahawa mereka memang ada tempat di dalamnya.

Dan kalau selepas semua itu, mereka masih tidak mahu menulis, barulah kita boleh bertanya mengapa mereka tidak berminat. Buat masa ini, jawapan kepada pertanyaan itu amat mudah: “Kerana kelemahan dan kegagalan DBP.”

Tetapi selagi masih ada Sasterawan Kavyan yang menulis, menyunting, menerbitkan, mengeluarkan modal sendiri, dan mencari khalayak pembaca pelbagai kaum, janganlah sesiapa terlalu cepat mengisytiharkan bahawa kami sudah tidak berminat—semata-mata kerana anda “takut” membaca karya kami yang lebih layak dipanggil Sastera Kebangsaan berbanding karya berunsur dakwah.


UTHAYA SANKAR SB seorang penulis, pengkaji, dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.